ARTIKEL ini berdasarkan pengalaman penulis masuk ke banyak kedai aksesori motosikal. Antara persoalan kerap ditanya, adakah helmet untuk motosikal sama dengan helmet digunakan dalam perlumbaan kereta?
Kedua-dua helmet tersebut nampak macam sama saja jika dilihat daripada mata kasar, sama ada jenis muka penuh (full-face) atau muka terbuka (open-face). Namun ada beberapa perbezaan yang harus dilihat dengan lebih teliti.
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Helmet Jadi Syarat Wajib Pakai untuk Penunggang Motosikal?
BACA >>> DXL-5: Peranti Ini Mampu Tapis Bunyi Bising Angin Helmet
Helmet Motosikal
Helmet untuk penunggang motosikal mesti mempunyai ciri berikut:
- Serap hentakan. Sesuatu daya hentakan mestilah diserap helmet dan daya itu tidak sepatutnya mengalir terus kepada kepala pemakai.
- Tahan geseran. Helmet mestilah tahan geseran dengan sesuatu permukaan dan tidak tembus hingga kepala pemakai.
- Bukaan cukup luas sama ada menegak dan melintang supaya penglihatan tidak terjejas. Harus diingatkan, penunggang biasanya akan menundukkan kepala ketika mengunggang pada halaju tinggi.
- Rekaan cengkerang (shell) helmet memberikan sifat aerodinamik yang baik supaya stabil ketika menunggang.
- Ciri aerodinamik baik juga memberikan helmet yang lebih senyap (tetapi tidak boleh senyap sepenuhnya).
- Ada liang udara supaya pemakai tidak rasa terlalu panas.
- Helmet untuk motosikal tidak perlu menggunakan bahan kalis api kerana kebiasaannya pengunggang akan terpisah daripada motosikal apabila berlaku kemalangan berbanding pemandu kereta.
- Piawaian paling diiktiraf seluruh dunia ialah ECE R22.05 (ECE R22.06 sudah bermula, tetapi belum diwajibkan).
Helmet Kereta
Helmet untuk kegunaan pemandu kereta lumba terbahagi kepada dua kategori, iaitu kereta berbumbung dan go-kart (untuk profesional, bukan di taman tema). Berikut ciri helmet untuk pemandu kereta:
- Mestilah menyerap hentakan berkali-kali kerana kereta terbabit kemalangan berisiko tergolek berulang kali.
- Tambahan lain, ada pelindung dagu lebih besar untuk melindungi muka daripada hentakan stereng. Inilah sebab helmet pemandu lebih besar daripada helmet penunggang.
- Tidak perlu tahan geseran kerana helmet kereta tidak akan bergesel dengan permukaan jalan.
- Bukaan mata lebih kecil kerana pemandu tidak perlu menundukkan kepala seperti penunggang ketika memandu.
- Tidak perlu ada ciri aerodinamik yang baik kerana pemandu berada dalam kenderaan dan tidak terdedah kepada udara luar.
- Namun, ada helmet pemandu khas untuk kokpit terbuka seperti perlumbaan Formula dan go-kart yang mempunyai rekabentuk lebih aerodinamik.
- Terdapat liang untuk menyalur keluar udara dari atas kepala pemandu. Ada juga helmet disambungkan kepada paip untuk menyalurkan udara sejuk.
- Helmet perlumbaan kereta (kecuali go-kart) diwajibkan melepaso piawaian tahan api. Ini kerana pemandu perlu mengambil masa lebih lama untuk keluar dari kokpit kereta yang terbakar. Justeru, pad pelapik dalam helmet dibuat daripada Nomex (fabrik tahan api), bukan daripada material biasa seperti nylon, poliester atau kapas seperti helmet motosikal.
- Selain itu, getah sekeliling bukaan mata mesti cair jika terkena api untuk melekatkan visor pada helmet supaya api tidak menyambar muka pemandu.
- Tombol untuk memasang peranti HANS (Head and Neck Safety). Peranti ini berfungsi mengelak pemandu mengalami cedera patah leher apabila kereta menghentam objek pada halaju tinggi.
- Pemegang piawaian untuk helmet pemandu ialah SNELL dengan piawaian SNELL SA (Special Applications - Kegunaan Khas) bagi helmet yang menjalani ujian tahan api, dan SNELL K2020 untuk kegunaan go-kart. (huruf 'K' bermaksud 'kart').
KESIMPULAN
Justeru anda boleh lihat terdapat perbezaan yang mesti diambil kira ketika memilih helmet untuk aktiviti peribadi. Dalam erti kata lain, pilihlah helmet yang sesuai dan bukan hanya pakai satu helmet untuk semua aktiviti sukan permotoran.
BACA >>> Kod QR Cegah Jualan Helmet Tiruan, Denda Hingga RM842, Batal Lesen
BACA >>> 'Cap' Helmet Bell Kuning Diraja Ini Mahu Dijual RM15k! (Mu Dok Kenal Barey)
Leave a Reply