SEBENARNYA bukan kereta eksotik saja yang menambat hati si hartawan yang tidak tahu apa mahu dilakukan dengan duit mereka yang bertimbun-timbun. Motosikal pun apa kurangnya. Honda pada 2015 misalnya, pernah memperkenalkan motosikal lumba versi atas jalan yang dijual pada harga AS$184,000 (RM825,423)!
Honda RC213V-S dihasilkan berasaskan motosikal Honda yang menempah kejuaraan dalam perlumbaan MotoGP dan berkongsi hampir 80 peratus barang dan alat ganti yang sama seperti jentera yang digunakan dalam trek.
BACA >>> Honda RC 213V-S Pertama Dijual di eBay - RM1.17 Juta dalam Kondisi Serba Baharu
Antara komponen biasa yang ada ialah swingarm besar, absorber Öhlins, klac gelincir, roda magnesium dan kaliper brek Brembo dengan brek cakera Yutaka. Motosikal versi jalanan itu turut menampilkan frem aluminium, tangki petrol bawah kerusi dan struktur badan plastik bersama gentian karbon diperkuat yang tidak ubah seperti motosikal lumba sebenar.
Trenkuasa RC213V-S pula bersesaran 999cc V4 yang dipadukan dengan kotak gear 6-kelajuan yang hampir menyamai versi lumba, cuma spring injap pneumatik digantikan dengan spring keluli. Hasilnya, kelajuan enjin dikurangkan, tetapi ditawarkan pula opsyen kit sport yang mampu melonjakkan jentera itu kepada 212hp @ 13,000rpm.
EDISI TERHAD, CUMA 200 UNIT
Bagaimanapun, tanpa kit sport, kuasa enjin standard mampu mencapai kuasa 156hp @ 11,000rpm. Di Amerika Syarikat, disebabkan penetapan had bunyi bising, putaran enjin RC213V-S dihadkan kepada 8,000rpm yang memberikan kuasa 101hp. Masih lagi berkuasa bukan? Ciri lain yang turut dibekalkan ialah mod kuasa boleh laras dan kawalan brek-enjin, serta sistem kawalan traksi berasaskan perlumbaan.
Apa lagi mahu dikatakan, RC213V-S memang termasuk dalam senarai motosikal sah ditunggang atas jalan yang paling mahal pernah dihasilkan oleh pengeluar utama dengan menumpaskan dua model paling mahal ketika itu, Ducati 1199 Panigale Superleggera, AS$65,000 (RM291,589) dan Kawasaki H2R, AS$50,000 (RM224,299).
BACA >>> Honda Hadiahkan Pedrosa dengan RC213V dan RS250 Sebagai Tanda Terima Kasih
Hanya 200 unit dikeluarkan.
GALERI
SUMBER: FoxNews.com
Leave a Reply