TULAR mengenai status seorang pemilik Facebook yang memuat naik fakta daripada seorang jurutera kononnya had laju maksimum di lebuh raya Malaysia ditetapkan pada 110kmj kerana material digunakan jalan raya kita tidak mampu menampung kelajuan melebihi had laju tersebut. Betul ke?
Debat mengenai 'kelajuan ialah pembunuh' memang panjang dan rumit. Walaupun ada pelbagai kajian kontra yang cuba menafikan teori dan fakta tersebut, tetapi tetap masih tidak dapat mengetepikan banyak kajian bahawa kelajuan ialah pembunuh yang sangat berkait rapat dengan kemalangan maut jalan raya.
BACA >>> Benarkah Kelajuan Membunuh? Fakta Buktikan Naikkan Had Laju Mampu Kurangkan Kemalangan
BENARKAH MATERIAL LEBUH RAYA BUKAN UNTUK TAMPUNG HALAJU LEBIH 110KMJ?
Jawapan pendeknya, TIDAK. Ini bermakna, material jalan raya, atau lebuh raya kita memang boleh menampung kelajuan supercar seperti Ferrari dan Lamborghini. Malah, kapal terbang sekali pun masih selamat mendarat di lebuh raya jika berlaku kecemasan. Tiada kena mengena dengan material.
HABIS TU, KENAPA ADA HAD LAJU?
Sebenarnya bukan Malaysia saja negara di dunia ini yang menetapkan had laju maksimum kenderaan. Boleh dikatakan majoriti negara seluruh dunia ada had laju maksimum masing-masing. Menggunakan alasan material jalan raya yang tidak sesuai sebagai sebab had laju dibuat dan membandingkannya dengan material litar perlumbaan adalah sangat kurang tepat.
Sebenarnya, had laju maksimum dicipta kerana:
1. LANGKAH PENCEGAHAN KEMALANGAN
Setakat ini, kajian dan fakta yang mendakwa kelajuan sebagai punca kemalangan maut memang cukup kuat dan disokong pelbagai input data dan statistik kemalangan terkumpul dari setiap negara.
Laporan dan kajian kemalangan bukan saja membabitkan badan Kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Malaysia, tetapi turut melibatkan agensi jalan raya berkaitan kerajaan dan swasta seperti Institut Penyelidikan dan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Institut Automotif Malaysia (MAI), termasuk agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Baca SINI.
Keputusannya, penetapan had laju dibuat untuk mengurangkan kadar kemalangan dan terbukti mencatatkan pengurangan jumlah kemalangan maut yang memberangsangkan, sekitar 15-30 peratus.
2. KURANGKAN IMPAK KECEDERAAN DAN KEROSAKAN
Semakin laju kenderaan anda, semakin besar impak kecederaan ke atas pemandu dan penumpang, termasuk kesan kerosakan terhadap kereta. Lihat saja ujian perlanggaran dalam video di atas.
Itulah apa yang akan terjadi jika sebuah kereta berlanggar dalam kelajuan 190kmj. Supercar seperti Ferrari dan Lamborghini juga akan mengalami nasib sama jika memandu melebihi had laju. Ini bukan sains roket yang sukar untuk difahami.
Jadi, had laju dibuat untuk mengurangkan impak tersebut - kecederaan dan kerosakan.
BACA >>> Uncle Ben kata, ‘Great Power Comes Great Responsibility’, Tapi Ramai Pemilik Supercar Lupa…
3. BATASAN KEMAMPUAN MANUSIA NORMAL
Tahukah anda pelumba profesional berlatih di litar dan luar litar hampir setiap hari, termasuk menjalani ujian simulator berkomputer. Mereka bukan saja berlatih memandu dalam kelajuan maksimum, tetapi juga melakukan latihan fizikal seperti berlari dan berbasikal, serta menjalani ujian kesihatan berkala.
Apakah pemandu normal seperti kita melakukan semua perkara itu? Faktanya, bukan semua orang mampu dan pandai mengawal kereta yang dipandu laju. Sebab itulah menonton acara sukan permotoran menjadi sesuatu yang menyeronokkan kerana bukan semua manusia mampu melakukannya. Ia memerlukan kemahiran, kepakaran dan latihan yang bukan sekadar ulang-alik ke tempat kerja atau balik kampung pada hujung minggu.
Had laju maksimum yang ditetapkan masa kini adalah apa yang mampu dikawal kebanyakan pemandu biasa seperti kita.
4. SITUASI LITAR LUMBA DAN JALAN RAYA SEBENAR TIDAK SAMA
Inilah antara alasan kuat kenapa had laju maksimum dibuat. Ya, situasi dalam trek lumba dan jalan raya sebenar adalah tidak sama. Perlumbaan Formula Satu (F1) tidak berlangsung atas trek dua hala, dan tiada pejalan kaki atau lembu yang muncul melintas tiba-tiba. Dalam trek tiada kawasan perumahan yang ada kanak-kanak bermain dan tiada juga stadium, sekolah atau bangunan pejabat yang menjadi tumpuan orang ramai.
Jika memandu dalam kelajuan maksimum dan tanpa had laju, adakah anda rasa mampu menangani segala situasi tidak dijangka di jalan raya biasa?
LEBUH RAYA AUTOBAHN DI JERMAN TAK ADA HAD LAJU PUN!
Tahukah anda, Jerman satu-satunya negara yang tidak menetapkan had laju maksimum atau had laju persekutuan? Tetapi tetap masih tertakluk kepada kelas kenderaan tertentu. Tidak semua laluan dalam Autobahn bebas had laju.
Kira-kira 48 peratus jalan di Autobahn menetapkan had laju, iaitu 15 peratus had laju sementara yang bergantung kepada keadaan trafik dan cuaca, dan 33 peratus had laju tetap di tempat-tempat tertentu. Baki 52 peratus adalah tiada had laju, tetapi pemandu sentiasa diingatkan tentang kelajuan selamat.
Malah, purata kelajuan yang direkodkan di Autobahn adalah sekitar 140kmj. Bukankah itu masih dalam had laju maksimum kebanyakan negara lain?
TAKKAN TAK ADA KENA MENGENA DENGAN MATERIAL LANGSUNG?
Sebenarnya, tidak kira sama ada jalan raya biasa atau trek lumba, material asas yang digunakan masih sama, iaitu campuran bitumen dan asfalt menjadi tar (jalan). Apa yang berbeza ialah lapisan permukaan turapan dan tekstur tar. Litar lumba biasanya menggunakan lapisan tar setebal 10mm, manakala trek go-kart ialah 6mm. Tekstur permukaan tar juga berbeza membabitkan cara bancuhan dan campuran material. Baca SINI.
Kenapa pula berbeza lapisan turapan dan bancuhan?
Sebabnya supaya trek di litar lumba tahan lasak dan tahan lama serta tidak perlu diselenggara terlalu kerap. Permukaan trek juga perlu lebih rata dan lancar yang berkait rapat dengan tekstur asfalt yang diikat bitumen. Permukaan trek yang yang rata adalah penting sebagai ciri keselamatan ketika berlumba. Tiada litar lumba yang direka untuk memandu perlahan.
BACA >>> Kajian: Jalan Raya UK Paling Selamat di Eropah
JADI, KENAPA TAK BUAT SAJA JALAN RAYA MACAM TREK LUMBA?
Jika anda fikirkan dengan tenang, perkara itu tidak munasabah dilakukan. Litar lumba cuma membabitkan panjang trek tertentu dan dibangunkan dalam kawasan tertentu sahaja. Jadi, lebih mudah diselenggara dan menjimatkan masa walaupun kos awal pembinaan sangat tinggi. Tidaklah masa banyak dibazirkan kepada kerja-kerja menurap trek saja setiap minggu dan bulan.
Tetapi tidak bagi jalan raya biasa. Anda tidak boleh memilih jarak dan lokasi tertentu sahaja untuk membina jalan raya. Jalan raya dibina berdasarkan penempatan penduduk untuk memudahkan akses pengangkutan sesuatu kawasan.
Jalan raya juga bukan digunakan jenis kenderaan tertentu sahaja. Ada pelbagai kenderaan atas jalan raya daripada sekecil basikal hingga sebesar lori yang seberat belasan dan puluhan tan. Malah, jalan raya biasa juga berdepan risiko alam yang lebih tinggi berbanding trek lumba seperti banjir, tanah runtuh dan mendapan.
KALAU JALAN RAYA BERKUALITI LITAR LUMBA, KITA BOLEH PECUT 400KMJ?
Sebenarnya, tanpa jalan raya berkualiti litar lumba pun kita boleh memecut selaju 400kmj kalau mahu. Tetapi, baca semula 4 alasan di atas. Walaupun lebuh raya berkualiti litar Sepang sekalipun, anda tetap berisiko tinggi mengalami kemalangan maut apabila memandu melebihi had laju.
Memandu dalam kelajuan tinggi memerlukan lebih tumpuan dan kemahiran yang tidak semua orang biasa mampu lakukan. Jalan raya biasa juga terdedah kepada situasi tidak diduga seperti kereta rosak tiba-tiba, angin lintang, pemandu lain tukar laluan mengejut, lampin melayang dari tingkap kereta hadapan (contoh) dan sebagainya, serta tiada marsyal yang akan datang membantu anda dalam masa kurang seminit. Memandu di litar lumba tidak memerlukan anda risau semua perkara tersebut.
Malah, anda turut berkongsi jalan raya dengan pengguna lain. Ada pemandu lori dengan muatan berat, ada bas yang membawa puluhan penumpang, dan ada juga penunggang motosikal kecil dan besar yang selalu juga anda tidak perasan kelibat mereka kerana ditunggang terlampau laju atau suka mencilok.
BACA >>> 3 Sebab Kenapa Tunggang Kapcai di Lorong Kiri, dan Had Laju 70kmj Tidak Praktikal?
KESIMPULAN
Sekarang kita ringkaskan perbincangan kita. Pertama, material jalan raya bukan punca had laju ditetapkan pada 110kmj. Ia had laju purata yang turut dikuatkuasakan banyak negara seluruh dunia.
Kedua, had laju dibuat kerana 4 PERKARA:
- Cegah kemalangan
- Kurangkan impak kerosakan dan kematian
- Batasan kemampuan manusia
- Situasi jalan raya tidak diduga
Ketiga, faktor material, struktur dan permukaan tar yang berbeza antara litar dan jalan raya adalah kerana kos dan memudahkan penyelenggaraan.
Fahamkan? Janganlah reti kondem saja.
Leave a Reply