SEKARANG ini pengguna tempatan ada banyak pilihan memiliki kereta elektrik. Ada jenama rakyat seperti Nissan dan Hyundai, serta jenama premium, iaitu BMW dan Mercedes-Benz. Tidak dilupakan, model dibawa masuk pengimport bebas seperti Honda e dan semestinya tidak dilupakan Tesla.
Setakat ini, kereta elektrik pada harga mampu milik ialah Nissan LEAF yang dijual pada harga RM168,800. Harga itu hampir RM21,000 lebih rendah selepas Kerajaan mengecualikan duti import dan eksais. Harga itu juga meletakkan Leaf sebagai kereta elektrik kedua termurah selepas Hyundai Kona Electric.
Pujian perlu diberikan kepada Edaran Tan Chong Motor (ETCM) kerana komited membawa masuk LEAF sejak generasi pertama lagi. ETCM juga rajin memperkenalkan varian dan kit sporty seperti Impul, Nismo dan Autech ke pasaran tempatan.
Di Jepun, pengguna ditawarkan LEAF Autech untuk model 2022 yang baru saja diperkenalkan. Berbeza Nismo yang tampil sporty, Autech membawa gaya sporty dan mewah.
Konsep LEAF Autech (2022) menarik dengan warna biru yang merujuk kepada laut dan langit di Shonan dan Chigasaki, iaitu tempat kelahiran Autech.
LEAF Autech (2022) ditawarkan dalam dua varian seperti berikut:
- e + Autech: pacuan 2WD, motor elektrik EM57 60kWh, 4,577,100 yen (RM152,740).
- Autech: pacuan 2WD, motor elektrrik EM57 640kWh: 4,061,200 yen (RM135,520).
Dari segi spesifikasi, LEAF Autech (2022) membawakan pakej sama seperti LEAF (2022) dengan logo Nissan baharu dan resolusi cermin pandang belakang pintar untuk penglihatan lebih baik. Identiti tersendiri model elektrik itu pula terletak pada komponen berikut:
- Bampar depan dan belakang, skirt sisi dengan kemasan besi (metal finish).
- Gril depan.
- Lampu LED signatur.
- Cermin sisi kemasan besi.
- Rim aluminium 17 inci dengan tayar 215/50R17 91V.
- Kerusi campuran, sued hitam kristal dan kulit tiruan dengan sulaman benang biru dan logo Autech.
- Pelapik pintu dan konsol tengah dengan balutan kulit tiruan dan sulaman benang biru.
- Kluster instrumen warna kayu gelap.
- Aksen ventilator penyaman udara perak.
- Stereng kulit asli dengan sulaman benang biru.
Dari luaran LEAF Autech (2022) nampak menyerlah dan premium, terutama warna biru dengan rekabentuk kereta biasa walaupun ia model elektrik. Dengan tradisi membawa varian sporty, kami tertanya, adakah ETCM berminat membawa LEAF Autech (2022) ke Malaysia?
Ia bakal menjadikan pasaran EV lebih meriah dengan pakej sporty dan mewah sebegini.
BACA >>> Nissan Juke Hybrid dengan Kacuk Transmisi Renault!
BACA >>> Nissan Serena XV Aero (2022) yang Lebih Aerodinamik Lancar di Jepun, Harga Mula RM107k
Leave a Reply