JUALAN suku pertama 2022 menyaksikan Perodua mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dengan mendaftarkan 61,624 kenderaan. Jumlah itu mencatatkan peningkatan 6.4 peratus berbanding 57,909 kenderaan yang dijual sepanjang Januari-Mac 2021.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, kerjasama antara Perodua dan pembekal serta pengedar banyak mengurangkan impak Covid-19 dan isu bekalan komponen. Beliau berkata;
Fokus kami kini adalah mempercepatkan penghantaran kenderaan kepada pelanggan sebelum berakhir tarikh pengecualian cukai jualan pada 30 Jun 2022.
"Perodua turut bersama MAA (Persatuan Automotif Malaysia) dalam rayuan bagi melanjutkan tarikh pengecualian cukai jualan kerana faktor seperti gangguan bekalan semikonduktor global dan kes Covid-19 masih memberi kesan kepada industri."
Menurutnya lagi, industri automotif, termasuk ekosistem tempatan berterima kasih kepada Kerajaan atas inisiatif (pengecualian cukai jualan) yang mampu meraih permintaan tinggi, sekali gus memajukan industri sepanjang krisis pandemik Covid-19 melanda.
Bulan Mac 2022, Perodua mencatat peningkatan 9.5 peratus iaitu 26,759 kenderaan berbanding 24,433 unit yang dijual Mac tahun lalu. Jika dibandingkan bulan ke bulan, jualan Mac melonjak 53.2 peratus daripada 17,421 unit yang didaftarkan pada Februari 2022.
Pencapaian jualan bulanan tertinggi Perodua dicatatkan pada Oktober 2021 dengan 27,858 unit didaftarkan.
Zainal Abidin turut meramalkan suku kedua 2022 sebagai tempoh kemuncak industri automotif yang mana pengeluar lain akan cuba menghantar seberapa banyak kenderaan sepanjang tempoh tiga bulan tersebut.
Walaupun bekalan cip semikonduktor dan krisis Covid-19 masih mampu mempengaruhi pengeluaran, tetapi Perodua menjangka pengeluaran dan pendaftaran akan bertambah baik. Justeru tahun ini, Perodua mengekalkan sasaran jualan 247,000 kenderaan setahun.
BACA>>> Cerita Kenapa Perodua Tak Dapat Siapkan 70k Unit Tempahan Kereta Tahun Lalu
BACA>>> Perodua Tiada Pelan Naikkan Harga Kereta, Tapi Cuba Turunkan Harga Alat Ganti
Leave a Reply