FASILITI pengeluaran jenama automobil ialah lokasi penting dan rahsia bagi sesebuah syarikat kerana di situlah terletak model baharu yang bakal menjengah pasaran.
Jarang sekali kilang dibuka untuk lawatan umum, kecuali ada program khas. Inilah dilakukan Lotus yang membuka kilang di Hethel, England untuk orang awam.
Kilang di Norfolk, kira-kira 16km dari selatan Bandar Norwich itu sudah beroperasi sejak 1966, tetapi program lawatan awam dihentikan pada November 2017 untuk projek pembangunan semula bernilai £100 juta (RM553 juta).
Model ikonik seperti Elise, Exige dan Evora sudah dihentikan, dan Lotus kini menumpukan perhatian pada Emira yang menjadi kereta petrol terakhir jenama itu. Selepas ini, Lotus hanya akan mengeluarkan kereta elektrik, termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama.
Program lawatan itu dibangunkan divisyen baharu, Lotus Advanced Performance, bermula 4 April lalu. Aturcara lawatan bermula dengan berkumpul di Retail Centre dengan jamuan ringan disediakan.
Di situ, pelawat akan diberikan taklimat mengenai program transformasi Lotus dan bilik pameran pada masa akan datang. Pelawat juga akan didedahkan tentang sejarah, masa kini dan masa depan Lotus.
Kemudian, barulah pelawat dibawa mengunjungi bahagian lama kilang yang juga tempat pemasangan Elise, Exige dan Evora sebelum dibawa ke barisan pengeluaran Emira.
Di situ, pelawat akan melihat sendiri proses pemasangan secara automasi, yang juga kaedah pertama dilakukan Lotus selain proses yang masih melibatkan kerja tangan. Di luar kilang, pelawat akan melihat kawasan ujian dinamik seperti litar berjarak 3.5km yang pernah digunakan pelumba terkenal seperti Jim Clark, Mario Andretti, Emerson Fittipaldi, Ayrton Senna dan ramai lagi.
Lawatan kilang Lotus Hethel diadakan dari Isnin hingga Khamis setiap minggu dengan satu kumpulan terdiri daripada lapan orang, bermula jam 10 pagi dan 2 petang yang setiap mengambil masa dua jam. Lebih istimewa, pada hari terpilih,pelawat boleh menaik taraf pakej kepada Heritage Tour.
Program tersebut melibatkan lawatan ke Classic Team Lotus, iaitu divisyen perniagaan berasingan. terletak seberang jalan fasiliti utama Lotus. Pusat itu diuruskan Clive Chapman, juga anak kepada pengasas Lotus, Colin Chapman, yang tersimpan pelbagai model lumba klasik Lotus.
Lawatan berkenaan terbuka kepada individu berusia 10 tahun ke atas, yang mana remaja bawah 18 tahun mesti ditemani individu dewasa atau tidak lebih dua kanak-kanak bagi setiap dewasa.
Perkara menarik lain, semua lokasi lawatan boleh dilalui kerusi roda dan sebagai kenangan pelawat diberikan lanyard rekaan khas dan pin lencana. Sebarang rakaman foto tidak dibenarkan dan ini perkara biasa untuk lokasi sensitif. Dengan kos pembangunan semula bernilai RM553 juta, pelawat boleh mengunjungi kilang Lotus dengan bayaran £95 (RM530) atau £140 (RM780) untuk pakej istimewa Lotus Factory & Heritage Tour.
BACA >>> #RetroAuto: Vauxhall Lotus Carlton 3.6L Twin Turbo Pernah Jadi Sedan Terpantas Dunia
BACA >>> Lotus Evora GT410 yang Murah dan Ekstra Selesa untuk Dipandu Hari-Hari
Leave a Reply