PAKATAN Renault, Nissan Motor dan Mitsubishi Motors Corporation pada 27 Januari lalu mengumumkan hala tuju 2030 yang menumpukan kepada pada rantaian nilai mobiliti.
Secara spesifik, pakatan tiga pengeluar automotif itu menggariskan hala tuju bersama dalam bidang kenderaan elektrik (EV) dan Mobiliti Pintar & Konektiviti serta perkongsian pelaburan untuk manfaat bersama dan pelanggan sasaran.
BACA >>> Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi Akan Guna Model Perniagaan Baharu
Pada Mei 2020, Pakatan tersebut sudah menggariskan skim Leader-Follower yang mana salah satu ahli perikatan akan membangunkan teknologi tertentu dengan sokongan rakan lain. Kaedah itu membolehkan setiap ahli ada akses kepada semua teknologi utama.
Dalam bahasa mudah, satu pengeluar akan membangunkan satu teknologi, dan ahli lain memberi sokongan dengan hasil akhir dinikmati bersama. Namun, walaupun saling berkongsi, sangat penting untuk masing-masing pengeluar mempunyai identiti sendiri.
Justeru ahli Pakatan membangunkan kaedah beza pintar (smart differentiation) dalam menentukan tahap persamaan sesuatu model terlibat seperti platform, kilang pengeluaran, trenkuasa atau segmen kenderaan. Identiti itu akan diperkuat dengan perbezaan rekabentuk dan bahagian atas kenderaan.
Aspek itu penting kerana Renault, Nissan dan Mitsubishi masing-masing mempunyai identiti kuat dan tersendiri. Pasti janggal jika memandu Mitsubishi yang 'berbajukan' Renault.
Contoh lebih jelas lagi, platform sama untuk segmen-C dan -D akan digunakan untuk lima model daripada tiga jenama berbeza, iaitu Nissan Qashqai dan X-Trail, Mitsubishi Outlander, Renault Austral dan kenderaan utiliti sukan (SUV) 7-kerusi baharu. Namun, hasil yang dapat dilihat, Outlander baharu menawarkan gaya yang langsung berbeza berbanding X-Trail walaupun berkongsi platform sama.
Mengukuhkan lagi proses sudah terjalin, sesama ahli Pakatan akan meningkatkan perkongsian platform daripada 60 peratus pada masa kini kepada lebih 80 peratus untuk 90 model menjelang 2026.
Berikut hala tuju bersama Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi 2030:
- Menumpukan EV dan mobiliti terhubung.
- Mensasarkan meningkatkan perkongsian platform hingga 80 peratus pada 2026.
- Kedudukan Mitsubishi Motors di Eropah akan diperkuat dengan dua model baharu berasaskan model terlaris Renault, antaranya Mitsubishi ASX baharu.
- Melabur €23 bilion (RM103 bilion) dalam tempoh lima tahun sebagai sokongan kepada strategi ofensif elektrifikasi.
- Bakal mempunyai 35 model EV pada 2030 yang dibangunkan daripada lima platform EV sama, termasuk model keicar.
- Nissan Micra akan menggunakan trenkuasa elektrik dan dibangunkan berasaskan platform CMF-BEV dengan rekabentuk Nissan dan sentuhan Renault. Model ini bakal dikeluarkan di Renault ElectriCity yang menjadi pusat perindustrian elektrik di selatan Perancis.
- Nissan akan menerajui pembangunan bateri jenis pepejal all-solid state (ASSB) untuk manfaat bersama ahli Perikatan. Tempoh pengecasan bateri dapat dikurangkan hingga satu pertiga.
- Renault akan menerajui pembangunan senibina dan elektrik berpusat dan memperkenalkan kenderaan pertama berasaskan perisian menjelang 2025. Kenderaan jenis ini mampu berkomunikasi dengan objek, pengguna dan infrastruktur terhubung.
- Teknologi dibanngunkan membolehkan Perikatan meningkatkan ciri kenderaan dengan teknologi tanpa wayar 'Over The Air' (OTA) termasuk pengurangan kos penyenggaraan.
BACA >>> Renault Arkana - SUV Coupé dengan Harga Orang Kebanyakan?
BACA >>> Nissan Serena XV Aero (2022) yang Lebih Aerodinamik Lancar di Jepun, Harga Mula RM107k
BACA >>> Ralliart Kembali! Perkenal Model Edisi Khas Triton, Pajero Sport!
Leave a Reply