HONDA Malaysia akhirnya melancarkan siri model generasi ke-11 Civic yang tampil dengan ekspresi luaran lebih matang berbanding gaya sport sebelum ini. Bagaimanapun, perubahan itu bukan sekadar pembaharuan imej, tetapi turut menumpukan aspek kualiti pemanduan.
Berikut penerangan Ketua Projek Honda Civic Generasi ke-11, Tomoyuki Yamagami mengenai beberapa persoalan mengenai Civic serba baharu:
BACA >>> Honda Civic Generasi Ke-11 Lancar di Malaysia, Harga Mula RM125k!
1. REKABENTUK GLOBAL
Kami sedar wujud pandangan subjektif mengenai rekabentuk, tetapi melihat kepada pelanggan global (customer-based), kami cuba mendapatkan apa yang amat penting untuk nilai pelanggan.
"Dalam erti kata lain, daripada mengenakan gaya sarat dekorasi, atau menjadikan ia tampak terlalu mewah, kami mahu meminimumkan sebarang lebihan garis (badan).
"Objektif nampaknya tertumpu untuk menawarkan nilai kepada pengguna agar diterima lebih ramai pelanggan di pasaran dunia."
2. TRENKUASA TURBO, TIADA LAGI NA
- Keputusan menamatkan pilihan enjin 1.8L (aspirasi natural) dikaitkan dengan piawaian alam sekitar selain unit enjin yang mungkin ‘agak berusia’.
- Ada perbezaan output kuasa Civic baharu berbanding model sama di Thailand. Sebenarnya, perbezaan itu ada kaitan dengan jenis bahan api digunakan.
- Thailand menggunakan bahan api etanol, manakala Malaysia pula petrol yang memberikan data kuasa berbeza.
- Ada komponan pengecas turbo ditukar yang membantu meningkatkan output tork (berbanding model generasi ke-10). Perubahan itu memberi efek kepada respons turbo dan pemanduan lebih baik.
3. TRANSMISI CVT LEBIH PINTAR
- Civic baharu juga mampu 'mengesan' sama ada sedang dipandu di trek atau jalan biasa, dan membuat pelarasan sendiri dalam menetapkan tahap pemanduan optimum.
- Juga boleh mengesan kehadiran atas trek daripada input sensor Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) pada roda.
- Selepas satu atau dua kali pembelokan atas litar, dengan bantuan sensor ABS dan brek atas trek, Civic akan mengoptimumkan tetapan trenkuasa.
- Caranya, input diperoleh menerusi perbezaan pusingan roda di selekoh dan kemudian menyesuaikan tetapan penggearan CVT.
4. LEBIH STABIL
- Mengenai struktur badan, Honda memberi penekanan kepada aspek kestabilan yang menjadi antara sebab utama jarak roda ditambah 35mm berbanding Civic terdahulu (generasi ke-10).
- Ini bagi membolehkan pemandu merasai penambahbaikan kestabilan Civic baharu ketika membelok di selekoh.
- Dalam aspek pengendalian, Honda juga menggunakan teknologi Bantuan Pengendalian Lincah dan menambah baik ketegaran kawalan. Tujuannya, mengimbangi isu kestabilan dan pengendalian.
- Selain itu, fokus juga diberi terhadap usaha meningkatkan kekuatan struktur badan kereta dengan menggunakan lebih banyak material pelekat (adhesive) yang menambah baik ciri dinamik badan.
- Tidak lupa juga jarak trek roda belakang yang dipanjangkan bagi mengukuhkan aspek kestabilan.
- Kerusi penumpang belakang juga ditambahan sudut condong 1º bagi meningkatkan keselesaan.
5. LEBIH SENYAP
- Fokus juga diberikan kepada mengurangkan kesan bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH), khususnya ketika memandu perlahan atau dalam rev rendah di bandar.
- Perubahan dibuat membabitkan penakung minyak dan aci engkol (crankshaft). Tumpuannya, mengurangkan kesan getaran, manakala material binaan masih sama dan hanya berubah pasa rekabentuk.
- Tekniknya, diameter aci engkol ditambah, manakala kekuatan penakung minyak dipertingkat.
- Selain itu, komponen pengedap (bushing) getah turut ditambah baik bagi meminimumkan NVH.
6. TEKNOLOGI BANTUAN KESESAKAN TRAFIK (Traffic Jam Assist, TJA)
- Honda mengakui ciri TJA memberikan perbezaan dan diberikan berdasarkan respons pelanggan, situasi trafik dan infrastruktur sesebuah negara.
- Ciri itu tidak ditawarkan di Malaysia kerana faktor lalu lintas negara ini. Bagaimanapun, jika ada keperluan, Honda sedia menimbangkannya.
Ada aspek kami akan nilai (pada masa depan) dan kami tidak menolak kemungkinan memperkenalkan di kawasan serantau. Selepas membuat pertimbangan, kami cuma menawarkannya di beberapa kawasan,” kata Yamagami.
BACA >>> Honda Civic Menang Kereta Terbaik Amerika Utara 2022, Kali Ketiga Sejak 2006!
BACA >>> #PanduUji: Abang Gan Pandu Uji Honda Civic FE (2022) yang Serius Best!
Leave a Reply