PEMINAT permotoran yang membesar era 80-90-an pasti masih mampu mengingati kehebatan Ralliart sebagai jenama prestasi daripada Mitsubishi Motors Corporation (MMC).
Ralliart ialah jenama ikonik buat MMC dengan menempa banyak kejayaan dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan Rali Dakar. Malah status jenama itu di Malaysia juga cukup kuat dan semacam jadi kewajipan mana-mana model Mitsubishi dilekatkan pelekat Ralliart pada cermin depan.
BACA >>> #PanduUji: 7 Sebab Kenapa Mitsubishi Triton Antara Trak Pikap Terbaik di Pasaran!
BACA >>> Mitsubishi Tamatkan Pajero di Jepun, Perkenalkan Model Selamat Tinggal, Final Edition
Selain komponen prestasi, ada juga model edisi khas seperti Lancer Sportback Ralliart keluaran 2008. Di pasaran tempatan, model berunsurkan Ralliart seperti Lancer Sportback RA Edition dan Triton RA Edition pernah ditawarkan pada 2011.
Selepas lama tanpa khabar, peminat Mitsubishi kini tertanya-tanya mengenai kemunculan semula Ralliart. Persoalan itu terjawab apabila Mitsubishi pada Mei tahun ini mendedahkan bakal melancarkan aksesori khas, termasuk menyertai semula acara sukan permotoran serata dunia.
PERKENAL DUA MODEL RALLIART
Malah, jawapan lebih konkrit kini sudahpun tersedia apabila Mitsubishi memperkenalkan Triton Ralliart dan Pajero Sport Ralliart pada 30 November lalu di Bangkok, Thailand. Mitsubishi mendakwa itu ialah model pertama dalam menghidupkan semula jenama Ralliart.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MMC, Takao Kato berkata, keputusan menghidupkan semula jenama Ralliart dimulakan dengan edisi khas di Thailand dan Mitsubishi selepas ini bakal memperkenalkan lebih banyak produk.
Asasnya, kedua-dua edisi Triton dan Pajero Sport Ralliart tampil dengan aksesori dan komponen khas tanpa perbezaan pada prestasi atau pengendalian.
Berikut ciri Mitsubishi Triton dan Pajero Sport Ralliart:
- Tampil istimewa dengan grafik khas warna merah, perak dan hitam.
- Paling menyerlah ialah penghadang lumpur merah dengan logo Ralliart sebagai aksesori popular buat peminat model rali Mitsubishi.
- Lagi perbezaan ialah gril dan rim hitam, manakala bahagian dalaman dilengkapi karpet kaki dengan aksen merah dan lencana Ralliart.
1. Mitsubishi Triton Ralliart
- Diasaskan Triton Club Cab (Mega Cab) dan Double Cab jenis rendah (low rider).
- Enjin 2.5L diesel turbo dengan transmisi manual 5-kelajuan.
- Warna hitam untuk cermin sisi, bampar, pemegang pintu sisi dan belakang.
- Kemasan bampar depan merah.
- Bedliner dengan logo Ralliart.
- Ada dua pilihan warna: dwi-tona putih dengan bumbung hitam, dan Jet Black Mica (hitam).
2, Mitsubishi Pajero Sport Ralliart
- Diasaskan daripada varian Pajero Sport 2.4 GT Plus.
- Kemasan bampar depan dan belakang merah dengan lencana Ralliart.
- Komponen hitam untuk model dwi-tona seperti gerbang roda, rel bumbung, antena sirip yu dan spoiler.
- Ada dua warna pilihan: dua White Diamond (putih) dengan bumbung hitam dan Jet Black Mica (hitam).
Apa ditampilkan MMC adalah sedikit sahaja kehebatan Ralliart dan sebagai permulaan kepada usaha menghidupkan semula jenama ikonik tersebut. Setidak-tidaknya ada juga sedikit buah tangan daripada Ralliart.
BACA >>> Mitsubishi Airtrek EV (2022), Tiada Lagi Turbo, Kini Guna Bateri!
BACA >>> Mitsubishi No 3 dalam Kajian Kualiti Awalan JD Power di Amerika!
Leave a Reply