ADUAN seorang penumpang bas yang mendedahkan pemandu bas Sani Express enggan berhenti untuk solat Subuh ketika dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Jertih, Terengganu, Sabtu lalu tular di media sosial.
Penumpang itu, Muhammad Safwan menerusi status di laman Facebook mendakwa pemandu bas tersebut tidak mengendahkan pertanyaannya untuk berhenti solat Subuh.
Lebih mengewakan, dia ditinggalkan di kawasan Hentian Setiu ketika berhenti ke tandas yang menunjukkan pemandu bas tersebut tidak mengira bilangan penumpang sebelum bergerak.
Letih arini naik Sani Express trip MKB58. Dah la driver pemandu tak berhenti solat Subuh. Bila tanya nak berhenti kat mana, dia buat senyap. Buat muka 'keras', buat tak tahu.
"Bila berhenti buang air di stesen Setiu, dia tinggal pulak penumpang. Padahal dia tengok kita masuk tandas. Tak cek (periksa) bilangan penumpang sebelum gerak.
"Mohon syarikat Sani Express ambik tindakan kepada driver trip MKB58 Tbs-Jerteh 11:30 malam, 20/11/2021. Solat ni perkara no 1. Baik tukar driver bukan Islam jah senang, tak berhenti solat pon orang tak kata," luahnya dalam hantaran itu.
Status itu menarik perhatian ramai netizen hingga mendapat hampir 2,000 perkongsian dan 1,600 komen.cRata-rata netizen beragama Islam meluahkan rasa kecewa terhadap perkhidmatan Sani Express yang dianggap tidak mementingkan urusan agama yang menjadi kewajipan penganut Islam.
Susulan kes berkenaan, Sani Express dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook syarikat itu memohon maaf berhubung insiden tersebut dan berjanji perkara sama tidak berulang lagi.
Syarikat bas itu turut memaklumkan pemandu berkenaan kini digantung tugas buat masa sekarang dan siasatan dalaman akan dilakukan. Tindakan disiplin seperti amaran, kaunseling, latihan semula atau tindakan lanjut mengikut prosedur syarikat akan dikenakan kepada pemandu tersebut.
SUMBER: FB SaniExpressSdnBhd
Leave a Reply