PASARAN skuter tempatan masih agak kuat kerana terdapat banyak permintaan. Motosikal jenis ini sentiasa ada penggemarnya kerana menawarkan praktikaliti seperti tempat letak barang selain mudah ditunggang sesiapa sahaja.
Mforce Bike Sdn Bhd pada Julai lalu melancarkan skuter Wmoto Xtreme 150i walaupun di tengah kancah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara.
BACA >>> MForce Bike Lancar Skuter Wmoto Xtreme 150i (2021), Harga Cuma RM9.5k!
BACA >>> HLYM Lancar Yamaha NMAX V2 (2020), Harga RM8.9k!
Rekabentuk Xtreme 150i tampil moden dan boleh dikira sebagai skuter versi crossover. Tayar yang digunakan pun jenis tunggangan jalan raya berturap dan off-road, tetapi tidak ekstrem. MForce tidak terlupa untuk mempromosi model ini sebagai sebuah skuter yang boleh ke mana sahaja termasuk off-road. Saiznya agak kompak, lebih pendek daripada Yamaha NMAX.
Menariknya, model ini menerima penarafan 5 bintang dalam Program Penilaian Motosikal Malaysia (Malaysian Motorcycle Assessment Program, MyMAP) yang dijalankan Institut Pengajian Keselamatan Jalan Raya (MIROS) untuk ciri-ciri keselamatan ditawarkan, termasuk penggunaan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS). Selain itu, skuter ini juga memenuhi beberapa syarat pengeluaran Eropah, sama seperti model SYM VF3i 185 sebelum ini.
BACA >>> Tunggang Uji Pertama Harley-Davidson Sporster S, Baru Lancar di Malaysia, Harga RM92.9k
Ciri
- Enjin 4-lejang, silinder tunggal, 149.3cc penyejukan cecair yang patuh emisi Euro4 berkuasa 12.1hp @ 8,500rpm dan 11.8Nm @ 5,000rpm.
- Munakan suspensi fork depan terbalik (USD) di depan dan monoshok belakang jenis boleh laras prabeban di belakang.
- Dilengkapi sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS untuk roda depan dan belakang.
- Jarak lega bumi 180mm membolehkan skuter ini melepasi halangan atas jalan lasak dan tinggi.
- Kapasiti tangki minyak 11 liter.
- Dilengkapi sistem enjin mula-henti (start-stop) untuk penjimatan bahan api.
- Menggunakan lampu jenis LED penuh.
- Panel meter LCD multi-info.
- Visor angin boleh laras.
- Soket pengecas 12V dan port USB dalam kotak simpanan.
PENGALAMAN MENUNGGANG
Baiklah, apa guna menunggang uji jika tidak diceritakan pengalamannya kan?
- Skuter ini agak berat hendak bergerak apabila membuka terotel, terasa seperti brek belakang melekat, tetapi rupanya bukan.
- Apabila sudah bergerak, pecutan mula kuat hingga mencapai kelajuan 80kmj dan kemudian mula perlahan apabila mencecah 96kmj sebelum meningkat perlahan-lahan hingga maksimum 110kmj.
- Namun, masih terus lajak apabila terotel ditutup, sekali gus mengesahkan roller transmisi CVT skuter ini agak berat.
- Corak tindakbalas terotel ini menunjukkan bahawa motosikal ini boleh digunakan di jalan-jalan off-road kerana terotelnya tidak ganas.
- Apa yang menarik adalah ciri pengendalian. Hendal tidak terlalu ringan dan dapat melayan selekoh dengan yakin.
- Suspensi lebih keras sedikit daripada pesaing yang juga bermaksud tidak termampat habis apabila melanggar lubang atau bonggol tajam.
- Tayar sesuai untuk kegunaan atas jalan tidak berturap atau bertanah yang tidak ekstrem. Saya tersesat di satu kawasan pembinaan dan dapat mencubanya.
- Selain itu, kotak simpanan depan tidak berapa dalam dan tidak boleh dikunci.
- Kedua-dua port pengecas berada dalam kotak kanan yang hanya cukup untuk memuatkan telefon pintas bersaiz seperti iPhone XS dengan sedikit lagi ruang di atas.
- Kotak sebelah kiri boleh memuatkan barang-barang kecil seperi sarung tangan, dompet dan sebagainya.
- Tempat letak barang di bawah pelana agak kecil, tetapi masih boleh memuatkan helmet muka terbuka (open-face) asas. Helmet jenis jet seperti HJC atau Arai tidak muat.
- Panel meter LCD sangat malap pada siang dan hanya boleh nampak digit spidometer yang besar. Itupun malap juga. Angka meter lain seperti takometer (rpm), minyak, jarak perjalanan, dan sebagainya agak terkebil-kebil hendak dibaca.
- Seperti dimaklumkan pengimport, skuter memang jimat minyak yang katanya boleh ditunggang hingga 400km. Ini saya akui kerana saya tidak perlu isi minyak langsung walaupun sudah menunggang setiap hari selama lima hari.
KESIMPULAN
Pendapat saya, ciri terbaik Xtreme 150i adalah fiil suspensi yang agak bagus. Saya tidak was-was sama ada kedua-dua tayar masih ada cengkaman atau tidak.
Tapi agak sayang kerana walaupun suspensi sudah cukup baik dengan rekabentuk unik, kekuatan pecutan skuter hanya pada peringkat awal dan terotel terpaksa dipulas penuh.
Ia tidak jadi masalah jika anda menunggang di jalan raya biasa, tetapi jika di lebuh raya. Seperti motosikal lain, pecutan awal sangat penting dan bermanfaat ketika menunggang di jalan sesak. Tetapi apabila di lebuh raya, anda perlu mengikut alur paling kiri dan berwaspada.
Kesimpulannya, Xtreme 150i boleh dijadikan pilihan buat peminat skuter unik yang tidak mahu nampak tipikal seperti penunggang skuter lain. Selain itu, ia juga sesuai kepada mereka anda yang berulang-alik kerja asalkan tidak menggunakan laluan lebuh raya utama seperti di ibu kota Kuala Lumpur.
Saya juga rasa skuter ini sangat sesuai untuk tunggangan di bandar seperti Georgetown, Pulau Pinang atau tengah Bandar Melaka.
Dijual pada harga RM9,588 tanpa pendaftaran dan cukai jalan, ada dua warna uuntuk dipilih, iaitu kelabu dan merah. Setiap pembelian akan dipakejkan bersama waranti dua tahun atau 20,000km, mana satu sampai dahulu.
Terima kasih kepada Darma Motor Sd. Bhd. Boleh hubungi mereka di talian 03-9102 1192 atau layari laman Facebook mereka untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai skuter ini.
Leave a Reply