PERODUA mencatat jualan kenderaan 27,858 unit sepanjang bulan lalu (Oktober 2021), sekali gus memecahkan rekod jualan bulanan tertinggi yang pernah dicapai dalam sejarah pengeluar nasional itu pada Oktober 2020 (26,848 unit).
Faktor kenaikan rekod baharu sebanyak 1,010 unit itu dibantu peningkatan pengeluaran dan penghantaran kenderaan yang pantas kepada pelanggan. Tambahan lagi, Perodua mensasarkan menghantar sebanyak mungkin kenderaan kepada pelanggan pada suku keempat tahun ini.
BACA >>> Jualan Perodua Oktober 2020 Pecah Rekod Bulanan Tertinggi Sepanjang Sejarah
BACA >>> Jualan Perodua Naik 102 Peratus Sepanjang September, Dijangka Lebih Baik Bulan Ini
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata;
Pencapaian ini adalah komitmen kami terhadap para pelanggan dan mewakili peningkatan sebanyak 90.67 peratus daripada 14,160 unit yang dijual pada September 2021. Kami kini sedang berusaha meningkatkan lagi pengeluaran, terutama tahun ini."
Berikut angka jualan model Perodua sepanjang bulan lalu:
- Myvi - 8,761 unit
- Axia - 5,973 unit
- Bezza - 5,257 unit
- Ativa - 3,973 unit
- Alza - 2,553 unit
- Aruz - 1,341 unit
Tidak hanya sekadar memecah rekod jualan, Perodua juga mengeluarkan jumlah kenderaan tertinggi pada Oktober 2021, sebanyak 29,803 unit dalam tempoh sebulan. Pencapaian itu adalah di luar kapasiti pengeluaran, tetapi kakitangan Perodua masih mampu meningkatkan produktiviti pada tahap kualiti yang sama.
Zainal Abidin juga menyambut baik lanjutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan Kerajaan baru-baru ini dalam usaha memulihkan ekosistem automotif.
Lanjutan pengecualian cukai jualan akan memberi manfaat kepada semua, dari pengguna hingga pengeluar komponen tulen, dan pembekal yang juga turut terjejas akibat kekurangan bekalan semikonduktor peringkat global,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyatakan Perodua akan terus menghasilkan dan mendaftar sebanyak mungkin kenderaan pada masa akan datang bagi membuktikan komiten kepada pelanggan.
Perodua mencatatkan jualan 146,951 unit sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, iaitu 14.5 peratus di bawah 171,861 yang didaftarkan tempoh sama pada 2020.
Perodua juga baru-baru ini mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Book of Records atas pencapaian hasil jualan tertinggin pada bulan Oktober 2021.
Leave a Reply