KTM 390 Duke serba baharu tampil dengan imej agresif menerusi segudang ciri serba baharu. Paling menarik perhatian ialah desain badan, di mana wajah motosikal itu kini mirip abang besarnya, 1290 Superduke dengan rekaan lampu depan mengalami perubahan total yang kini diasingkan kepada dua.
Debut model buatan pengeluar motosikal Austria itu didedahkan sempena Pameran Motosikal Milan (EICMA) dekat Milan, Itali. Awalnya penulis menunggu kemunculan model KTM 200cc serba baharu dan nampaknya bukan untuk masa ini.
Perubahan paling besar adalah pada bahagian frem yang dilakukan bagi menambah baik pengendalian prestasi KTM 390 Duke. Malah, motosikal naked tersebut lebih ringan 10kg dengan berat keseluruhan 149kg berbanding model terdahulu.
DIMENSI KESELESAAN DIPERTINGKAT
Sudut condong hendal ditingkatkan kepada 66°, manakala jarak roda dipendekkan 10mm menjadi 1, 357mm. Kestabilan dimensi kelegaan tanah ditinggikan sebanyak 15mm (185mm). Tunggangan pula jadi lebih selesa dengan penggunaan suspensi WP fork USD yang kini menggunakan teknologi kartrij-terbuka dan suspensi jelajah yang ditingkatkan kepada 150mm.
Tangki bahan api lebih besar berkapasiti 13.4 liter dengan pertambahan 2.4L memberikan anda tempoh masa lama untuk pergi lebih jauh. KTM 390 Duke turut menerima penambahbaikan brek menerusi penggunaan saiz brek cakera depan 320mm dan belakang 230mm. Tidak cuup dengan itu, ketinggian pelana ditingkatkan 30mm menjadi 830mm.
Salah satu ciri paling menarik KTM 390 Duke baharu ini ialah kehadiran skrin TFT berwarna yang didatangkan dengan paparan multimedia MyRide. Ya, anda kini boleh menyambung telefon pintar dengan motosikal ini!
Bahagian enjin masih kekal sama tanpa sebarang perubahan. Enjin 373cc silinder tunggal mampu menghasilkan kuasa setinggi 44hp dan tork 37Nm. Hantaran kuasa ke roda belakang disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan. Ciri lain yang didatangkan standard termasuk Sistem Brek-Anti-Kunci (ABS) dan teknologi Ride-By-Wire yang mengawal pelbagai ciri keselamatan motosikal moden hari ini seperti Kawalan Traksi, Kawalan Jelajah dan mod kuasa. Malah enjin KTM 390 Duke mematuhi piawaian emisi Eropah, Euro4.
GALERI
Leave a Reply