LAPAN penunggang basikal lajak ditahan pasukan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Johor Bahru Utara di dua lokasi di daerah itu pada 15 dan 16 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, penunggang yang ditahan berusia antara 10 dan 15 tahun.
Masing-masing ditahan bersama basikal lajak yang ditunggang kerana menunggang dengan aksi berbahaya secara berkumpulan di dua lokasi berbeza. Turut disita ialah dua motosikal yang terlibat dalam kegiatan itu.
Pemeriksaan mendapati banyak basikal tersebut sudah diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi basikal yang selamat untuk ditunggang. Semua penunggang dan basikal dibawa ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut.
Salah seorang ditahan ialah remaja 15 tahun yang turut berperanan sebagai mekanik basikal lajak. Ramai rakan basikal lajak yang datang ke rumahnya untuk membaiki dan menukar alat ganti daripadanya. Hasil pemeriksaan di rumah juga menemui komponen-komponen basikal lajak.
Menurutnya, semua penjaga dan ibu bapa kepada semua ditahan sudah dipanggil serta diberikan penerangan mengenai bahaya basikal lajak dan kesan kepada penunggang sekiranya berlaku kemalangan.
SUMBER: SinarHarian
Leave a Reply