MASALAH kebocoran minyak, cecair penyejuk (coolant) dan pelbagai bendalir lain adalah isu yang biasa menimpa pemilik kereta hingga menyebabkan mereka perlu mengeluarkan kos baik pulih tinggi.
Pam pengesan bocor (Leak Detection Pump, LDP) berfungsi membantu keseluruhan sistem kawalan emisi evaporatif (Evaporative Emissions Control, EVAP) untuk mencari sebarang kebocoran yang berlaku dalam sistem. Komponen itu dipasangkan dan direka untuk kenderaan sejak beberapa dekad lalu, tetapi ramai pemandu kurang faham kegunaan sebenar komponen berkenaan.
BACA >>> #TahukahAnda: 4 Sebab Kenapa Tayar Isi Nitrogen Lebih Baik, Tapi...
LDP berfungsi memberitahu pemandu mengenai kebocoran bendalir dalam kereta dengan mengaktifkan lampu periksa enjin (check engine light, CEL). Apabila lampu itu menyala, anda perlu segera membawa kereta ke pusat servis atau bengkel untuk diperiksa dan dibaik pulih segera.
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Lampu Periksa Enjin Kenderaan Menyala Tiba-Tiba?
Apakah Fungsi Komponen LDP?
LDP dapat ditemui dalam semua kereta moden masa kini, sama ada kereta enjin pembakaran dalaman (ICE), atau kenderaan elektrik (EV). Pam itu akan menghantar udara bertekanan tinggi ke dalam sistem EVAP untuk memaksa diagnosis kebocoran sistem dilakukan.
Sekarang, mari kita fahami bagaimanakan komponen tersebut berfungsi untuk mencari kebocoran sistem sebelum ia menyebabkan masalah lebih serius.
Sistem EVAP
Sistem EVAP bertanggungjawab menangkap dan menyimpan emisi gas tersejat dari enjin kereta. Proses itu berlaku ketika proses pembakaran dalam enjin. Gas ekzos kebiasaannya dilepaskan ke udara, tetapi dengan ada sistem tersebut, gas akan diperangkap dalam tabung arang (charcoal canister) yang terkandung penyerap gas.
Sistem yang baik dan tidak bocor membolehkan gas ekzos digunakan semula selepas berlaku proses tekanan dalam tabung arang.
Sensor oksigen juga digunakan untuk memerhati dan mengawal sistem berkenaan supaya ada udara segar mencukupi dalam tangki. Jika kebocoran dikesan ketika memandu, atau ketika kereta dalam keadaan pegun, LDP pun diaktifkan dengan memaparkan indikator amaran lampu periksa enjin pada kluster instrumen.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Itu Sensor Oksigen?
Mekanisma LDP Berfungsi
LDP akan menekan udara bertekanan ke dalam sistem EVAP untuk mendiagnosis kebocoran sistem. Pam itu berfungsi dengan bantuan pelbagai komponen lain seperti injap lohong (vent valve), diafragma, vakum solenoid, sensor dan beberapa injap sehala.
Pam kemudian menggerakkan diafragma dalam gerakan atas dan ke bawah dengan bantuan ruang vakum. Solenoid pula membantu mengawal ritma pergerakan dengan meletakkan tekanan ke atas sistem EVAP.
Apabila tekanan mencapai tahap maksimum, pergerakan akan berhenti dan injap lohong tertutup. Jadi, sistem EVAP akan tertutup rapat dan unit kawalan elektronik (ECU) akan memulakan proses diagnos atau memeriksa kebocoran sistem.
Bagi memastikan EVAP sentiasa tertutup, pam diafragma perlu sentiasa kekal pada kedudukan atas untuk mengekalkan tahap tekanan tertentu. Bacaan sensor yang tiada perubahan menandakan tiada kebocoran. Bagaimanapun, jika ECU mengesan sebarang keanehan dalam bacaan, ia akan segera mencetuskan amaran melalui lampu periksa enjin.
BACA >>> #TahukahAnda: 6 Perkara Pemandu Silap Hingga Tak Sedar Kos Sara Kereta Bertambah
Apa Perlu Buat Jika Kebocoran Dikesan?
Jika kebocoran dikesan, memang kereta perlu diperiksa dan segera diservis. Anda perlu ke pusat servis atau berjumpa mekanik berpengalaman untuk memeriksa semua komponen dan menukarkannya jika ada kerosakan.
LDP ialah komponen penting dalam kereta untuk memeriksa sebarang kebocoran dalam tangki bahan api (petrol/diesel). Sentiasa berwaspada dengan sebarang lampu indikator pada kluster instrumen kereta, terutama lampu periksa enjin. Ini kerana lampu indikator itu menandakan berlaku kebocoran sistem dan mungkin ada masalah enjin lain.
Jika anda merasakan sesuatu tidak kena dengan kereta, tenangkan perasaan dengan bawa kereta ke pusat servis atau bengkel dipercayai percaya.
BACA >>> #ApaNakBuat: Indikator Bateri Menyala atau Berkelip?
Leave a Reply