DUNIA MotoGP semalam dikejutkan dengan berita perpisahan Maverick Vinales dan Yamaha Monster Energy yang menyaksikan pelumba itu memutuskan kontrak setahun lebih awal berbanding tarikh sepatutnya, iaitu 2022.
Perpisahan itu menguatkan lagi khabar angin Vinales bakal menyertai Aprilia walaupun dinafikan pelumba itu sejurus mendapat tempat kedua di GP Belanda, minggu lalu.
Namun, situasi di kem Aprilia juga sedikit rumit kerana pasukan itu juga berminat mendapatkan Andrea Dovizioso yang masih belum membuat keputusan sama ada mahu kembali menyertai MotoGP ataupun tidak.
BACA >>> SAH! Vinales Berpisah dengan Yamaha, Anggap Setiap Perlumbaan Bagai Mimpi Ngeri
BACA >>> Quartararo Takluk Assen, Vinales Tebus Kecewa, Rossi Terus Malap
Pengulas Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) dan MotoGP, Steve English berkata, Vinales mungkin menyertai pasukan baharu Valentino Rossi, VR46 dan menunggang Ducati.
Pada masa sama, pelumba Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli pula akan mengisi slot pasukan pengilang, manakala Marco Bezzecchi menggantikan tempat Morbidelli untuk pasukan Malaysia itu. Namun, semua itu tidaklah mudah kerana pelumba Itali itu masih terikat dengan Petronas SRT hingga 2022.
Kemasukan Vinales juga mungkin situasi paling ideal kerana penaja utama pasukan VR46, Aramco mahukan Rossi bersaing untuk pasukan sendiri dan hanya akan menerima pengunduran pelumba legenda itu jika dia memberikan pelumba bereputasi tinggi sebagai alternatif.
Dalam hal ini, Vinales sememangnya pelumba yang layak mengisi slot tersebut berbanding rancangan asal, Bezzecchi. Keputusan rasmi mungkin akan diketahui beberapa minggu akan datang kerana Rossi sendiri menetapkan musim panas nanti untuk memutuskan masa depannya.
BACA >>> Rossi: "Susah Aku Nak Race Tahun Depan Walaupun Pasukan Sendiri"
BACA >>> Satu Slot VR46 Masih Kosong, Mungkinkah Rossi Berlumba untuk Pasukan Sendiri?
SUMBER: Motorcyclesports.net
Leave a Reply