GAYA macam model Eropah tetapi hakikatnya, ini produk buatan pengeluar motosikal dari China, Zontes 310X.
Model ini memang jarang kita dapat lihat atas jalan, mungkin kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau masih kurang mendapat sambutan pembeli.
Secara ringkas, ada empat model Zontes dibawa masuk ke Malaysia, iaitu:
- 310T (adventure tourer)
- 310X (sport tourer)
- 310R (naked)
- 310V (cruiser)
Semua tahu, apa saja motosikal dari China yang masuk ke pasaran tempatan pasti disambut dengan tanggapan negatif. Namun, selepas menunggang uji sport tourer 310X ini, saya boleh senaraikan 5 mitos tentang motosikal China yang fakta betulnya ramai orang tidak tahu.
BACA >>> #ApaNakBuat: 5 Tip Cuci Sportbike Supaya Kekal Anggun, Bersih
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Maksud Sebalik Huruf dan Angka Nama Model Motosikal?
1. Kualiti Cap Ayam
- Mungkin label ini sesuai untuk jenama China lain, tetapi bukan Zontes. Komponen plastik, aloi dan material lain sebenarnya berkualiti dan jauh lebih baik berbanding beberapa model popular Jepun di Malaysia.
- Tidak terasa atau terdengar fairing gegar ketika menunggang. Kualiti cat badan pun nampak bagus.
- Model Zontes ini dipasangkan di kilang pemasangan KTM di Kedah.
- Fakta: Ada waranti 3 tahun atau jarak perbatuan 30,000km!
2. Fairing, Komponen Mudah Tertanggal, Regang
- Tidak. Sepanjang sesi tunggang uji tidak ada apa-apa komponen terlucut atau terlerai atas jalan. Itu mungkin fake news atau stereotaip yang kerap dilabelkan pada motosikal buatan China.
- Fakta: Panel fairing dipasangkan secara tekap tanpa menampakkan skru dari luar yang membuatkan penampilan tampak lebih kemas, dan solid.
3. Visor Angin Elektronik Tahan Seminggu Je...
- Pengadang atau visor angin boleh dinaikturunkan semudah menekan butang kawalan. Ada dua tetapan boleh laras untuk dipilih. Tiada masalah sangkut atau rosak sepanjang menguji fungsi itu selama lebih sebulan.
- Fakta: Ciri visor angin itu boleh dilaraskan ketika sedang menunggang.
4. Panel Meter TFT Rosak Bila Kena Hujan
- Paparan panel meter adalah jenis digital penuh dan berwarna, serta didatangkan dalam empat tema pilihan, iaitu Casual, Race, Street dan Simple.
- Latar cahaya boleh diubah secara manual dalam lima tahap, atau pilih sahaja mod automatik.
- Juga boleh ubah tetapan jam, dan ada dua pilihan bahasa (Inggeris atau Cina), serta disediakan ciri konektiviti wayarles menggunakan Bluetooth. Tidak dilupakan, dua port USB.
- Model ini turut dibiarkan terdedah secara terbuka selama tujuh hari (seminggu) dalam cuaca hujan lebat dan panas terik selama lebih seminggu. Tiada masalah panel meter dimasuki air, dan tidak juga kerosakan elektronik. Semua masih berfungsi baik.
5. Spare Parts Susah Dapat
- Ini penentu hidup mati mana-mana produk automotif di Malaysia. Benar, tiada guna beli produk yang susah kita hendak dapatkan alat ganti. Kejayaan atau kegagalan jenama Zontes di pasaran terletak pada cara bagaimana pengedar rasmi menjaga pelanggannya.
- Berdasarkan semakan di laman web Zontes Malaysia, ada 10 pengedar dan satu pusat servis rasmi untuk semua model Zontes. Mungkin akan ditambah dari semasa ke semasa.
RINGKASAN TUNGGANG UJI
Apa yang dapat saya ringkaskan daripada pengelaman menunggang 310X?
- Model ini menggunakan kunci pintar (keyless) kecil dan tiada slot masuk. Sistem motosikal mampu mengesan kehadiran kunci hingga jarak kira-kira 1 meter.
- Untuk buka kunci stereng, tekan butang merah sebelah kanan hendal. Jika mahu mengunci stereng, tekan butang tanpa lepas selama tiga saat. Ada isyarat bunyi buka dan kunci stereng.
- Perlu tarik tuil klac dan tekan butang penghidup serentak untuk menghidupkan enjin. Tuil klac agak lembut.
- Bar hendal dan peg kaki menempatkan badan dalam posisi selesa dan memudahkan pengendalian. Tiada rasa lenguh bahu, belakang badan atau lengan yang menepati ciri tipikal model sport tourer.
- Pelana dibalut dua material jenis kesat di tengah dan separa licin pada sisi. Jika menggunakan brek depan secara mengejut masih boleh menggelongsor. Apapun, pelana agak empuk dan cukup lebar kerana punggung tidak rasa lengguh.
- Tangki minyak perlu dibuka dengan menekan butang pada konsol kawalan. Awalnya, ada sedikit sangkut, selepas itu tekan terus saja terbuka. Hendak buka pelana pun kena tekan butang juga.
- Setangki petrol penuh boleh ditunggang antara 380km hingga 400km jika kekal kelajuan bawah 120kmj.
- Ada dua mod pemetaan enjin iaitu E dan S, tetapi kedua-duanya semacam tiada kesan signifikan.
- Sistem suspensi (fork dan monoshock) sedikit keras untuk penunggang bertubuh kecil dan mungkin kurang selesa jika meredah permukaan jalan tidak diturap baik. Sistem monoshock belakang boleh dilaraskan mengikut kesesuaian dan keselesaan.
- Kecekapan brek dengan teknologi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) memang berkesan dan jelas dapat dirasai. Tayar model ini juga menggunakan produk China, tetapi pendapat saya tiada masalah untuk jalan kering atau basah. Grip pun okay.
Jom dengar apa pula pandangan Abang Zul selepas tunggang uji Zontes 310x:
AKHIR KATA
Harga atas kertas RM22,800, dan mungkin belum ditambah caj dan kos lain seperti insurans dan cukai jalan. Pesaing kapasiti enjin sekelas ialah siri BMW 310. Segmen 300cc seperti ini biasanya kurang digemari ramai kerana lesen motosikal perlu dinaik taraf kepada B-Full atau mungkin kena tampal L.
Beli atau tidak? Nasihat saya, tunggang uji dulu dan selepas itu baru buat keputusan sendiri. Cuma, jangan cepat dipengaruhi fahaman 'motosikal China pakai seminggu lepas tu tersadai tepi jalan'.
BACA >>> Zontes Dedah Enjin 3-Silinder Baharu, Bakal Lawan Yamaha MT, MV Agusta dan Triumph
BACA >>> Zontes Perkenal Dua Sportbike 125cc untuk Pasaran Eropah, Harga RM15k
SPESIFIKASI ZONTES 310X
- ENJIN: 4-lejang silinder tunggal 312cc DOHC penyejukan cecair dengan teknologi suntikan bahan api (FI)
- KUASA & TORK: 34.8hp @ 9,500rpm; 30Nm @ 7,500rpm.
- TRANSMISI: Klac manual 6-kelajuan.
- BERAT: 149kg
- KAPASITI TANGKI: 15 liter
- TINGGI PELANA: 795mm
- BREK: Cakera tunggal depan dan belakang, dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
- RIM: 17 inci
Hakem says
Tunggang uji ni berapa lama?? Kalau dah diuji selama 3 tahun baru la boleh disahkan item 1 2 3 4 dan 5 tu 😊
Anuar says
Alat ganti order berapa lama baru dapat tu... Bayangkan Honda cbr250rr yang laris pun masih kebanyakan alat ganti masih tiada dipasaran malaysia. Sebut harga set sprocket pun dealer xdapat bagi harga...