ARTIKEL kali ini kita akan mengulas mengenai bau kereta baharu. Walaupun tiada sampel boleh dikongsikan sebagai contoh bauan untuk dihidu, tetapi kami yakin anda tentu sudah sedia maklum tentang aroma yang dikatakan bau kereta baharu.
Mengenai aroma kereta baharu, kita boleh bahagikan kepada dua kategori pemilik. Pertama, mereka yang sukakan bau kereta baharu hingga sanggup mencari pewangi seakan aroma itu supaya dapat selalu menghidu bauan tersebut walaupun usia kenderaan sudah tidak lagi berstatus 'bau kedai'.
Kedua, mereka yang tidak tahan bau kereta baharu dan menganggap aroma tersebut busuk lalu mempersoalkan kenapa kereta yang baru dibeli perlu berbau memualkan. Bagi mereka itu bukan bauan aromaterapi.
BACA >>> #ApaNakBuat: Tak Suka 'Bau Kedai' Kereta Baharu? Apa Kata Cuba Tip Ini...
APA SEBENARNYA BAU KERETA BAHARU?
- Setiap kereta ada bauan tersendiri mengikut jenis bahan digunakan ketika proses pembuatan. Apa dihidu itu ialah sebatian organik meruap (volatile organic compounds, VOC), iaitu bahan sama menyebabkan cermin depan seperti diselaputi kabus gris.
- Ada laporan mendakwa VOC mungkin terdiri daripada lebih 100 bahan kimia campuran, termasuk bahan beracun seperti benzena dan formaldehid.
- Toksin ftalat juga didakwa dikesan dalam kereta baharu, tetapi bahan itu tidak meruap dan bukan sebahagian bau kereta baharu.
- VOC dianggap sebagai bahan cemar udara, dan terbentuk melalui proses pelepasan gas (off-gassing) daripada material plastik dan semua produk yang terhasil daripada petroleum.
- Jika dalam kabin kereta, bahan itu dapat dikesan pada kerusi daripada busa (foam) yang juga digunakan untuk menghasilkan, karpet, papan pemuka hingga bahan pelarut dan gam dalam pembuatan kenderaan.
- Jika anda sukakan bau barang baharu seperti alatan perkakasan di rumah kerana menganggap wangi atau segar, itu sebenarnya bahan kimia yang berisiko memberikan kesan negatif ke atas kesihatan.
BACA >>> 'Pasukan Hidung Audi'- Unit Khas untuk Hidu Bau Material Kereta
ADAKAH IA MEMUDARATKAN?
- Bau terhasil daripada VOC membawa pelbagai kesan dan impaknya berbeza mengikut individu. Antara kesannya ialah sakit kepala, loya, sakit tekak sehingga penyebab kanser serta gangguan sistem imun (dalam tempoh panjang).
- Ada laporan menyatakan bau VOC tidak begitu berbahaya tetapi bukan bersifat aromaterapi.
- Tahap risiko atau kawalan kadar bau seperti kereta baharu sebenarnya bergantung pada sesebuah negara sama ada mengenakan kawalan regulasi ketat atau sebaliknya.
- Sebagai contoh, Amerika Syarikat (AS) dikatakan tidak mengamalkan undang-undang kualiti udara berkait bau kereta baharu dan kadar VOC mungkin lebih tinggi dalam kenderaan buatan AS.
BACA >>> #TahukahAnda: Benarkah Bahang Matahari Boleh Buat Kereta Rosak?
APA ANDA BOLEH BUAT?
- Jawapannya TIADA. Ini kerana VOC sememang dibebaskan material fabrik dan kulit dan anda sebenarnya tiada pilihan untuk mengurangkan bau berkenaan.
- Apa boleh dilakukan mungkin sekadar meredakan kesan tengik atau tajam bau tersebut dengan meletakkan pewangi sebenar. Namun itu sama sekali tidak dapat mengurangkan kesan kimia negatif yang dibebaskan.
- Banyak pengeluar memandang berat masalah bau itu dan cuba sebaik mungkin mengurangkan bahan pelepasan toksik kimia.
- Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, golongan wanita hamil dan kanak-kanak dinasihatkan tidak berada dalam kabin kereta baharu kerana bahan kimia VOC dikhuatiri menjejaskan perkembangan dan tumbesaran si kecil.
- Cara lain boleh dilakukan adalah membuka semua tingkap bagi membolehkan udara luar masuk ke dalam kabin.
- Jika memandu, pilih tetapan penyaman udara yang membenarkan angin luar masuk ke kabin. Ini sedikit sebanyak mengurangkan kesan bau kereta baharu.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Beza Mod 'Udara Dalam' dan 'Udara Luar' dalam A/C Kereta?
5 JENIS VOC DALAM BAU KERETA BAHARU
1. Toluene
- Pelarut cecair terhasil daripada minyak mentah (crude oil) dan banyak digunkan dalam bahan penanggal pengilap kuku.
- Bahan ini mungkin boleh ditemui dalam cat dan gam yang digunakan dalam kabin kenderaan.
- Toluene juga digunakan sebagai ejen antiketuk dalam aditif petrol dan dibebaskan menerusi asap ekzos.
2. Etilbenzena
- Sejenis bahan pelarut tanpa warna dan gas mudah terbakar. Boleh ditemui dalam tar batu arang dan petroleum.
- Bahan ini digunakan dalam cat dan stirena (lihat bahan dalam senarai ketiga).
- Sebaik proses pelepasan gas berlaku, bahan ini akan lerai menjadi bahan kimia lain (dipercayai kurang berbau) dalam tempoh tiga hari.
3. Stirena
- Tidak terbentuk secara semula jadi (walaupun kandungan rendah boleh ditemui dalam buah-buahan dan sayur).
- Ini bahan kimia sintetik yang dihasilkan di makmal dan banyak digunakan dalam kereta seperti getah, penebat dan lapisan bawah karpet.
- Masa diperlukan untuk bahan ini resap di udara selepas proses pelepasan gas ialah satu atau dua hari.
4. Xilena
- Cecair mudah bakar dengan bau harum boleh ditemui dalam tar arang batu dan petroleum.
- Digunakan dalam industri getah dan material kulit.
5. Trimethylbenzene
- Berbau kuat dan pelik. Berbentuk cecair dan digunakan sebagai pelarut dan pencair serta dalam aditif bahan api kenderaan.
- Boleh resap di bawah pancaran cahaya matahari. Cara terbaik, jemur kereta ketika matahari terik dan lakukan langkah ini selama beberapa hari.
VOC dikatakan akan resap pada kadar kira-kira 20 peratus setiap minggu. Cara mempercepatkan proses berkenaan ialah jemur kereta ketika cuaca panas dan buka tingkap, termasuk pintu untuk membolehkan angin memasuki ruang kabin. Selamat mencuba!
BACA >>> #ApaNakBuat: Cara Bajet Hilangkan Bau Asap Rokok dalam Kereta
BACA >>> #TahukahAnda: 7 Tanda Anda Kena Tukar Kereta Lama, Beli Kereta Baharu
BACA >>> #ApaNakBuat: 6 Tip Elak Sakit Belakang Ketika Memandu
BACA >>> Asbak aka 'Ashtray' - Perkakasan Kereta Paling Banyak Disalah Guna, Tetapi Cukup Berguna
SUMBER: Thought | HowStuffWorks
Leave a Reply