RAMAI pemilik kereta lama mungkin tidak sedar kenderaan mereka boleh ditukar status kepada VINTAJ atau KLASIK, dan layak menikmati pengecualian Lesen Kenderaan Motor (LKM) hingga 90 peratus!
Penukaran status kenderaan kepada vintaj atau klasik boleh dibuat dengan memohon kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Berikut syarat dan perincian mengenai pemohonan untuk membolehkan kereta anda mendapat salah satu daripada dua status berkenaan:
APAKAH VINTAJ DAN KLASIK?
- Vintaj: Kenderaan berusia 50 tahun dari tarikh pengeluaran pengilang asal.
- Klasik: Usia kenderaan sudah mencapai 25 tahun dari tarikh pengeluaran pengilang asal.
Kenderaan yang dikenali sebagai collectors item juga layak menerima status vintaj atau klasik (berdasarkan tahun pembuatan dan kelulusan JPJ).
APAKAH MANFAAT STATUS KERETA KLASIK, ATAU VINTAJ?
Jika kereta anda berjaya mendapat status klasik atau vintaj, anda sebenarnya layak menikmati potongan Lesen Kenderaan Motor (LKM), yang juga disebut road tax? Berikut potongan atau diskaun yang diberikan JPJ:
- Vintaj: Pengecualian LKM 90 peratus
- Klasik: Pengecualian LKM 80 peratus
BACA >>> Kerajaan Lanjut Tempoh Perbaharui Lesen Memandu, Lesen Kenderaan Motor Hingga 60 Hari
SYARAT PERMOHONAN
Hanya kategori motokar (kereta) layak membuat permohonan untuk status klasik dan vintaj dengan syarat:
- Pemilik mesti warganegara Malaysia.
- Kereta didaftarkan tidak kurang 25 tahun di Malaysia.
- Bagi kereta import, pemohon perlu membuktikan tarikh pendaftaran sudah mencapai 25 tahun di negara asal.
- Ada nilai pasaran tinggi yang sama seperti nilai barangan antik.
- Kondisi semasa kereta mesti seperti baharu, tidak berkarat, cat dan krom berkilat (komponen) serta bersih. Pendek kata, penampilan kereta mesti seperti model bilik pameran.
- Masti dalam kondisi layak dipandu atas jalan (roadworthy).
- Semua sistem kereta mesti berfungsi baik.
- Ada ciri spesifikasi, bentuk badan dan komponen utama asal seperti dikeluarkan pengeluar atau pengilang asal.
- Pengubahsuaian dibenarkan, tetapi untuk menambah baik sistem brek, elektrik dan sistem bahan api atas faktor keselamatan.
- Pemohon mesti ada lebih dua unit kenderaan (tidak semestinya kenderaan lama) selain motosikal yang didaftarkan atas nama sendiri.
- Nombor casis dan enjin mesti bersih, boleh dibaca jelas dan tidak diganggu.
- Kereta perlu diperiksa Pegawai Teknikal JPJ Ibu Pejabat atau JPJ negeri atau cawangan berkenaan.
BACA >>> Tukar Enjin Wajib Mohon JPJ! Apa Jadi Kalau Tak Daftar?
BAGAIMANAKAH CARA MEMOHON?
Ada dua cara permohonan dan pemeriksaan untuk kereta vintaj atau klasik boleh dibuat, iaitu melalui Bahagian Kejuruteraan Automotif, JPJ Negeri atau Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya.
Selain kenderaan, anda perlu bawa beberapa dokumen diperlukan seperti berikut:
- Borang Permohonan JPJVK (JPV Vintaj dan Klasik).
- Salinan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) yang mahu dapatkan status Vintaj atau Klasik.
- Salinan VOC bagi dua (2) kenderaan lain yang didaftarkan atas nama pemilik (kecuali motosikal).
- Salinan Kad Pengenalan pemilik atau pemohon.
- Gambar kenderaan (pandangan depan, belakang, sisi, dalaman kenderaan, stereng atau papan pemuka).
BACA >>> JPJ Tawar Diskaun 70 Peratus untuk Saman Boleh Kompaun!
BACA >>> #PanduUji: Sebuah Kisah Sentimental Tentang MINI Cooper S Clubman
APA JPJ AKAN PERIKSA?
- Semua dokumen serahan ketika memohon akan diperiksa bagi memastikan kereta layak mendapat status vintaj atau klasik.
- Pemeriksaan akan dibuat membabitkan enjin dan nombor enjin, casis asal dan nombor casis, rekabentuk badan asal (tidak diubah suai), sistem transmisi asal, sistem suspensi asal, gandar depan dan belakang asal, nombor pendaftaran, rim dan stereng asal.
- Semua laporan pemeriksaan dan permohonan menerusi JPJ Negeri perlu dihantar kepada Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ di Putrajaya untuk dinilai semula, sebelum diusulkan kepada Ketua Pengarah JPJ.
- Jika lulus, sijil pengesahan dikeluarkan untuk layak mendapat potongan harga LKM.
- Sijil pengesahan status vintaj atau klasik perlu diperbaharui setiap lima tahun, atau jika melakukan urusan tukar nama, atau tukar nombor pendaftaran (interchange). Caranyam buat permohonan semula untuk menentukan status kereta vintaj atau klasik mengikut syarat ditetapkan seperti dinyatakan di atas.
BACA >>> #ApaNakBuat: Tip Jaga Kesihatan Radiator Kereta Anda
BACA >>> #ApaNakBuat: 5 Tip Mudah Penjagaan Wiper Supaya Tahan Lama
BACA >>> #TahukahAnda: Buat 8 Tip Penjagaan Ini Supaya Kereta Anda Kekal Tip-Top!
BACA >>> Yokohama Tawar Tiga Pilihan Tayar untuk Kereta Klasik
SUMBER: JPJ
Ahmad Kamal says
Cukai jalan kereta klasik boleh di perbaharui di JPJ sahaja?
Azhan O says
Ya