KIA meneruskan usaha pengenalan global terhadap transformasi baharu jenama itu dengan satu pertunjukan latar cahaya LED pada struktur bangunan tertinggi dunia Burj Khalifa yang menjadi mercu tanda ibu kota Dubai.
Pengeluar automotif dari Korea Selatan itu turut memperkenalkan slogan 'Movement that Inspires', logo korporat dan kenderaan elektrik (EV) pertama EV6 di Timur Tengah melalui paparan LED pada bangunan setinggi 828 meter itu.
Pertunjukan cahaya yang dibuat pada permukaan bangunan seluas 33,000 meter persegi itu turut diiktiraf Guinness World Record sebagai iluminasi LED pada muka bangunan terbesar dunia.
Logo baharu itu menandakan transformasi utuh Kia daripada pengeluar automotif konvensional kepada pencipta solusi mobiliti mampan untuk pelanggan. Langkah itu juga akan diperluas ke bidang baharu dengan mencipta pelbagai produk mobiliti inovatif dan perkhidmatan untuk menambah baik kehidupan harian manusia.
Bagi menjayakan usaha tersebut, KIA memposisikan kedudukan dalam industri mobiliti masa depan, mengembangkan bisnes membabitkan pembuatan EV, perkhidmatan dan solusi mobiliti, dan tujuan pembinaan kenderaan serta lain-lain.
Bermula pelancaran EV6 (foto atas), KIA akan mengukuhkan rangkaian EV menjelang 2026 dengan memperkenalkan 11 model baharu, iaitu tujuh berasaskan arkitektur Platform Modular Elektrik Global (E-GMP) dan empat lagi model enjin pembakaran dalaman sedia ada.
Mengenai trenkuasa, EV6 menawarkan beberapa pilihan elektrik penuh dengan konfigurasi bebas emisi membabitkan pek bateri voltan tinggi jarak jauh (77.4kWh) dan standard (58.0kWh).
EV6 menawarkan kapasiti pengecasan semula 800V dan 400V tanpa memerlukan tambahan komponen atau adapter. Keupayaan pengecasan 800V membolehkan bateri EV6 dicas daripada kadar 10 peratus kepada 80 peratus sepantas 18 minit sahaja. Varian GT pula mampu memecut 0-100kmj dalam 3.5 saat dengan kelajuan maksimum 260kmj.
Naib Presiden Kanan KIA dan Ketua Jenama Global dan Pengalaman Pelanggan, Artur Martins berkata;
KIA lahir semula pada 2021 dengan visi baharu untuk mobiliti. Kami percaya idea pergerakan memberi inspirasi dan mahu mencipta ruang untuk semua pelanggan merealisasikan idea dalam kehidupan."
BACA >>> Imej Kia K3 (2022) Didedah! Tampil Rekabentuk Serba Baharu Lebih Mengancam
BACA >>> Bermaz Auto Kini Terajui Jenama Kia di Malaysia, 3 Model CKD Bakal Lancar
SUMBER: Carmudi
Leave a Reply