LEBANON menjadi negara terbaharu menyertai senarai pengeluar kereta elektrik dunia menerusi debut model sports Quds Rise yang akan dijual pada harga AS$30,000 (RM123,080).
Model ini juga boleh dianggap sebagai kereta sports elektrik pertama dari negara Arab. Menariknya, kereta elektrik itu dihasilkan EV Electra yang dimiliki usahawan Lebanon keturunan Palestin, Jihad Mohammad.
Berikut perincian Quds Rise (2021):
- Enjin dijana motor elektrik yang dipasangkan pada roda belakang dan pek bateri 50kWh untuk membolehkan kereta ini dipandu sejauh 450km sebelum dicas semula.
- Kelajuan maksimum 165kmj, manakala pecutan 0-100kmj dapat dibuat sepantas 5 saat.
- Memiliki banyak lekuk dan garis badan beralun pada bahagian depan, dengan bentuk fender depan dan belakang berbenjol tinggi.
- Rupa belakang agak futuristik dengan rekaan lampu LED jenis strip untuk lampu brek, signal dan reflektor.
- Rekaan gril nampak seperti kubah masjid yang diapit sepasang lampu utama saiz besar, dipercayai jenis projektor, disepadukan bersama lampu siang (DRL).
- Pintu kereta jenis sayap camar (gull-wing) yang dibuka ke atas. Ruang kabin menyerlahkan gaya vintaj moden dengan unit infotainment skrin sentuh 15.9 inci pada konsol tengah, diposisikan bawah ventilator penyaman udara. Kluster instrumen direka dalam bentuk apung atas papan pemuka.
- Badan kereta elektrik ini dibuat daripada frem aluminium, manakala panel badan menggunakan gentian kaca dengan berat keseluruhan 1,100kg.
TRIVIA
- Prototaip Quds Rise dibina di Lebanon walaupun negara itu mengalami krisis kewangan teruk.
- Quds dalam bahasa Arab merujuk kepada Baitulmaqdis. Nama Rise pula diilhamkan daripada insiden letupan berganda di Pelabuhan Beirut yang meranapkan sebahagian ibu kota tersebut, termasuk meragut nyawa lebih 200 orang, dan 6,000 lagi cedera.
- Jadi, EV Electra mengharapkan kebangkita semula Lebanon susulan peristiwa ngeri itu.
- Model prototaip merah dengan logo kubah emas pada gril depan itu menggambarkan bentuk kubah Masjid Kubah Batu (juga dipanggil Dome of The Rock) di kota lama Baitulmaqdis. Masjid itu terletak dalam pekarangan Masjid al-Aqsa.
- Masjid al-Aqsa turut dianggap Tapak Suci Ketiga umat Islam selain Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi, di Madinah.
- Sebanyak 10,000 unit dijangka dikeluarkan tahun ini sebelum ditawarkan ke pasaran menjelang tahun depan (2022).
- EV Electra ditubuhkan empat tahun lalu dan mempunyai seramai 300 pekerja, termasuk jurutera dari Lebanon dan Palestin.
- Pek bateri dibeli daripada pengeluar Eropah, manakala kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijalankan di Lebanon.
BACA >>> Pakar: Harga Kereta Elektrik Bakal Sama dengan Kereta Petrol pada 2023
BACA >>> Saksi Kes Tesla Terbakar Tanpa Pemandu: Mangsa Memang Nak Uji Autopilot
SUMBER: Kolesa
Leave a Reply