CECAIR penyejuk (coolant) juga dikenali sebagai cecair radiator atau cecair antibeku di negara bermusim sejuk. Ia komponen penting untuk sistem penyejukan kenderaan yang secara tidak langsung menjamin ketahanan enjin.
Kegagalan fungsi mekanikal dalam sistem penyejukan menjadi antara sebab utama kereta rosak atau tersadai di jalan raya. Jadi, pemantauan paras kandungan dan keadaan cecair coolant wajib dilakukan pemandu ketika melakukan penyenggaraan berkala.
Secara am, kebocoran sistem penyejukan sedang berlaku jika kereta mengalami kehilangan banyak kuantiti cecair coolant. Namun, kereta juga boleh kehilangan cecair itu tanpa mengalami masalah kebocoran besar. Kenapa jadi begitu?
Cecair Coolant Kurang, Tapi Tidak Nampak Kebocoran, Ke Mana Hilang?
Nampak macam pelik dan mustahil untuk memahami isu cecair coolant berkurangan tanpa tanda kebocoran pada radiator atau komponen sistem penyejukan. Tetapi jangan terkejut kerana situasi itu tidaklah serumit mana.
Antara faktor menyumbang kepada kehilangan cecair coolant ialah penyenggaraan sistem penyejukan yang tidak baik, komponen rosak, atau penukaran tabiat memandu mendadak. Selain itu , perkara di bawah ini juga boleh menjadi punca paras cecair coolant berkurangan tanpa ada sebarang kebocoran.
1. Sistem Penyejukan Melimpah
Mengisi melebihi paras maksimum boleh menjadi punca kehilangan misteri cecair coolant. Kita seharusnya perlu sentiasa mengekalkan paras kandungan cecair coolant mengikut had ditetapkan.
Kita dapat lihat ada tanda paras maksimum dan minimum tertera pada tangki coolant. Bagi pemandu negara musim sejuk, paras minimum dikenali juga dengan label COLD sebagai paras ideal cecair coolant dalam kondisi sejuk.
Paras cecair coolant juga sepatutnya berada hanya dibawah paras maksimum dan tidak boleh melebihi paras tersebut.
2. Kerosakan Bahagian Dalam
Jika kereta kehilangan cecair coolant tanpa kesan kebocoran yang kelihatan, puncanya mungkin disebabkan beberapa komponen lain. Boleh jadi gasket rosak, kepala silinder retak, lubang silinder rosak, manifold bocor dan mungkin juga disebabkan fenomena 'hydraulic lock' dalam enjin.
Pemeriksaan lebih rapi boleh dilakukan bagi memeriksa komponen tersebut bagi mengesan sebarang keretakan atau kerosakan yang berlaku. Salah satu daripada isu tersebut boleh merosakkan enjin jika dibiarkan berterusan dalam jangka masa lama.
Apapun, jangan terlalu risau dan anda boleh mula menarik nafas lega jika mekanik tidak menjumpai kesan gas ekzos dalam cecair atau tangki sistem penyejuk kereta. Maksudnya cecair coolant tidak bocor di bahagian dalam dan sampai ke ruang dalaman enjin.
3. Penutup Radiator Sudah Haus, Rosak
Keupayaan ketahanan penutup radiator akan merosot selepas lama digunakan. Getah penutup yang sudah usang boleh retak dan mengeras. Kadar kekenyalan akan berkurangan hingga menyebabkan cecair coolant melimpah keluar ketika memandu.
Bahan asing atau karat yang berlaku dalam radiator akan menyebabkan radiator tersumbat, sekali gus menyekat aliran cecair dalam saluran paip sistem penyejukan. Pemeriksaan sepenuhnya ke atas komponen radiator perlu dilakukan jika cecair coolant hilang tanpa sebarang kesan.
4. Enjin Terlampau Panas
Enjin terlampau panas sangat berkait rapat dengan cecair coolant. Kehilangan cecair coolant akan menyebabkan suhu enjin meningkat tinggi. Sebaliknya, suhu tinggi pada enjin pula akan menyumbang kepada masalah kehilangan cecair coolant.
Jika situasi itu berlaku, anda boleh tambah semula kandungan cecair coolant hingga paras maksimum dan perhatikan keadaan enjin dan kadar penggunaan cecair coolant. Penggunaan tolok suhu akan memberitahu sama ada enjin berfungsi dalam kondisi suhu melampau atau normal.
JIka masalah berlaku akibat enjin terlampau panas. Hantar kereta ke bengkel untuk mencari punca enjin terlampau panas. Selepas isu itu diselesaikan, kitaran penggunaan cecair coolant akan kembali kepada kondisi asal.
BACA >>> #TahukahAnda: 4 Jenis Coolant yang Perlu Anda Tahu
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapakah Cecair Coolant Ada Macam-Macam Warna?
KESIMPULAN
Berdasarkan isu di atas, ada banyak punca yang boleh menyebabkan paras cecair coolant berkurangan. Penggunaan cecair coolant yang sesuai juga boleh membantu sistem penyejukan bertahan lebih lama tanpa kerosakan dan kehilangan.
Jika anda mengalami masalah tersebut, sila kenal pasti punca sebenar dan cuba selesaikan masalah itu bagi mengelakkan berlaku kerosakan lebih teruk ke atas enjin kereta.
rizal says
coolant kurang banyak bila memandu berterusan,dapat tahu air keluar melalui ekzos bila rpm melebihi 2k,tapi minyak enjin tak berkurang dan head tak ada leaking...wira 1.6A