KESESAKAN lalu lintas memang sudah jadi realiti kehidupan masa kini untuk jutaan pengguna jalan raya seluruh dunia tidak kira di mana berada.
Masalah ini menyebabkan ramai kalangan kita cuba mengatur jadual harian dan gaya hidup berdasarkan kepada kesesakan jalan raya. Bagi menghilang stres dan kebosanan, pemandu akan cuba melakukan sesuatu seperti berdandan, menelefon rakan dan ada juga sempat menyiapkan beberapa tugasan menggunakan komputer riba.
Namun, semua perkara itu tidak akan membebaskan kita daripada kesesakan lalu lintas.
Sebenarnya jika bukan situasi luar jangka seperti kemalangan, kesesakan jalan raya kebiasaannya ada paten tertentu, iaitu kerap berlaku pada pagi, tengah hari dan petang kerana ia waktu puncak. Jadi, anda sebenarnya ada cara untuk mengelakkan kesesakan waktu puncak tersebut.
Sebagai permulaan, tip ini hanya terpakai buat mereka yang berkerja di laluan yang mampu mengelak kesesakan. Kalau mana-mana jalan pun sesak sepanjang masa, memang tip ini tidak berkesan. Mungkin cuma dapat menjimatkan masa perjalanan saja.
1. DAPAT MAKLUMAT SEBELUM GERAK
Cara pertama, kita perlu sentiasa mengetahui maklumat keadaan jalan raya semasa, termasuk kemas kini hal pembangunan dan penyelenggaraan. Maklumat boleh didapati menggunakan aplikasi keadaan jalan yang boleh dimuat turun ke telefon pintar anda, atau dengar hebahan radio ketika memandu.
Anda juga boleh guna pengalaman dan pengetahuan mengenai selok-belok jalan raya dan kemampuan mencari laluan alternatif untuk mengelakkan kesesakan. Jika tiada jalan lain, terpaksalah cari nasihat mengenai cara hendak mengatasi masalah tersebut seperti di bawah ini.
2. GERAK AWAL KE LOKASI
Ada yang bergerak awal ke tempat kerja dan pulang selewat mungkin untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Nampak macam membuang masa, tetapi sekurang-kurangnya tidak perlu menghabiskan masa lama yang membosankan atas jalan.
3. TUKAR MEDIUM PENGANGKUTAN
Ada juga yang menukar kenderaan ke tempat kerja, tetapi tetap ada risiko. Motosikal adalah medium pengangkutan paling pantas dan jimat berbanding kenderaan lain. Namun, kekurangan yang perlu dihadapi adalah pengaruh cuaca dan risiko tinggi kemalangan.
Cara lain ialah naik pengangkutan awam. Pun lebih selamat dan jimat, lebih-lebih lagi jika tempat kerja anda memang berada dekat dengan pengangkutan awam seperti LRT, MRT, Monorel atau bas. Cuma perlu lebih banyak berjalan dan bersesak dengan orang ramai. Tetapi cara ini kurang sesuai buat mereka yang jauh dari pengangkutan awam.
Cara lain paling kurang popular adalah berkongsi kenderaan. Namun agak sukar hendak berkongsi kenderaan kerana masing-masing ada komitmen sendiri. Jadi pilihan ini paling kurang dilakukan walaupun pernah dikempenkan suatu masa dulu.
BACA >>> 10 Tip untuk Penggemar Aktiviti Larian, Jalan Kaki di Jalan Raya
BACA >>> Kajian: Lorong Basikal Punca Lebih Banyak Pencemaran Alam Sekitar?
TIP ELAK SESAK KETIKA MEMANDU
Berikut beberapa tip yang anda boleh amalkan ketika memandu.
- Perhatikan keadaan jalan dan ramalkan laluan di depan supaya dapat memilih lorong paling baik. Lebih baik bertukar lorong lebih awal kerana sukar dilakukan ketika lalu lintas sesak.
- Sentiasa fokus memandu, mata memandang ke jalan dan tengok cermin sisi dan belakang.
- Pastikan sentiasa bersedia guna lampu, lampu signal belok dan hon ketika diperlukan.
- Pastikan kenderaan sentiasa dalam jarak selamat dan mengikut aliran lalu lintas.
- Jangan terganggu ketika memandu dalam keadaan jalan sesak, pastikan lagu tidak dipasangkan terlalu kuat dan telefon pintar dalam keadaan senyap atau berdekatan.
- Bersabar dan patuhi peraturan jalan raya. Tiada guna bergaduh kalau jalan depan masih tidak bergerak.
- Bertimbang rasa dan berikan kemudahan kenderaan lain menukar lorong, terutama petugas kecemasan.
- Pasang lampu signal belok dan pastikan periksa cermin tepi dan belakang sebelum menukar lorong. Sentiasa ingat ada ramai penunggang motosikal yang sedang mencari rezeki di tepi kereta kita.
Leave a Reply