LEXUS Malaysia hari ini melancarkan model kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah baharu, LM350 (2021), iaitu model import penuh (CBU) dari Jepun, direka khas buat mereka yang mementingkan keselesaan, kemewahan dan kehalusan rekabentuk.
LM350 (LM bermaksud Luxury Mover) mengetengahkan rekaan eksklusif Lexus dan didatangkan dengan empat kerusi yang memberikan ekstra ruang kepada penumpang. Dijual pada harga RM1,145,000, pembelian MPV ini akan dipakejkan bersama waranti lima tahun dengan jarak perbatuan tanpa had.
Berikut ciri menarik LM 350 (2021):
- Datang dalam dua pilihan warna, White Pearl Crystal Shine (putih) dan Black (hitam). Bahagian dalaman turut ditawarkan dua pilihan warna iaitu Black (hitam) dan White (putih) serta dipadankan kemasan Gin-Sui-Boku (cat perak) yang diilhamkan daripada lukisan cat Jepun.
- Trenkuasa digunakan enjin 4-lejang 24-injap petrol V6 3.5L aspirasi natural (NA) berkuasa 296hp dan tork 361Nm serta dipadankan transmisi automatik 8-kelajuan.
- Bahagian depan menampilkan gril spindel besar sebagai rekaan signatur Lexus, lampu depan dan lampu siang (DRL) LED yang memberikan fiil sofistikated. Lampu belakang juga LED yang direka bersambung sepanjang pintu but dari sisi ke sisi.
- Antara model Lexus terbesar dengan panjang 5,040mm, lebar 1,850mm dan tinggi 1,895mm. Bagaimanapun, bahagian sisi diberikan rekaan dinamik 3-dimensi untuk menyerlahkan ciri premium tanpa menjadikan saiz kenderaan yang besar terlalu menonjol.
- Ruang kabin menghidangkan unit infotainment skrin sentuh 12.3 inci dengan konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto. Port pengecas wayarles turut disediakan di konsol tengah.
- Tempat duduk baris belakang menggunakan kerusi jenis VIP Lounge Seats dengan kemasan kulit semi-anilin dan dilengkapi busa (foam) responsif AdaptiPedic mengikut bentuk badan penumpang untuk memberikan keselesaan dan postur badan betul.
- Kerusi ini juga mempunyai fungsi urut dengan tujuh program tetapan urutan dan lima tahap tekanan. Juga ada ciri pengudaraan untuk mengurangkan haba dengan efektif.
- Bahagian belakang dilengkapi sistem hiburan peribadi dengan skrin 26 inci dan 720 piksel definisi tinggi (HD) dengan pelbagai pilihan sambungan media dan cakera Blu-Ray. Ada juga disediakan peti sejuk 14 liter untuk menyimpan minuman.
- Hadir dengan bumbung bulan kembar Twin-Moonroof dan lampu ambien dalam 16 warna pilihan. Sistem audio mendapatkan khidmat Mark Levinson yang dilontarkan menerusi 19 pembesar suara.
- Sistem suspensi menggunakan jenis strut MacPherson di depan dan Double Wishbones di belakang yang dilengkapi absorber injap ayun (swing valve shock absorber).
- Dilengkapi sistem bantuan pemandu Lexus Safety System+ (LSS+) yang terdiri daripada ciri Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Henti-Jalan (Stop & Go), Amaran Tukar Lorong (LDA), Bantuan Jejak Lorong (LTA) dan Lampu Suluh Tinggi Automatik (AHB).
- Ciri keselamatan standard diberikan ialah Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC), Kawalan Traksi (TRC), Pemantau Titik Buta (BSM), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Pemantau Tekanan Tayar, Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA) dan tujuh beg udara.
BACA >>> #PanduUji: Berbaloi Tak Beli Lexus RX 300 F Sport Edisi Naik Taraf Ini?
BACA >>> MPV Super Mewah, Lexus LM350 Buka Tempahan di Malaysia, Harga RM1.1 Juta
Leave a Reply