CERITA tentang pelancaran sedan segmen-A, Proton Saga masih meniti di bibir peminat automotif di Pakistan sejak beberapa hari lalu hingga menjadi antara berita tular di negara Asia Selatan itu.
Walaupun rakyat Pakistan melihat Saga sebagai pencabar kepada model seperti hatchback Suzuki Cultus, dan Swift hingga sedan Honda City dan Toyota Yaris, tetapi semua model itu tersasar daripada persaingan satu lawan satu. Ini kerana pesaing paling dekat Saga (2021) di Pakistan ialah Changan Alsvin, iaitu model buatan pengeluar automoitf yang berpangkalan di Chongqing, barat daya China.
Jadi, kami cuba membandingkan varian premium untuk dua model tersebut, iaitu Saga Ace 1.3L MT (manual) dan Alsvin 1.3L.
BACA >>> Proton Saga (2021) Tular di Pakistan, Netizen Asing Puji Kehebatan Kereta Malaysia
BACA >>> Proton Saga (2021) Kini di Pakistan! Siap Versi R3, Cuma Jual 100 Unit Sahaja
REKABENTUK
Saga Pakistan mengetengahkan rekabentuk agak konvensional, sama seperti dijual di Malaysia. Mungkin gaya lembut membuatkan model itu tampak evergreen bagi kalangan rakyat negara kita.
Alsvin pula memiliki rekabentuk lebih terkini dengan lekuk badan moden, terutama bahagian sisi ala Honda City atau Hyundai Elantra lama.
Gril Saga bersaiz kecil dan bersambung dengan set lampu depan serta dipisahkan bampar depan. Lampu siang (DRL) diposisikan di kiri dan kanan bampar. Gril Saga yang leper memberikan visual depan lebih lebar.
Alsvin mempunyai gril agak besar dalam satu unit bersepadu dengan lampu depan dan lampu DRL yang diletakkan lebih rendah pada bampar bawah. Dari depan nampak seakan rekabentuk gaya X atau rama-rama.
Bahagian belakang Saga Pakistan menampilkan gaya tradisional yang diserikan difuser warna kontras. Lencana harimau digantikan perkataan tertulis 'PROTON' pada pintu but ] yang melintang antara dua lampu belakang. Ada spoiler kecil ditambah pada but.
Alsvin didatangkan dengan rekabentuk lebih menarik dengan lekuk badan beralun. Unit lampu belakang 'hidup' dan trendy, juga ditampal lencana dan nama model pada pintubut. Bampar belakang juga nampak lebih labuh berbanding Saga yang mengingatkan kita kepada Perodua Bezza.
Bahagian sisi Saga Pakistan ada garis badan lurus yang bersambung dari lampu belakang hingga fender depan, termasuk lekuk bawah sepanjang bawah pintu. Penutup tangki minyak bersegit empat tepat, manakala antena digunakan masih jenis rod. Rim Saga lebih menarik dan eksklusif dengan paten bunga raya lima jejari.
Alsvin juga mempunyai garis badan memanjang sepanjang sisi badan, tetapi terputus dua pada bahagian pintu belakang. Lekuk bawah badan pula lebih landai. Penutup minyak kelihatan agak kolot dalam bentuk bulat seperti kereta 80-an. Antena jenis sirip jerung tetapi macam gaya ikan lumba-lumba. Rim pula nampak biasa-biasa saja.
KABIN
Kabin Saga Pakistan menggunakan tona hitam dengan aksen aluminium pada stereng, konsol tengah dan beberapa bahagian lain. Stereng Saga direka bulat yang disertakan butang kawalan audio dan panggilan telefon.
Konsol tengah papan pemuka mengetengahkan rekabentuk berkotak yang diletakkan unit infotainment jenis apung, diposisikan atas dua ventilator penyaman udara. Kluster instrumen memaparkan spidometer dan takometer serta skrin digital multi-info kecil ditenga. Tombol gear agak oldskool dan perlu diubah.
Alsvin menawarkan papan pemuka lebih elegan serta moden. Butang kawalan penyaman udara dan audio sengaja direka menyongsang dan berlawanan arah. Unit infotainment apung Alsvin juga nampak lebih menarik berbanding Saga, tetapi diposisikan agak tinggi yang boleh mengganggu pandangan pemandu ketika memandu.
Bentuk stereng bukan bulat penuh, tetapi direka rata pada bawah seperti model sport Eropah. Kluster instrumen cuma memaparkan meter spidometer analog di tengah, dan diapit maklumat pemanduan digital di kiri dan kanan. Nampak lebih moden dan cantik.
VARIAN DAN HARGA
Saga Pakistan menawarkan lima varian:
- Saga MT - 1,975,000 rupee (RM53,690)
- Saga AT - 2,125,000 rupee (RM57,770)
- Saga Ace - 2,225,000 rupee (RM60,490)
- Saga R3 MT - 2,175,000 rupee (RM59,130)
- Saga R3 AT - 2,425,000 rupee (RM65,925)
Alsvin pula cuma ada tiga varian iaitu:
- Comfort 1.37L (MT) - 2,199,000 rupee (RM59,873)
- Comfort 1.5L BlueCore (DCT) - 2,399,000 rupee (RM65,319)
- Lumiere 1.5L BlueCore (DCT) - 2,549,000 rupee (RM69,403)
Varian paling asas Saga MT lebih murah daripada Alsvin Comfort (kedua-duanya transmisi manual) dalam 22,4000 rupee (RM6,080), manakala varian paling premium Saga R3 AT juga lebih murah berbanding Alsvin Lumiere dalam 124,000 rupee (RM3,360).
TRENKUASA
Saga Pakistan menggunakan enjin petrol 4-silinder sebaris 1,299cc DOHC 16-injap dengan teknologi suntikan bahan api (EFI) berkuasa 95hp dan tork 120Nm. Ada dua opsyen transmisi ditawarkan, iaitu manual 5-kelajuan dan automatik 4-kelajuan.
Alsvin pula dipacu trenkuasa 4-silinder sebaris DOHC 16-injap dengan suntikan bahan api MPFI berkuasa 99hp dan tork 135Nm. Menarik tentang sedan mini Changan ini ialah opsyen transmisi manual 5-kelajuan dan dual-klac (DCT) 5-kelajuan untuk varian Comfort 1.5L dan Lumiere.
PENGGUNAAN MINYAK
Kedua-dua model, Saga Pakistan dan Alsvin mencatat penggunaan minyak petrol sama iaitu 16km per liter untuk lebuh raya dan 12km per liter di jalan biasa.
DIMENSI
- Saga Pakistan: panjang 4,331mm x lebar 1,689mm x tinggi 1,491mm
- Alsvin: panjang 4,390mm x lebar 1,725mm x tinggi 1,490mm
Saga Pakistan mempunyai jarak roda 2,465mm lebih pendek berbanding Alsvin (2,535mm), menandakan lLsvin memiliki ruang kabin lebih besar. Secara keseluruhan, Saga Pakistan lebih kompak berbanding Alsvin, tetapi memiliki ketinggian lebih kurang sama.
CIRI KESELAMATAN
Saga Pakistan dan Alsvin berkongsi banyak persamaan ciri keselamatan seperti dua beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), sistem penghidup tanpa kunci, kamera undur dan sensor parkir. Cuma, Saga ada kelebihan ciri Kawalan Traksi (TC), sebaliknya Alsvin menawarkan keselesaan kabin dengan material kulit sintetik, sistem navigasi dan perehat tangan.
WARNA
Saga Pakistan menawarkan enam pilihan warna, iaitu Armour Silver (perak), Ruby Red (merah), Rosewood Maroon (merah gelap), Jet Grey (kelabu), Snow White (putih) dan Quartz Black (hitam).
Alsvin juga ada enam warna untuk dipilih, iaitu Stellar White (putih), Lunar Silver (perak), Galaxy Black (hitam), Cosmic Red (merah), Nebula Blue (biru), Space Grey (kelabu).
Aiman says
Saga 4 bintang
Alvin 3.5 bintang
Semua aspek.
Proton says
Smart ni..