Pelumba Cub Prix Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Norizman Ismail akui beberapa litar baharu yang diperkenalkan pada musim 2016 dilihat tidak banyak memberi kelebihan buat jentera Honda khususnya bagi kategori CP130.
Menjelang perlumbaan pusingan ke-8 hujung minggu ini di Temerloh, Pahang, pelumba senior itu adalah satu-satunya menggunakan jentera Honda yang berada di kelompok lima pelumba terbaik.
Norizman ketika ini menghuni tangga ke-3 dengan 68 mata manakala gabungan dua peluma PETRONAS Yamaha Maju Motor, Kasma Daniel Kasmayudin dan Ahmad Fazli Sham berjaya memenangi kesemua perlumbaan dengan Kasma mendahului senarai keseluruhan dengan mengumpul 150 mata.
Kedudukan keempat dan kelima milik Ahmad Afif Amran dan Ahmad Fazrul Sham, masing-masing dengan 63 mata.
LITAR MENCABAR
" Kempen kami pada tahun ini agak mencabar, terutama di litar baharu seperti Pasir Mas, Kelantan dan Kemaman di Terengganu.
" Litar yang agak pendek dan sangat teknikal menyebabkan kami sukar untuk mendapatkan pelarasan enjin serta suspensi yang terbaik. Namun saya bernasib baik kerana masih mampu menempatkan diri di tangga ke-3 meskipun kehilangan banyak mata kerana gagal menamatkan perlumbaan di Kelantan dan Terengganu," jelas Norizman.
Berbaki tiga pusingan lagi, Norizman akui peluang untuk mengejar kedudukan teratas sudahpun tertutup.
" Pada peringkat awal, strategi kami adalah untuk membantu dan meletakkan pelumba junior, Hafiz Nor Azman sebagai pelumba utama pasukan.
" Namun strategi kami tidak berjalan lancar dan saya perlu bekerja keras untuk membantu pasukan berada di kedudukan terbaik. Kami perlu mengkaji strategi terbaik untuk baki tiga perlumbaan ini," tambah Norizman lagi.
Leave a Reply