LEXUS menduduki tangga ketiga jenama kenderaan paling dipercayai selepas Mazda dan Toyota. Malah Lexus ialah jenama premium nombor satu dalam ranking Consumer Reports Auto Reliability 2021. Dua pencabarnya, BMW dan Mercedes-Benz menapak di tangga 12 dan 20.
Dalam barisan produk Lexus, model kenderaan utiliti sukan (SUV) paling signifikan jenama itu ialah siri RX yang menjadi antara pencetus awal kelahiran segmen SUV mewah dunia pada 1998. Sebelum terlupa, RX atau dipanggil Harrier di beberapa pasaran pada ketika itu lebih laris daripada model pencabar buatan Jerman.
Lexus Malaysia membawa masuk tiga model (enam varian) RX sebagai model import (CBU) dari Jepun bermula 2015. Empat tahun kemudian, wakil pengeluar itu memperkenalkan pula siri RX 300 (2019) edisi naik taraf pada harga asas berikut:
- Premium - RM 385,306.50
- Luxury - RM 409,785.50
- Luxury Special Edition - RM421,909.50
- F Sport - RM424,187
BACA >>> Lexus RX (2019) - SUV Mewah 7-Kerusi Sedia Cabar Pesaing Eropah
TRENKUASA
Enjin 4-silinder 2.0L pengecas turbo menghasilkan kuasa 235hp dengan tork 350Nm. Enjin yang diambil daripada model generasi lama RX 200 ini sebenarnya sudah memadai bagi sebuah SUV untuk pemanduan dalam bandar atau lebuh raya.
Hantaran kuasa dianggap lancar walaupun RX ini masih bergantung kepada transmisi automatik 6-kelajuan. Tiada rasa ragu-ragu kerana ini produk binaan Jepun. Cumanya, pilihan kotak gear 8-kelajuan mungkin memberi nilai tambah. RX 300 F Sport juga ada pedal syif.
Ada tiga tetapan pemetaan enjin disediakan iaitu Normal, Eco, Sport dan Sport + yang boleh dipilih menerusi tombol bulat pada konsol tengah. Anda boleh ubah beberapa tetapan lain seperti trenkuasa, casis atau suhu dalam kabin walaupun memandu dalam mod Normal sudah cukup selesa.
DALAMAN
- Keseluruhan gaya RX 300 F Sport mirip RX 350 F Sport dan RX 450 h, tetapi menerima sedikit penambahbaikan. Ruang kabin diselaputi kombinasi kemasan lembut dan keras, termasuk penggunaan kulit yang meningkatkan fiil mewah RX.
- Kerusi sport bukan hanya membantu pemandu mendapatkan posisi badan terbaik untuk memandu, tetapi juga disediakan ciri penyejuk dan pemanas jika memandu dalam cuaca sejuk atau panas.
- Stereng boleh dilaraskan pelbagai sudut sama ada ke dalam, ditarik keluar, ditolak ke atas atau ke bawah dengan menggunakan butang bentuk dadu (lihat foto atas kiri) di sebelah kiri tengkuk stereng.
- Kabin seperti berada dalam zon senyap yang memberi rasa tenang. Agak sukar mendengar bunyi bising dari luar seperti ekzos kenderaan lain ketika memandu walaupun dalam situasi trafik sesak. Memang impresif.
- Semua kerusi, termasuk barisan belakang boleh dilaraskan secara elektrik dengan menggunakan butang pada tepi kerusi. Kerusi belakang juga boleh dilipat dengan menekan butang pada ruang but belakang.
- Kerusi tengah di belakang kurang sesuai untuk penumpang untuk pemanduan jarak jauh. Strukturnya agak keras dan tidak selesa. Bagaimanapun, bukan masalah besar seandainya destinasi dituju adalah dekat.
- Pintu but boleh dibuka dan ditutup dengan menggerakkan kaki bawah bampar yang lancar apabila digunakan. Susun atur tayar dan spanar disusun rapi dan kemas di bawah lantai but bagi memastikan tiada bunyi besi berlaga.
- Ada unit infotainment skrin sentuh digital besar di tengah papan pemuka untuk paparan multi-info, tetapi agak sukar dicapai tangan, terutama untuk pemandu bertubuh kecil kerana perlu membongkok untuk mengubah tetapan.
- Bagaimanapun, akses tetapan boleh dilakuykan menggunakan pad sentuh Lexus dekat konsol gear, cuma memerlukan sedikit masa untuk memahirkan diri menggunakannya. Pendapat saya, penggunaan tombol atau butang kawalan lebih mesra pengguna.
- Boleh dikatakan pasukan jurutera Lexus sudah memikirkan setiap aspek dan melakukan yang terbaik untuk memperincikan semua susun atur dan reka letak kabin untuk keselesaan pemandu.
- Secara peribadi, saya merasakan masih ada susun atur butang yang boleh ditambah baik seperti butang odometer dan trip diletakkan di papan pemuka yang terselindung di sebalik stereng.
- Ciri kamera 360º berserta kamera undur cukup fungsional yang memudahkan pemandu baharu memarkir kenderaan dengan selamat walaupun di tempat sempit.
- Bumbung dan pilar dalam kabin dibalut material tona gelap berkualiti tinggi. Bagaimanapun, masih ada terselit material plastik digunakan pada kerusi belakang. Bukan isu besar, tetapi alangkah bagusnya jika material bumbung sama digunakan sepenuhnya.
LUARAN
- RX 300 F Sport memiliki garis agresif pada semua sudut badan dengan penampilan 'gril spindel' tersergam besar di depan. Juga ada garisan bentuk gril depan pada belakang SUV ini. Rekabentuk keseluruhan memang maskular. Bilah wiper cermin belakang disorokkan sebalik spoiler.
- Walaupun dril depan dihitamkan, tetapi rekabentuk SUV ini lebih menyerlahkan elemen kemewahan berbanding gaya sporty. Mungkin disebabkan pengenalan warna krom pada perumah cermin sisi dan frem tingkap.
- Kaliper brek agak terdedah seakan satu produk belum siap dipasang sepenuhnuya dan nampak buruk dipandang. Mungkin boleh ditambah penutup kaliper. Apapun, tiada isu berbangkit mengenai hal kualiti, kecekapan dan daya membrek.
Lampu depan direka tirus dalam tiga kluster projektor, dipanggil Triple-Beam LED dan boleh laras automatik untuk mendapat sudut suluhan lebih terang pada jalan, terutama ketika memandu malam.
Pemandu dari arah bertentangan tidak perlu bimbang terkena silauan lampu SUV ini kerana teknologi Bladescan dengan Sistem Adaptif Lampu Tinggi (AHBS), mampu menggelapkan arah suluhan lampu yang terkena objek bergerak secara automatik.
SUV ini dibekalkan beberapa ciri dan teknologi keselamatan baharu seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Bantuan Jejak Lorong (LTA) dan Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi henti-gerak Stop & Go, 10 beg udara, Pemantau Titik Buta (BSM) dan Lampu Belok LED.
KESIMPULAN
Di Malaysia, senario Lexus agak berbeza dengan negara lain. Anda boleh melihat banyak SUV premium BMW dan Mercedes-Benz atas jalan berbanding RX. Ada banyak punca perlu diambil kira seperti faktor harga RX yang lebih mahal kerana dibawa masuk sebagai model CBU dari Jepun.
Selain itu, Lexus Malaysia juga terpaksa bersaing daripada penjual kereta terpakai atau rekon yang menawarkan model kembar RX seperti Toyota Harrier pada harga cukup kompetitif. Memang ramai pengguna Harrier atau RX 300 yang dibawa masuk pengimport grey, tetapi ramai tidak sedar status sebenar SUV mereka itu.
Mungkin odometer sudah diubah hingga menjimatkan ratusan ribu kilometer, atau SUV itu dibeli pada harga murah kerana pernah rosak teruk akibat terbabit kemalangan di negara asal. Jika dibeli menerusi Lexus Malaysia, pengguna akan dapat unit baharu, tetapi berharga lebih mahal. Apa yang pasti, pembeli sebenar RX ini adalah mereka yang benar-benar mementingkan perincian dan sukakan keselesaan.
BACA >>> 12 Fakta Pantas: Tentang Lexus ES MB Peja yang Perlu Anda Tahu
BACA >>> #PanduUji: Proton X70 CKD dari Subang Jaya ke Kuantan, Apa Rasa Dapat Lenjan 7-DCT?
Leave a Reply