TEMPOH berkurung sudah tamat! Kini tiada apa lagi yang misteri tentang Proton Saga 2016 yang bakal dilancarkan pada 28 September, Rabu ini. Sekarang anda boleh melihat beberapa foto teaser Proton Saga 2016 yang jelas dan terang, termasuk maklumat mengenai fitur, varian, spesifikasi, warna dan harga.
Malah, kelmarin (Khamis) kami turut diundang untuk memandu uji model legenda ini dalam litar ujian khas di Pusat Kecemerlangan Proton, Shah Alam. Ada banyak perubahan menarik dan mengujakan ditampilkan Proton Saga 2016 yang pastinya membanggakan peminat automotif tempatan.
Nak tahu apa?
VARIAN
- Standard
- Executive
- Premium
FITUR UTAMA
STANDARD
- 1.3L VVT
- Bantuan Pemanduan Eco (5.4L/100km)
- Rim 13"
- Lampu Kabus Belakang
- Sensor kKeliling
- Ruang But 420L
- Sambungan Bluetooth
- 2 Pengecaj USB Belakang
- Ketinggian Kerusi Pemandu Boleh Laras
- Kerusi Belakang Boleh Lipat
- Stereng Boleh Laras
- 2 Beg Udara
EXECUTIVE
- ABS dengan EBD
- Rim Aloi 14"
- Spoiler Belakang
- Lampu Kabus Depan
- 4 Pembesar Suara
- Hendal Pintu - Warna Badan
- Kemasan Belakang - Warna Badan
- Bantuan Brek (BA)
- Poket di Kerusi Belakang
- Cermin Sisi Kawalan Elektrik
PREMIUM
- Radio 2 DIN
- Rim Aloi 15"
- Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC) dan Kawalan Traksi (TRC)
- Bantuan Daki Bukit (HHA)
- Suis Audio di Stereng
- Kamera Undur
- Cermin Gelap
- Kemasan Belakang - Krom
BACA>>> Papan Pemuka Proton Saga 2016 Lebih Awesome
WARNA
- Cotton White (putih)
- Fire Red (merah)
- Sterling Silver (perak)
- Metal Grey (kelabu)
- Topaz Blue (biru)
- Midnight Black (hitam)
HARGA (Semenanjung; Malaysia Timur)
- 1.3 Standard MT - RM37,800; RM39,800
- 1.3 Standard CVT - RM40,800; RM42,800
- 1.3 Executive CVT - RM43,800; RM45,800
- 1.3 Premium CVT - RM46,800; RM48,800
PEMANDUAN SEKILAS UJI
Kami di PanduLaju termasuk rakan media permotoran lain dijemput Proton ke satu sesi pandu uji di trek khas dalam Pusat Kecemerlangan Proton (COE), Shah Alam. Pandu Uji dilakukan lebih menyentuh perihal kuasa, pecutan, dan pengendalian kerana sesi ujian dibuat atas trek lurus dan sendeng sahaja. Kami juga berpeluang melihat dari dekat, sekali gus mengenal pasti kualiti dalaman kabin dan luaran kereta.
Ini bukan pandu uji lengkap kerana cuma atas trek, tetapi siapa pula berani melenjan kereta kaw-kaw atas jalan raya sebenar. Silap hari bulan dapat surat saman, kalau tidak pun menempah katil di hospital. Seperti kami maklumkan di atas, pandu uji atas trek cukup realistik untuk memberikan gambaran awal tentang prestasi enjin Proton Saga 2016.
PENGENDALIAN DNA PROTON
Apa lagi mahu dikatakan, hal ini memang patut diberitahu terlebih dahulu. Apa saja keburukan Proton jika ada atau sengaja diada-adakan, anda patut mengaku bahawa Proton Saga 2016 menawarkan kehebatan pengendalian terbaik dalam kelasnya. Itupun jika anda jujur dengan perasaan dan tidak dibuai kenangan silam. Malah kualiti pengendalian kereta ini menyamai model-model kereta lain dalam kelas atasan. Ingat, Proton Saga 2016 ialah kereta segmen-A kategori marhaen yang rasanya tidak perlu kami sebutkan lagi pesaingnya.
Proton Saga 2016 sentiasa tepat dan tajam di selekoh. Membelok dalam kelajuan tinggi tidak mudah membuatkan anda gemuruh dan lemah jantung. Segalanya dalam kawalan dan meyakinkan. Ini ciri yang amat penting untuk pemanduan selamat, terutama ketika meredah jalan raya lapang dengan pecutan maksimum.
KESENYAPAN DALAM KABIN
Tahap kesenyapan dalam kabin atau NVH dipertingkatkan, di mana Proton mengurangkan jumlah cagakan (mounting) 4-poin kepada 3-poin. Jadi, tidak banyak kawasan mengalami gegaran bukan-bukan. Deruman enjin masih meresap dalam kabin (ini bukan kereta elektrik ok), tetapi kebisingan berada pada tahap minimum dan tidak menyebabkan anda rasa sakit hati, tambahan lagi ketika mendesak pedal minyak secara drastik untuk mendapatkan hantaran kuasa pantas.
ENJIN LEBIH DIAM, BERPRESTASI
Selain pengurangan mounting, khabarnya, Proton turut menala semula kotak gear Saga 2016 supaya lebih senyap dan pada masa sama tidak mengurangkan kelancaran dan hantaran kuasa. Hasilnya, Proton Saga 2016 memiliki lebih kuasa kuda dan tork berbanding model terdahulu.
Masalah lengah dihadapi kotak gear terdahulu yang terhegeh-hegeh ketika mahu memotong atau bergerak daripada situasi perlahan kepada laju kini ditangani dengan baik. Jika anda pemilik Saga lama, anda tentu pernah mengalami situasi enjin mengaum dan lambat pikap ketika melajukan kenderaan selepas bergerak perlahan melepasi bonggol jalan. Ya, tiada lagi situasi sama. Enjin Proton Saga tidak lagi menjerit tidak tentu hala seperti harimau buas yang digari dalam kandang zoo.
KUALITI & PERSEMBAHAN DIPERTINGKAT
Masih menggunakan platform Saga lama (BLM-FLX), kualiti dan persembahan Proton Saga 2016 diperkemaskan dengan baik. Walaupun kurang dramatik dan tampil dengan rekabentuk minimalis, tetapi tata letak panel utama tengah di papan pemuka diatur dengan seragam. Bermula dengan corong penyaman udara yang 'dikotakkan' di kedudukan paling atas, disusuli pemain audio, butang kawalan, suis penyaman udara dan soket kuasa + pengecaj USB.
Butang kawalan (bawah pemain audio) seperti lampu kabus (depan dan belakang), amaran bahaya, amaran proksimiti, ESC, kunci pintu dan nyahkabus disusun sebaris. Pemilihan pemain audio juga patut dipuji yang datang dengan warna gelap dan set punat kemas. Panel utama Proton Saga 2016 tidak lagi nampak longgar atau kosong seperti model terdahulu.
Stereng menggunapakai rekabentuk Proton Preve. Agak mengecewakan kerana kami mengharapkan Proton Saga baharu ini tampil dengan stereng yang direka khas. Apapun, sekurang-kurangnya lebih cantik berbanding rekabentuk lama, terutama penampilan lambang Proton di tengah stereng yang menyerlahkan ciri eksklusif sedan ini.
PRAKTIKALITI
Kami dimaklumkan, saiz Proton Saga 2016 lebih panjang berbanding model terdahulu, sekali gus memberikan ekstra ruang but dan kelegaan kaki. Malah, tempat duduk belakang boleh dilipat untuk mendapatkan tambahan ruang. Lebar kereta pula masih sama, termasuk jarak roda, manakala ketinggian lebih rendah.
Ruang pemegang cawan lengkap di kiri-kanan pintu depan dan belakang, serta konsol tengah. Belakang kerusi hadapan 'dikorek' supaya tampak tipis. Bukan disengajakan, tetapi dilakukan untuk memberikan lebih ruang kelegaan kaki untuk penumpang belakang.
Sebenarnya, panjang lagi mahu menulis tentang Proton Saga 2016, tetapi rasanya cukup dahulu setakat ini. Kita tunggu pula sesi pandu uji rasmi daripada Proton pula nanti. Amacam? Jeng jeng jeng...
Sangsaka says
Design dah ok..tp standard takde abs ebd???...gilaaa
VEELAN says
Standard cvt boleh pasang tak ABS EBD ??