KENYATAAN Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam sidang media semalam mencetuskan kontroversi dan mengundang pelbagai reaksi orang ramai apabila beliau menyatakan mengubah suai ekzos untuk menambah kelajuan motosikal adalah tidak logik.
Keadaan bertambah hangat apabila kenyataan itu disokong pula mantan pelumba negara, Wazi Abdul Hamid yang turut hadir pada sidang media tersebut sebagai tanda sokongan kepada operasi 'ekzos perang' dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak akhir-akhir ini.
Lalu muncullah cakap-cakap netizen yang menyangkal dakwaan tersebut dengan mengeluarkan pelbagai hujah sambil menguarkan persoalan, "kalau macam tu, kenapa ekzos MotoGP tak standard je?”
BACA >>> KPN: Tak Logik Ubah Suai Ekzos untuk Tambah Laju
BACA >>> Wazi Sokong KPN, Ubah Suai Ekzos Tidak Buat Motor Lebih Laju
Sebenarnya ada banyak kajian mengenai kaitan ekzos dan prestasi motosikal. Artikel ini akan mengulas mengenai kebenaran mengubah suai ekzos tidak menambah kelajuan motosikal berdasarkan artikel penyelidikan tulisan pensyarah kejuruteraan dari Indonesia, Bondan Senoaji Prakosa.
Penulis ini membuat kajian dengan membandingkan prestasi ekzos standard dan ekzos lumba pada motosikal Honda Tiger (2000). Sebelum kami ulas artikel ini, mari kita lihat teori asas ekzos motosikal dahulu.
TEORI ASAS
Ekzos adalah sebahagian sistem kenderaan yang berfungsi mengeluarkan sisa pembakaran dari enjin pembakaran dalaman dengan komponen utama terdiri daripada kepala ekzos (header), resonator dan silenser.
1. Kepala dan Paip Ekzos
Komponen ini menghubungkan silinder dengan semua bahagian ekzos. Panjang paip ekzos akan meningkatkan prestasi enjin pada titik tork maksimum. Paip ekzos panjang memberikan lebih kuasa maksimum pada kelajuan enjin rendah, manakala paip pendek memberi kuasa maksimum pada kelajuan enjin lebih panjang.
Diameter Paip Ekzos
Penambahan diameter paip akan meningkatkan kelajuan dan kuasa enjin. Ini kerana pembesaran paip akan menghasilkan vakum daripada campuran bahan api + udara untuk masuk lebih cepat ke dalam silinder. Bagaimanapun, proses ini perlu disokong tindihan (overlapping) aci sesondol (camshaft) yang sesuai.
2. Resonator
Resonator pula tiub tengah sebelum mufler. Saiz resonator juga memberi kesan kepada kuasa enjin dan bunyi ekzos. Fungsi utama komponen ini adalah menghasilkan 'tekanan balik' (back pressure) gas serombong (flue gas) dan meredamkan bunyi.
3. Silenser
Bahagian ini selalunya terletak pada hujung ekzos dan mempunyai fungsi sama seperti resonator iaitu mengurangkan bunyi enjin.
HASIL KAJIAN
Penulis mendapati memang ada perbezaan prestasi antara penggunaan ekzos standard dan ekzos lumba HRC. Ujian itu dijalankan menggunakan alatan Dynojet Run Test. Hasilnya, ekzos lumba nyata memberikan lebih prestasi kepada motosikal. Lihat graf di bawah ini:
Berdasarkan graf di atas, enjin dengan ekzos lumba mampu mencapai kuasa 10hp pada 5,000rpm, sebaliknya ekzos standard cuma 8.5hp pada rev sama.
Kuasa maksimum enjin dengan ekzos standard pula dicapai pada 8,000rpm (17hp), sebelum kuasa mula menurun pada 9,000rpm. Ekzos lumba pula membuatkan enjin mencapai kuasa maksimum pada rev lebih tinggi, iaitu 9,000rpm (17.08hp) sebelum menurun pada 10,000rpm.
Secara ringkas, ekzos lumba lebih cepat mendapat kuasa berbanding ekzos standard, tetapi ekzos standard lebih awal mendapat kuasa maksimum. Ini kerana ekzos lumba ada tambahan kuda kuda yang hanya dapat dicapai pada rev lebih tinggi. Penurunan prestasi ekzos standard juga lebih stabil berbanding ekzos lumba yang agak mendadak.
Ekzos lumba juga menghasilkan tork lebih tinggi. Pada 5,000rpm, ekzos standard menghasilkan tork 12.20Nm, manakala ekzos lumba (14.23Nm). Pada 8,000rpm, kedua-dua ekzos menunjukkan penurunan prestasi, tetapi ekzos lumba mampu menghasilkan tork 13.55Nm pada 9,000rpm, berbanding ekzos standard (12.20Nm). Jadual di bawah menunjukkan prestasi keseluruhan kedua-dua ekzos.
KESIMPULAN
Tidak dapat dinafikan ekzos lumba memberi lebih kuasa kepada motosikal dengan beza kuasa hingga 1.5hp pada rev tertentu. Dalam kejuruteraan, kuasa serendah 1hp pun sudah mampu memberikan impak prestasi pada sesebuah kenderaan, lebih-lebih lagi motosikal. Namun ingat, ekzos digunakan dalam eksperimen ini ialah ekzos lumba HRC tulen, dan bukan ekzos kustom, atau diubah suai daripada mana-mana ekzos.
Jadi ada benarnya kenyataan Wazi semalam yang mendakwa tiada perbezaan besar antara ekzos standard dan ubah suai. Berdasarkan hasil eksperimen kami kongsikan ini, perbezaan kuasa maksimum antara dua ekzos tersebut cuma 0.08hp dan tork 0.15Nm sahaja. Namun, perbezaan besar pada julat rev (rpm) rendah tentunya memberi impak lebih baik kepada prestasi keseluruhan motosikal antara ekzos standard dan ekzos lumba.
Ada banyak elemen lain perlu diambil kira dalam menentukan kaitan antara prestasi enjin dan ekzos digunakan. Jadi, kenyataan daripada KPN tidaklah 100 peratus salah dan tidak pula betul sepenuhnya. Semuanya bergantung kepada ekzos digunakan penunggang sama ada benar-benar menambah prestasi atau hanya tujuan kosmetik saja.
Kita juga tidak boleh menafikan ramai penunggang mengubah suai ekzos untuk mendapatkan fiil bunyi yang menepati halwa telinga mereka dan bukan sebab prestasi. Namun, tidak dapat disangkal lagi ekzos bising memang mengganggu ketenteraman penduduk setempat.
BACA >>> Fakta atau Auta: Benarkah Ekzos Bising Selamatkan Nyawa Penunggang?
SUMBER: Comparison of Standard Exhaust and Racing Exhaust on Machine Performance by Bondan Senoaji Prakosa
Leave a Reply