AKSI Kejuaraan Dunia MotoGP 2021 yang bakal bermula minggu depan membuatkan pelumba rookie Sky VR46 Esponsorama Racing, juga naib juara Moto2 2020, Luca Marini cuba memanfaatkan setiap masa yang ada untuk belajar daripada rakan senior lain seperti Jack Miller, Francesco Bagnaia dan Johann Zarco.
Dia berpendapat setiap penunggang Ducati mempunyai sedikit perbezaan walaupun berkongsi gaya tunggangan hampir sama kerana karakter jentera itu sendiri. Setiap penunggang ada cara tersendiri melayan selekoh dan berhenti dengan lebih baik.
Marini mendakwa cara Miller menunggang agak pelik dan sukar ditiru yang mana pelumba pasukan pengilang Ducati Lenovo Team itu berkebolehan meredakan kebuasan Desmosedici GP21 hingga dapat melayan selekoh sepantas jentera Yamaha.
Pelumba pasukan satelit Pramac Ducati, Zarco pula ada cara tersendiri, tetapi Marini mengatakan agak sukar membandingkan gaya tunggangannya dengan pelumba Perancis itu kerana kedua-dua mereka mempunyai tetapan dan gaya menunggang tersendiri, terutama ketika menggunakan brek belakang.
Marini kini masih mencari tetapan terbaik untuk jentera Desmosedici GP19 sebelum berlangsung pusingan pertama MotoGP 2021 di Litar Antarabangsa Losail di Qatar nanti. Bagaimanapun, dia berpuas hati dengan hasil kerja dilakukan krew pasukan dan percaya mampu berada dalam keadaan baik menjelang Jumaat nanti.
Pasukan Ducati musim ini mempertaruhkan tiga pelumba rookie, iaitu juara Moto2 musim lalu, Enea Bastianini yang akan turut bersama Marini. Seorang lagi pelumba ialah rookie Pramac Ducati, Jorge Martin yang bersama Zarco. Ketiga-tiga pelumba itu menunjukkan prestasi baik pada ujian pra-musim lalu dan nampak bersedia menggegarkan GP Qatar, hujung minggu ini.
BACA >>> Zarco Henjut Ducati Sampai 352kmj di Qatar!
BACA >>> Tak Boleh Ubah Suai Enjin, Ducati Upah Jurutera Aeroangkasa untuk MotoGP 2021
SUMBER: Motorsport.com
Leave a Reply