SEORANG kanak-kanak berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) apabila ditemui tidak sedarkan diri selepas tertinggal dalam sebuah kereta di Taman Ria, Sungai Petani, Kedah, semalam.
Laporan awal mendedahkan mangsa ditinggalkan lebih lima jam dalam kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang wanita berusia 49 tahun yang juga pengetua tadika di situ.
Menurut polis, pengetua tadika itu akan mengambil kanak-kanak tersebut dari rumah ibu bapanya ke tadika pada Ahad hingga Khamis sejak sebelum bermula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagaimanapun, selepas tempoh PKP berakhir, dia cuma mengambil dan menghantar mangsa pada Selasa dan Rabu, manakala ibu mangsa akan menghantar anaknya ke tadika pada hari lain.
Siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu dijemput di rumah keluarganya pada jam 7.45 pagi dalam keadaan sihat dan diletakkan di kerusi penumpang belakang sebelah kiri.
Turut bersama pengetua tadika itu adalah seorang kanak-kanak lain berusia lima tahun yang ditetakkan di kerusi depan. Apabila tiba di tadika, seorang guru di tadika cuma menyambut kanak-kanak di depan sahaja dan pengetua pula terus memarkir keretanya di luar dan mematikan enjin dengan semua tingkap dan pintu kenderaan ditutup tanpa sebarang ruang pengudaraan.
Mangsa dipercayai berada dalam kereta antara jam 8 pagi hingga 12.15 tengah hari dan hanya disedari pengetua tadika berkenaan sekitar jam 12.15 tengah hari ketika mahu menghantar mangsa pulang ke rumah selepas mendapati dia tiada dalam kelas.
Guru kelas mangsa kemudian memaklumkan mangsa tidak hadir ke sekolah, sekali gus membuatkan pengetua terus bergegas ke kereta dan mendapati dia sudah tidak sedarkan diri.
Bantuan pernafasan terus diberikan, tetapi mangsa tidak menunjukkan sebarang respons. Doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika ambulans tiba di hospital. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat.
Pengetua itu kini ditahan polis, termasuk merampas kenderaannya untuk disiasat di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
BACA >>> Pemasangan Kerusi Kanak-Kanak Wajib Mulai 2020
BACA >>> Bayi Maut Sebab Bapa Tak Nak Pecahkan Cermin Tingkap Kereta Baharu
SUMBER: Berita Harian | Facebook
Leave a Reply