BIASA kita lihat pengeluar kereta akan memberikan maklumat tentang jarak roda (wheelbase) dalam brosur . Sesetengah model kereta didatangkan dalam dua versi, iaitu model wheelbase pendek dan panjang.
Kenapa sesetengah pengeluar kereta berbuat demikian? Apakah ada perbezaan antara jarak roda pendek dan panjang? Apakah fungsi dan maksud jarak roda itu sebenarnya? Jangan bimbang kalau tidak tahu kerana artikel ini akan membantu anda.
APAKAH JARAK RODA (WHEELBASE)?
Seperti namanya, jarak roda adalah ukuran jarak antara pusat roda depan dan belakang. Ini bukan ukuran panjang keseluruhan dari hujung bampar depan hingga hujung bampar belakang. Bagi kenderaan dengan lebih dua gandar (axle), jarak roda diukur dari gandar stereng hingga pusat gandar. Konsep ini juga digunakan untuk motosikal, basikal dan papan luncur.
KEPENTINGAN JARAK RODA
Jarak roda boleh memberi kesan terhadap berat kenderaan, pengendalian, kualiti pemanduan dan stereng. Sebagai contoh, jarak roda panjang akan memberikan lebih keselesaan kepada pemanduan. Bukan itu saja, jarak roda juga menentukan saiz ruang dalaman sesebuah kenderaan.
JARAK RODA PENDEK VS PANJANG
1. Jarak Roda Pendek
Kereta dengan jarak roda pendek akan membuat sesebuah kereta lebih lincah. Radius pusingan juga lebih kecil yang membolehkan kereta itu membelok (atau buat pusingan U) lebih pantas. Kedua-dua ciri itu membuatkan kereta dengan jarak roda pendek sesuai dipandu di kawasan bandar.
Kenderaan dengan jarak roda pendek juga bagus untuk tujuan off-road kerana mempunyai sudut batas (breakover angle) lebih baik.
Bagaimanapun, kelemahan jarak roda pendek adalah dari segi keselesaan. Bonggol, dan lubang atas jalan akan lebih dirasai kerana jarak impak antara kedua-dua tayar lebih pendek. Ruang dalaman juga kebiasaannya lebih sempit, tetapi sesetengah pengeluar mengatasi masalah ini dengan menambah ketinggian kereta untuk mendapatkan ekstra ruang.
Sekarang fahamkan kenapa sesetengah kereta kompak atau hatchback memiliki ruang kepala atau siling lebih tinggi.
2. Jarak Roda Panjang
Dibandingkan dengan jarak rodak pendek, kelebihan jarak roda panjang adalah keselesaan. Tapak kereta yang lebih besar turut menyumbang kepada kestabilan kenderaan. Kereta dengan jarak roda panjang juga lebih cantik kerana saiz badan panjang mampu menyerlahkan elemen elegan dan mewah.
Ruang dalaman lebih luas membolehkan pereka menghasilkan rekabentuk dalaman lebih mewah. Inilah sebab kebanyakan kereta mewah seperti Mercedes S-Class dan BMW 7 Series mempunyai jarak tayar panjang.
Bagaimanapun, jarak roda panjang tidak semestinya menjanjikan ruang dalaman luas. Misalnya kereta sport seperti Mercedes-AMG GT mempunyai jarak roda panjang, tetapi hanya ada 2-kerusi. Ia dibuat untuk menempatkan enjin di belakang gandar depan selain memberikan pengendalian dan agihan berat lebih baik.
Keselesaan pada kenderaan dengan jarak roda panjang juga terpaksa mengorbankan aspek kelincahan. Malah, radius pusingan kereta juga lebih besar dan sedikit sukar melepasi selekoh, terutama membuat pusingan U.
KESIMPULAN
Itulah sedikit sebanyak yang perlu anda tahun tentang jarak roda kereta. Namun harus diingat, jarak kereta panjang tidak semestinya dimiliki kereta bersaiz besar. Sesetengah kereta kompak juga mempunyai jarak roda panjang untuk memberi lebih ruang dalaman. Jarak roda juga menentukan segmen sesebuah kereta kerana mempengaruhi jenis dan jumlah komponen, serta material digunakan.
BACA >>> #TahukahAnda: Inilah Rahsia Kunci Pintar Motosikal yang Mungkin Anda Tidak Tahu
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Stereng Bentuk Bulat?
SUMBER: cjponyparts.com | carwow.co.uk
Leave a Reply