KEBANYAKAN motosikal moden masa kini dipasangkan sistem kunci pintar, iaitu sejenis komponen antikecurian dengan ciri keselamatan dipertingkat, termasuk menawarkan ciri utama lain seperti sistem tanpa kunci (keyless) untuk menghidupkan enjin dan buka pelana.
Ciri ini pastinya memberikan lebih keselesaan dan tunggangan nampak lebih moden kerana tiada lagi kunci berjuntaian pada slot kunci. Kunci remote sentiasa disimpan kemas dalam kocek seluar tanpa perlu dikeluarkan. Cuma perlu pulas suis ON pada konsol motosikal untuk menghidupkan enjin.
Selain tiga fungsi utama itu, kunci pintar motosikal juga boleh dibuat tetapan lain, tetapi ramai pemilik tidak tahu kelebihan tersebut. Antara model Honda yang menawarkan ciri kunci pintar ialah ADV150 dan Vario 150, manakala Yamaha ada NVX.
Agaknya, apa yang kunci pintar boleh buat?
1. AKTIF/MATIKAN BUNYI NAVIGASI
Sistem kunci pintar Honda dan Yamaha disepadukan bersama fungsi navigasi (GPS) untuk mengesan lokasi parkir motosikal. Apabila butang kawalan jauh (remote) ditekan, motosikal akan mengeluarkan bunyi dan lampu signal akan berkelip. Namun, sesetengah pemilik tidak suka dengan bunyi tersebut, dan hanya mahu lampu signal saja menyala.
Begini caranya:
Yamaha
ON kunci remote dan berada dekat dengan motosikal. Tekan butang penghidup enjin (ignition) sekali. Dalam masa 9 saat, tekan buat kali kedua tanpa lepas selama 5 saat. Apabila terdengar satu bunyi beep, proses mematikan bunyi sudah lengkap.
Honda
ON kunci remote dan berada dekat dengan motosikal. Tekan tanpa lepaskan butang untuk mengesan motosikal hingga warna lampu hijau pada remote bertukar merah. Jika mahu aktifkan semula sistem navigasi dengan bunyi, ulang proses sama.
2. AKTIF/MATIKAN CIRI ANTIKECURIAN
Sistem kunci pintar dengan fungsi antikecurian hanya disediakan untuk model Honda. Apabila ciri itu dibiarkan aktif, motosikal akan menghasilkan signal apabila kenderaan digerakkan atau mengesan sebarang daya tekanan luaran.
Bagi mengaktifkan fungsi itu, anda cuma perlu pusing suis penghidup enjin pada OFF atau LOCK . Tekan butang remote untuk mengesan motosikal dan lampu signal belok akan berkelip dengan bunyi buzer sekali.
Selepas 2.5 saat, buzer akan berbunyi sekali lagi yang menandakan tetapan sudah lengkap. Bagi mematikan ciri antikecurian, anda cuma perlu unlock motosikal macam biasa.
BACA >>> Macam Yamaha R6 Tapi Bukan, Rupanya Huaying R6
3. HIDUPKAN KENDERAAN TANPA REMOTE
Semua sistem kunci pintar motosikal ada fungsi ini untuk menghidupkan enjin jika remote hilang atau rosak. Honda dan Yamaha akan memberi satu set nombor rahsia kepada setiap pembeli motosikal dengan ciri sistem kunci pintar. Set nombor itu boleh digunakan untuk menghidupkan motosikal tanpa remote.
Yamaha
- Pusing suis kepada posisi OFF. Tekan butang remote tanpa lepas selama 5 saat sehingga lampu indikator kunci pintar berkelip sekali. Ulang langkah sama dua kali.
- Selepas lampu indikator kunci pintar padam, masukkan set kod nombor rahsia.
- Setiap kali tekan butang remote untuk memasukkan nombor kod rahsia, lampu akan berkelip mengikut berapa kali anda tekan.
- Contohnya, untuk angka 5, tekan tanpa lepas sampai lampu indikator kunci pintar berkelip lima kali. Selepas itu, masukkan kod nombor seterusnya dengan langkah sama. Selepas selesai, pusing suis dan enjin boleh dihidupkan.
Honda
- Tekan butang remote selama 4 saat sehingga nampak lampu indikator menyala pada panel meter.
- Semasa lampu indikator kunci pintar berkelip, anda perlu tekan lagi butang remote hingga cahaya lampu belakang suis kunci pintar menyala.
- Masukkan kod dengan tekan remote mengikut jumlah sesuatu angka. Contoh, tiga kali untuk angka 3.
- Jika sudah masukan kod mengikut turutan dengan tepat, lampu indikator akan terpadam dan buzer berbunyi dua kali. Pusing suis kepada ON dan enjin boleh dihidupkan.
BACA >>> Honda ADV 150 Akhirnya Lancar di Malaysia, Harga RM11,999!
BACA >>> Dayang ADV 150 (2021) - Lagi Klon Honda ADV 150 Muncul di China
SUMBER: Zingnews
Leave a Reply