KITA pernah dikejutkan dengan kemalangan tragis melibatkan pemandu treler terlanggar perancah besi struktur pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) hingga menghempap sebuah van kilang dinaiki lima penumpang. Pemandu treler tersebut dilaporkan positif dadah jenis metamfetamin (metamphetamine).
Apakah metamfetamin? Kita kerap membaca dan mendengar berita dadah jenis ini selalu digunakan kalangan pemandu kenderaan berat? Kenapa ia diambil dan apakah kesan buruk dadah tersebut? Artikel ini akan mengulas persoalan anda.
BACA >>> Pemandu Treler Langgar Perancah Besi Positif Dadah
DEFINISI DAN PENGGUNAAN DALAM PERUBATAN
Nama lain metamfetamin ialah syabu, iaitu sejenis dadah perangsang (stimulan) yang boleh didapati dalam bentuk serbuk dan pil. Dadah amfetamin (amphetamine) jenis serbuk juga dipanggil ice, ice baby, dadah syaitan (the devil's drug), kokain si miskin (poor man's coccaine), chalk, crank, fire, glass, speed dan crystal (crystal meth). Syabu berbentuk pil pula dikenali sebagai WY, pil kuda, pil yaba dan pil go.
Dalam konteks perubatan, dadah ini digunakan untuk merawat hidung tersumbat dan Malaysia hanya meluluskan metamfetamin untuk merawat penyakit Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD). Secara keseluruhan, pengunaan syabu dalam perubatan adalah terhad dan tidak digunakan secara meluas.
BACA >>> #Tular: Lelaki Tumbuk Bomba Rupa-Rupanya Positif Dadah
BACA >>> Pemandu Volvo Lawan Arus Tak Mabuk, Tapi Ambil Dadah
KESAN JANGKA PENDEK SYABU
Pengambilan metamfetamin menambahkan jumlah dopamin semula jadi dalam otak yang mengakibatkan pengguna jadi lebih bertenaga, banyak bercakap, kurang selera makan dan berada dalam keadaan seronok (euforia). Efek dadah ini kebiasaannya bertahan selama 24 jam.
Kesan 'segera' dan jangka pendek inilah yang membuatkan dadah ini diambil sesetengah pemandu, terutama pemandu lori atau kenderaan berat yang perlu berjaga malam dan bekerja lebih masa. Tujuannya, mereka mahu mendapatkan 'ekstra' tenaga untuk melakukan ekstra kerja. Lebih trip dapat dibuat, maka lebih wang dapat diperoleh. Malah dadah jenis ini turut disalah gunakan golongan seperti pelajar untuk belajar minit akhir, dan anak muda untuk berseronok.
Namun ingat, kesan jangka panjang akibat pengambilan dadah ini adalah lebih buruk.
KESAN JANGKA PANJANG SYABU
Metamfetamin yang dihasilkan pengilang haram mengandungi bahan berbahaya seperti ubat selesema (efedrin), ubat batuk (dekstrometofan) dan bahan kimia seperti bateri litium, peluntur cat, iodin dan radiator udara. Seperti dadah lain, syabu boleh menyebabkan ketagihan dan mampu merosakkan sistem saraf pusat pengguna.
Penagih metamfetamin akan mengalami gangguan tingkah laku, kemurungan dan otak menjadi lembab. Jika berlebihan, kesannya boleh mendatangkan kematian. Metamfetamin juga diklasifikasikan sebagai dadah terlarang dan boleh didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dengan hukuman maksimum gantung sampai mati.
Kesimpulannya, penggunaan metamfetamin sangat berbahaya. Insiden berlaku semalam adalah contoh terbaik yang menunjukkan kesan dadah ini bukan saja memudaratkan pengguna, tetapi juga orang lain.
SUMBER: MyJurnal.my | National Institute on Drug Abuse
Leave a Reply