PEMANDUAN di negara empat musim seperti Eropah sangat berbeza berbanding Malaysia yang mana kondisi jalan raya bergantung kepada musim dan cuaca.
Di negara kita, perubahan cuaca adalah berdasarkan iklim tropika yang panas atau lembap sepanjang tahun. Ada juga beberapa lokasi mengalami situasi angin lintang yang boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan, tetapi bantuan papan tanda amaran banyak mengurangkan risiko tersebut.
Hujan lebat pula menyebabkan jalan licin kerana terdapat lapisan air atas jalan. Jadi penggunaan tayar berbunga dan tidak botak adalah wajib supaya kereta tidak terbabas walaupun dipandu perlahan (kurang daripada halaju ditetapkan). Di pasaran, ada banyak tayar berjenama sesuai dengan kereta yang boleh dibeli mengikut keperluan.
Artikel ini akan menerangkan serba sedikit tip memandu ketika musim sejuk yang bersalji. Perkongsian ini dibuat berdasarkan pengalaman penulis memandu di Jepun.
Sebagai makluman, Jepun ialah negara empat musim yang mana ada beberapa kawasan bersalji hampir sepanjang tahun. Kawasan bersalji itu pula berbeza di setiap wilayah atau bandar utama kerana tidak semua tempat mengalami suasana salji sepanjang musim sejuk. Ini bermakna ada lebuh raya akan dilitupi salji dan ada kering saja walaupun suhu sejuk.
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Kereta Malaysia Ada Lampu Kabus Belakang?
TAYAR APA SESUAI?
Tayar salji ialah keperluan kepada pemandu di kawasan bersalji ketika musim sejuk. Kebiasaannya salji turun di sepanjang barat Jepun ke utara dan kawasan pergunungan. Jika cuaca amat sejuk, salji akan turut turun di timur Jepun. Namun, kebiasaannya salji tidak lama terkumpul dan akan cair dalam masa sehari.
Jadi pemandu boleh memilih menggunakan rantai tayar sebagai opsyen lebih murah berbanding menukar keempat-empat tayar. Sepanjang lebuh raya, disediakan banyak hentian tepi dan papan tanda isyarat untuk pemandu memasang rantai tayar mereka.
Persoalannya, kenapa perlu berhenti dan memasang rantai itu, dan kenapa tidak pakai sebelum mula memandu? Jawapannya, rantai tayar akan menyebabkan bunyi bising jika memandu atas jalan tidak bersalji. Fungsi utama rantai tayar sama seperti tayar musim sejuk, iaitu memberikan cengkaman tambahan atas permukaan salji.
Andai kata pemandu tidak menukar tayar atau memakai rantai tayar, kereta boleh hilang cengkaman dan tidak mampu bergerak. Terdapat juga beberapa pengalaman pelajar di Jepun yang cuba memandu di kawasan salji tanpa menukar tayar. Kereta akan terkandas kerana tidak mampu mendaki. Malah, kereta boleh menggelungsur ke bawah dan jika tidak bernasib baik terbabit kemalangan.
Namun, kebanyakan laluan lebuh raya utama di Jepun ada ruang kecemasan lebar di kawasan mendaki supaya pemandu boleh mengawal arah kenderaan mereka supaya tidak berlaku kemalangan serius.
Jadi, sekiranya mahu memandu musim sejuk dan bersalji, pastikan guna tayar salji atau rantai tayar. Perkhidmatan kereta sewa di Jepun juga memberikan pilihan untuk guna tayar salji atau tidak. Nasihat penulis, lebih baik ambil pilihan tersebut daripada membeli rantai tayar. Apa pula tip memandu di kawasan bersalji atas jalan raya berbeza?
BACA >>> #TahukahAnda: 4 Fakta Tayar Musim Sejuk yang Mungkin Anda Tidak Tahu
1. Memandu di Lebuh Raya
Papan tanda had laju di lebuh raya tidak sama seperti Malaysia. Kebanyakan lebuh raya akan menggunakan papan tanda LED yang akan berubah bergantung kondisi lebuh raya. Umumnya had laju maksimum ialah 100kmj untuk lebuh raya dan 60kmj (jalan biasa). Namun, ada juga lebuh raya yang memiliki had laju maksimum hingga 120kmj.
Perubahan cuaca dan musim turut mendorong penggunaan papan tanda LED. Misalnya, ketika cuaca buruk, had laju boleh diubah lebih perlahan sepanjang pemanduan. Apabila musim sejuk pula, had laju direndahkan hingga 50kmj di kawasan lebuh raya berisiko tinggi dan diselaputi salji. Pada masa itu juga, penggunaan jentolak salji digunakan bagi mengurangkan timbunan salji atas jalan.
Jika salji sangat lebat, terutama di kawasan pergunungan, lebuh raya terpaksa ditutup hingga menyebabkan pemandu terkandas sehari dua. Jadi, pemandu perlu lebih peka dengan kondisi cuaca sepanjang musim sejuk bersalji untuk mengelak terkandas.
2. Memandu di Jalan Gunung, Bukit
Jalan pergunungan kebiasaannya diselaputi salji tebal, tetapi masih boleh digunakan. Pelancong akan mengunjungi kawasan pergunungan untuk bermain papan luncur salji atau ski.
Jalan pergunungan di Jepun bolehlah dibayangkan seakan laluan ke Genting Highlands atau Cameroon Highlands dengan selekoh tajam yang dikelilingi cerun. Sudah pasti pemanduan jadi lebih mencabar atas permukaan bersalji.
Jadi, pemandu perlu memandu lebih perlahan dan berhati-hati untuk mengelak tayar hilang cengkaman di selekoh tajam. Salji yang mengeras dan menjadi lapisan ais adalah lebih licin berbanding salji baru turun. Jika boleh, pastikan tidak berhenti di laluan jalan gunung untuk mengambil gambar di lereng. Ini kerana kereta berisiko terkandas dan sukar bergerak disebabkan hilang cengkaman akibat ditimbuni salji.
3. Memandu di Jalan Bandar
Bandar yang mengalami musim sejuk bersalji biasanya memiliki sistem pancuran air panas untuk mencairkan ais supaya salji tidak berlonggok atas jalan raya. Jalan basah adalah lebih baik berbanding jalan bersalji dan berais. Bagaimanapun, tidak semua laluan jalan ada sistem mekanikal tersebut.
Namun, sistem pancuran air sangat membantu mengurangkan penggunaan jentolak salji di kawasan berkenaan. Malah, bumbung dan kawasan parkir juga dipasangkan sistem saliran air panas untuk mencairkan timbunan salji.
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Cermin Kereta Boleh Berkabus Ketika Hujan?
TIP BERJAGA-JAGA
Sebagai langkah berjaga-jaga berikut apa perlu dilakukan ketika memandu pada musim salji:
- Sediakan alat pengelap salji khas dan jangan bergantung kepada wiper semata-mata.
- Minyak perlu sentiasa melebihi takat separuh
- Pastikan sistem pemanasan kereta dalam keadaan baik
- Sentiasa berjaga-jaga dan perhatikan perubahan cuaca dan had kelajuan jalan raya.
Leave a Reply