SUDAH lama tidak mendengar khabar mengenai jenama automotif China, Chery yang suatu masa dulu pernah mewarnai jalan raya negara kita. Terbaharu, Chery memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu, Tiggo 7 Pro (2021) sebagai pembuka tirai 2021 untuk pasaran Filipina.
Tiggo 7 Pro (2021) dilancarkan secara digital menerusi laman Facebook Chery selepas melakukan debut di Filipina sempena Pameran Auti Antarabangsa Manila (MIAS), juga secara maya.
Rekabentuk Tiggo 7 Pro mendapat sentuhan Ketua Pereka Global, juga Naib Presiden Chery, Kevin Rice yang sebelum ini pernah merekabentuk produk Mazda seperti MX-5 (1999-2005) dan BMW untuk model 1, 3 dan 4 Series.
Penampilan SUV kompak ini juga menggunakan bahasa rekabentuk baharu yang dapat dikenal pasti menerusi rekaan gril tersendiri dan rupa depan seragam . Berikut ciri Tiggo 7 Pro (2021) serba baharu:
- Menampilkan gril besar dengan ciri LED penuh pada lampu depan, lampu kabus dan lampu siang (DRL).
- Bahagian frem tingkap dihitamkan untuk memberikan efek bumbung apung dan disempurnakan dengan rim aloi 18 inci yang dibalut tayar 225/60 R18.
- Lampu belakang dipadankan reflektor horizontal yang melintang sepanjang pintu but, mirip jenama mewah lain. Juga kelihatan dwi-ekzos krom dan spoiler lebih sporty. Rupa belakang kini nampak lebih slik dan elegan.
- Ada ciri but automatik. Cuma perlu berdiri tiga saat di belakang dan but akan terbuka sendiri, tidak perlu gunakan tangan atau kaki.
- Ruang kabin dalam tona serba hitam dengan menggunakan kemasan material kulit sulaman ganda. Kerusi depan jenis buket dengan fungsi boleh laras elektrik 6-tetapan. Papan pemuka dihidangkan unit infotainment skrin sentuh 10.25 inci dengan enam pembesar suara berserta konektiviti Bluetooth, Mirror Link, Android Auto dan Apple CarPlay.
- Penyaman udara diakses menggunakan panel kawalan sentuh 8 inci. Ciri lain ialah kunci pintar untuk menghidupkan enjin dan penyaman udara, termasuk membuka but dan tingkap. Juga disediakan pengecas telefon wayarles dan tiga palam USB.
- Juga disematkan ciri premium seperti bumbung panoramik, lampu ambien 7 warna, kamera 360º definisi tinggi (HD), brek parkir elektrik (EPB) dengan fungsi pegun Auto Hold, Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS), kamera belakang dengan sensor depan dan belakang, kluster instrumen digital 7 inci dan mod Eco.
- Memiliki dimensi panjang 4,500mm, lebar 1,824mm dan tinggi 1,746mm, manakala jarak roda 2,670mm dan berat 1,465kg
- Kabin udara dipasangkan penapis N95 untuk menghalang 95 peratus partikel halus untuk udara lebih segar dan bersih.
- Trenkuasa menggunakan enjin patuh Euro5 4-silinder 16-injap 1.5 TCI Turbo berkuasa 145hp @ 5,500rpm dan tork 210Nm @ 1,750-4,000rpm dengan transmisi automatik CVT Bosch 9-kelajuan dengan pedal syif.
- Sistem suspensi jenis strut independen MacPherson di depan dan multilink di belakang.
- Kapasiti tangki ialah 51 liter, manakala luas kargo 475-1,500 liter mengikut konfigurasi digunakan.
- Ciri keselamatan dilengkapkan dengan 6 beg udara, pengingat beg udara untuk semua baris tempat duduk, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Tekanan Brek Elektronik (EBD), Program Stabiliti Elektronik (ESP), Bantuan Brek Elektronik (EBA) dengan Sistem Kawalan Traksi (TCS) dan Kawalan Bantu Bukit (HAC), Bantuan Turun Bukit (HDC), Kawalan Jelajah dan ISOFIX.
- Di pasaran Filipina, SUV kompak ini dijual pada harga bermula Peso 1.198 (RM100,610) dengan waranti enjin 10 tahun (atau 1 juta kilometer) dan waranti kilang 5 tahun (atau 150,000km).
BACA >>> Geely Coolray - SUV Paling Laris di Filipina Sepanjang 2020
BACA >>> Perbandingan: Proton X50 vs 6 Model SUV Segmen-B di Malaysia Sepanjang 2020
SUMBER: Carmudi
Leave a Reply