JIKA anda masih ingin memiliki Toyota GR Yaris, lupakan saja hasrat itu kerana kesemua unit di Malaysia sudah habis dijual dalam tempoh kurang sebulan!
Ya, anda tidak salah baca. Kesemua hatchback berprestasi tinggi yang berharga RM286,896 dengan pakej Performance Pack Edition itu habis terjual.
Pada masa sama, kami cuba nasib dengan menghubungi beberapa pengedar Toyota GR menyatakan hasrat ingin menempah GR Yaris secara tunai (riak kan) turut dimaklumkan ia susah habis dijual.
Nampak gayanya Abang Gan terpaksalah setia bersama Proton Saga Turbo yang kini sudah mencacah usia hampir 10 tahun.
Bagi anda mungkin tidak ketahui, Toyota GR Yaris yang diperkenalkan secara rasmi pada 17 Disember 2020 itu hanya dikeluarkan sebanyak 25,000 unit saja di dunia. 200 unit daripadanya dibawa masuk ke pasaran Malaysia.
Jadi, apa yang menarik mengenai aspek mekanikal Toyota GR Yaris ini?
- Dikuasakan enjin 3-silinder sebaris 1,618cc DOHC pengecas turbo berkuasa 259hp @ 6,500rpm dan tork 360Nm @ 3,000-4,600rpm.
- Enjin patuh regulasi WRC2 ini dikatakan enjin 3-silinder paling berkuasa di dunia, dan juga unit turbo 1.6L paling ringan dan unit pengeluaran paling kecil.
- Dipadankan transmisi manual pintar (i-MT) 6-kelajuan yang menawarkan tukaran gear mengikut kelajuan enjin untuk fiil lancar dan selesa. Tombol gear diletakkan tinggi di konsol tengah dan lebih dekat dengan stereng untuk tukaran gear pantas. Anjakan gear pendek dan ringan untuk fiil kawalan lebih tinggi.
- Menggunakan sistem pacuan empat roda (AWD) sepenuh masa, GR-Four.
- Ada tiga mod pemanduan: Normal, Sport dan Track. Ini pertama dibangunkan Toyota sejak sistem pacuan empat roda (4WD) untuk GT-4 kira-kira 20 tahun lalu.
- Sistem GR-Four mengagihkan kuasa antara gandar depan dan belakang melalui kombinasi respon tinggi dan klac multiplat yang dikawal secara elektronik.
- Dalam mod Normal, agihan tork depan dan belakang dalam nisbah 60:40, mod Sport (30:70) dan mod Track (50:50). Performance Pack Edition juga dilengkapi diferensial gelincir terhad (LSD) Torsen.
- Suspensi rali ditala pasukan Toyota GAZOO Racing (TGR) World Rally dengan geometri dan tetapan untuk memaksimumkan cengkaman tayar. Bar anti-oleng depan Performance Edition Pack adalah lebih tebal dan manakala spring suspensi depan ditambah untuk meningkatkan kestabilan dan kelincahan.
- Menggunakan brek cakera liang saiz 356mm dengan kaliper GR aluminium merah 4-piston (depan) dan cakera liang 297mm dengan kaliper GR merah aluminium 2-piston (belakang).
GAYA AGRESIF MENYERLAH
- Rekabentuk depan GR Yaris menampilkan rupa garang dan mengancam yang menyerlahkan identiti kompetitif.
- Bukaan besar depan mengikut bentuk radiator, direka untuk prestasi penyejukan maksimum.
- Bahagian belakang GR Yaris mendapat sentuhan bumbung tiru dengan pilar belakang disempurnakan spoiler GR tinggi untuk meningkatkan daya mendap (downforce) keseluruhan.
- GR Yaris dipasangkan rim aloi 18 inci dengan tayar Michelin Pilot 4S saiz 225/40R18- eksklusif untuk Performance Pack Edition.
- Lencana khas GR turut menghiasi bampar depan, fender depan dan pintu belakang.
GAYA BADAN DAN KABIN
GR Yaris dibekalkan ciri kabin premium seperti berikut:
- Bahagian bumbung dengan material karbon tempa baharu (dan bukan dijalin) dan C-SMC, manakala material aluminium digunakan pada bonet, pintu depan dan but belakang. Bentuk badan tiga pintu menawarkan pengurangan berat badan 24kg selain kepingan keluli nipis pada sayap dan sisi.
- Ruang kabin menampilkan set kerusi ringan yang dibalut kulit hitam dan sulaman benang merah, termasuk kemasan stereng tiga jejari.
- Ruang kabin mengetengahkan kemasan tona hitam dengan perincian aksen perak pada hendal pintu dalam, lubang udara sisi dan konsol tengah.
- Pedal sport aluminium mempunyai permukaan jejak lebih luas yang memudahkan anjakan kaki pada pedal. Paparan maklumat terdiri daripada meter analog yang menampilkan angka putih dengan penunjuk merah untuk pemanduan sport dengan jarak pandang tinggi.
- Paparan multiinfo berwarna TFT 4.2-inci (MID) dengan penunjuk pacuan semua roda (AWD) yang memaparkan taburan tork dan mod pemanduan yang dipilih untuk sistem GR-Four, penunjuk posisi gear, dan monitor tekanan turbo.
- GR Yaris juga didatangkan dengan paparan dongak (HUD).
- Aspek hiburan menggunakan unit infotainment skrin sentuh 7 inci dengan konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto, radio FM, USB, Bluetooth dan sistem audio enam pembesar suara.
KESELAMATAN LEBIH CANGGIH
Berasaskan tahap keselamatan tinggi untuk sebuah jentera WRC, GR Yaris dilengkapi sistem keselamatan seperti berikut:
- 6 beg udara SRS
- Kawalan Daki Bukit (HAC)
- Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC)
- Kawalan Traksi (TRC)
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
- Bantuan Brek (BA)
- Agihan Brek Eleltronik (EBD)
Ciri keselamatan dipertingkat dengan teknologi bantuan pemandu, Toyota Safety Sense (TSS), terdiri daripada:
- Sistem Pra-Perlanggaran (PCS)
- Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC)
- Amaran Tukar Lorong (LDA)
- Bantuan Jejak Lorong (LTA)
- Lampu Tinggi (AHB)
Kesemua GR Yaris ditawarkan pakej waranti 5 tahun daripada tarikh pertama pendaftaran, tanpa had perbatuan (tertakluk terma dan syarat). Tahniah UMW Toyota. Tak sangka pula laku keras.
BACA >>> UMW Toyota Motor Lancar Vios GR-S, Harga RM97,500
BACA >>> Apa Jadi Kalau Perodua Myvi Disedankan?
Leave a Reply