REKABENTUK Toyota Supra, terutama generasi keempat memiliki daya tarikan tersendiri. Lama tanpa pengganti, Supra generasi kelima (A90), juga paling terbaharu dilancarkan pada 2019 yang melonjakkan kembali nama Toyota sebagai pengeluar model sport terkemuka.
Model prestasi seperti Supra memang tidak dapat dipisahkan dengan dunia modifikasi. Buktinya, Toyota tampil memperkenalkan GR Supra Sport Top (2021) sempena Pameran Persatuan Barangan Khas (SEMA) yang berlangsung secara maya.
Apa menarik tentang GR Supra Sport Top ialah model modifikasi tersebut mengingatkan kita kepada Supra A80 era 90-an jenis konvertibel, atau bumbung boleh buka. Walaupun hanya projek one-off untuk acara tertentu, idea gaya konvertibel untuk Supra A90 memang menarik untuk ditawarkan secara rasmi.
Projek modifkasi itu diterajui pasukan khas diketuai Pengarah Operasi Pusat Teknikal Permotoran Toyota (TMTC), Marty Schwerter. Ia bukan sekadar modifikasi menukar rim baharu dan memasang kit badan sporty, tetapi melibatkan ubah suai bumbung Supra yang perlu dipotong.
Asas kepada projek itu ialah GR Supra Heritage Edition (foto atas) yang ditayangkan pada SEMA edisi lepas dengan persamaan pada bahagian visual dan naik taraf prestasi.
Menurut Schwerter, proses menanggalkan bumbung Supra memang sukar dan memerlukan penyelesaian inovatif bagi mengekalkan kekuatan casis asal. Semua kerja tersebut dilakukan pemilik KC’s Paint Shop di Fort Worth, Texas, Amerika Syarikat (AS), KC Mathieu.
Mathieu berkata, memandangkan besi Supra agak sukar dipotong, proses awal dimulakan dengan menggunakan gergaji udara (air saw). Namun selepas 30 minit, saiz besi yang dapat dipotong baru satu inci. Mathieu akhirnya menukar kepada alatan pemotong lain.
Di bawah ini ialah antara siri video yang memaparkan klip video pasukan KC’s Paint Shop mengubah suai bumbung GR Supra.
Berikut ciri utama Toyota GR Supra Sport Top:
- Rekabentuk bumbung baharu terdiri daripada dua panel komposit yang dicetak secara 3D daripada Toyota Motor North America Research and Development (TMNA R&D) di Ann Arbor, Michigan.
- Panel bumbung mempunyai kontur mengikut garis badan GR Supra dengan komponen seperti header cermin depan. Struktur badan bumbung bahagian sisi dikekalkan.
- Bagi mengekalkan kekuatan struktur, pasukan modifikasi menguatkan struktur luar bumbung dan mengukuhkan bahagian bawah kereta dari enjin ke tab kereta.
- Difuser belakang dan laluan angin bawah badan dibuat supaya operasi lebih cekap.
- Ekzos diperbaharui semula dengan dua corong keluar pada tengah bampar.
- Spoilerbelakang tinggi dan lampu bulat ala Supra A80.
- Warna badan dicat BASF khas, yang menyamai warna putih OEM GR Supra, Absolute Zero White.
Selain komponen utama itu, GR Supra Sport Top ini menggunakan rim HRE dan brek Brembo besar.
BACA >>> Toyota Yaris Cross Masuk Australia, Harga Mula RM82.5k!
BACA >>> Toyota GR Yaris Lancar di Malaysia, Dijual 200 Unit Sahaja, Harga RM299k!
Leave a Reply