PRODUK buatan China memang sinonim dengan barangan tiruan yang mudah kita samakan dengan barangan tulen popular di pasaran.
Daripada barang peribadi seperti beg tangan,dan telefon pintar hingga automotif seperti kereta dan motosikal. Semua habis diciplak pengeluar dari Negara Tembok Besar itu.
Produk tiruan di China bermula sejak 1990-an hingga awal 2000-an. Antara kes paling mendapat perhatian dunia dalam dunia automotif ialah model Landwind X7 yang mirip Range Rover Evoque. Pihak Land Rover pernah memfailkan saman pada 2015 di mahkamah China untuk menghentikan jualan Landwind yang mana proses tuntutan mahkamah mengambil masa empat tahun.
Ini kerana China tiada akta perlindungan atau undang-undang mengenai hak cipta paten. Inilah membuatkan isu ciplak, plagiat, tiruan dan seumpamanya begitu berleluasa di sana hingga merugikan pengeluar jenama asal, termasuk menjejaskan reputasi negara itu sendiri.
Sekarang apa kata kita senaraikan 10 model motosikal yang menjadi mangsa plagiat pengeluar China.
1. Yinben YB200-A VS Honda CB150R Exmotion
Yinben YB200-A diperkenalkan pertengahan tahun lalu dan mengambil ilham daripada sportbike neo retro Honda CB150R Exmotion. Apa berbeza, model klon ini dijana enjin lebih besar berkapasiti 200cc penyejukan udara.
Jika diteliti, jelas sekali YB200-A meniru asas rekabentuk CB150R Exmotion daripada rupa depan hingga belakang, dan begitu juga lekuk badan, pelana dan fender belakang. Semuanya nampak mirip roadster Jepun itu. Paling ketara ialah bentuk lampu utama bulat terpisah yang identik dengan CB150R Exmotion.
Jika CB150R Exmotion menggunakan frem trellis, YB200-A menggunakan frem diamond dengan bahagian roda menggunakan tayar saiz 140 (belakang) dan 110 (depan).
BACA >>> Yinben YB200-A - Sportbike Neo Retro Klon Honda CB150R Exmotion dari China
2. Moto S450RR VS BMW S1000RR
Moto S450RR tampil seakan superbike BMW S1000RR. Malah kehadiran sportbike China itu menarik perhatian BMW Motorrad yang memutuskan mahu menyiasat isu berkenaan mengikut undang-undang dengan memandang serius isu ciplak dan plagiat.
S450RR nampak seiras S1000RR yang dapat dilihat pada struktur dan garis badan walaupun bahagian belakang nampak seperti gaya Kawasaki. Paling ketara ialah skema tiga warna, biru-merah-putih dan grafik badan yang menguatkan lagi anggapan umum model itu memang bertujuan meniru S1000RR.
Dari segi mekanikal, S450RR dijana enjin dwi-silinder 450cc penyejukan cecair berkuasa 25hp @ 6,500rpm dan tork 22Nm @ 7,000rpm dengan transmisi klac manual 6-kelajuan.
BACA >>> Klon BMW S1000RR Buatan China Ini Cuma Berharga RM8k!
3. Finja 500 VS Kawasaki ZX-10R
Selepas BMW S1000RR, giliran Kawasaki pula menjadi mangsa terbaharu. Model diperkenalkan itu ialah Finja 500 yang sekali pandang mirip superbike Ninja ZX-10R, tetapi dengan trenkuasa berbeza.
Persamaan dapat dicam ialah rekabentuk lampu depan dan belakang, termasuk grafik dan warna badan meniru ZX-10R, cuma tidak sekemas versi original, serta tertera lencana 'Finja' pada fairing sisi. Lampu depan boleh dikatakan 80 peratus mirip ZX-10R dan apa tidak sama ialah LED dan cermin lampu.
Begitu juga rekabentuk belakang tirus dan bentuk lampu sama seperti superbike Jepun itu. Bagaimanapun, spesifikasi terperinci tidak didedahkan. Finja 500 dijana enjin dwi-silinder 500cc berkuasa 50hp.
BACA >>> Finja 500 - Lagi Sportbike Ciplak Buatan China, Kawasaki Ninja ZX-10R Pula Jadi Mangsa
4. Wonjan WJ150 VS Honda MSX 125
Wonjan WJ150 ialah pengeluar sama yang menghasilkan model acah Ducati Panigale di China. Cuma fun bike itu menampilkan enjin lebih besar, 150cc berbanding versi tulen Jepun, 125cc. Trenkuasa WJ150 menghasilkan kuasa 13.1hp, manakala Grom 10hp.
5. Yayama R6 VS Yamaha R6
Sebut saja nama Yayama R6 sudah boleh buat kita ketawa besar. Jelas sekali motosikal itu cuba meniru Yamaha R6. Walaupun R6 tulen menggunakan enjin 600cc, tetapi model China itu ialah versi sportbike aras mula, 150cc. Lebih lucu, slogan 'Produce by Sport' juga salah dari segi ejaan, menjadi 'Producde'. 😂
Itu mungkin disengajakan, dan begitu juga Yamaha menjadi Yayama. Dengan komponen kelas atasan seperti rim besar, dwi-brek cakera di depan dan fork terbalik (USD), semua itu nyata tidak seimbang dengan kapasiti enjin ditawarkan, iaitu cuma 150cc penyejukan udara. Ini membuatkan penampilan fairing dan saiz tayar nampak tidak seimbang.
6. Kengo R350 VS Kawasaki Ninja 300
Kengo R350 ialah pencabar kepada Ninja 300 dan sportbike ini turut memasuki pasaran luar China seperti Vietnam dan Thailand dengan menghasilkan kuasa cukup besar, 23.5hp dan tork 22Nm berkuasa 39hp.
Lagi perkara lucu mengenai sportbike ini ialah sistem penyejukan enjin menggunakan radiator, dan blok masih ada sirip seperti model penyejukan udara.
7. ZJMM R12 VS Honda CBR 250R
Zhejiang Jiajue Motorcycle Manufacturing (ZJMM) R12 ialah model plagiat daripada sportbike Honda CBR250R. Pengeluar China itu meniru buat-bulat bentuk dan gaya Honda CBR250R. Cuma nama saja yang berbeza.
R12 dilengkapi brek cakera dan teknologi LED pada lampu depan yang menyamai penampilan seperti CBR250R.
Di China R12 dihasilkan di kilang Zhejiang Jiajue di Zhejiang. Produk itu hanya ditawarkan untuk pasaran domestik Chinma dalam pilihan enjin 125cc dan 250cc. Motosikal itu juga didatangkan dengan rim aloi berbeza, silenser lebih pendek dan paparan indikator berbeza.
8. Wonjan WJ300 Space Ranger VS Ducati Panigale
Industri tempatan China berjaya menghasilkan produk Ducati Panigale versi murah. Model klon itu dinamakan Wonjan WJ300 Space Ranger. Rekaan WJ300 begitu mirip Panigale dan hadir dengan pilihan fairing atau semi-fairing. Perbezaan paling ketara ialah enjin yang cuma bersesaran 300cc berbanding Panigale asli berkapasiti 1,198cc.
9. Gulsar 180 VS Bajaj Pulsar 180
Siapa sangka model ini meniru produk India dengan nama Gulsar 180, seakan sama seperti produk asal, Pulsar 180. Lihat saja rekabentuk kedua-dua model yang sangat mirip, tetapi jika dibuat perbandingan setara, Pulsar lebih 'tajam' berbanding Gulsar. Tambahan lagi, Gulsar 180 menggunakan rim jejari dan lampu depan konvensional berbentuk bulat.
10. XGJao XGJ350 VS Yamaha R25
Model Yamaha R3 versi klon China dinamakan XGJao XGJ350 yang didatangkan dengan trenkuasa 350cc berkuasa 23.5hp dan tork 25Nm. Sebagai perbandingan, R3 menggunakan enjin dwi-silinder sebaris 321cc.
Motosikal klon R3 itu secara visual sangat mirip dengan model asal walaupun terdapat beberapa perubahan. Paling jelas, penambahan lampu depan projektor dan skema warna berbeza. Menariknya, motosikal ini juga dilengkapi tabung ekzos kuad (dua setiap sisi).
BACA >>> Tiada Lagi Yamaha YZF-R6 di AS dan Eropah, Cuma Ada Versi Race
BACA >>> 5 Sportbike 250cc Terbaik 2020 Pilihan ArenaPermotoran
BACA >>> Lamborghini Urus China Bakal Lancar dengan Harga Mampu Milik
FauZi says
Cina suka ciplak barang. Tapi tak ada qualiti.
Fauzi says
Cina selalu copy barang. Tapi tak ada qualiti.
Jan says
Finja the best !