BERTEMPAT di Pameran Permotoran Antarabangsa Indonesia Gaikindo (Gaikindo Indonesia International Auto Show 2016 - GIIAS) 2016, Honda memperkenalkan model prototaip Honda Civic Hatchback terbarunya.
Ini perkembangan menarik kerana Honda Civic Hatchback biasanya cuma ditawarkan di pasaran Eropah, tetapi kini semakin hampir ke rantau ini.
Honda Civic Hatchback mula melakukan debut di Pameran Permotoran Geneva awal tahun ini dan dijangka dijual di Eropah bermula April 2017. Perkara itu turut disahkan oleh Honda Australia yang akan menerima Honda Civic Hactchback pada awal tahun depan.
Dari segi rekaan, model hatchback ini tampil lebih lebar, rendah dan panjang berbanding model terdahulu. Bahagian hadapan pula lebih mantap menerusi penggunaan lampu utama dan lampu siang (DRL) LED.
2 PILIHAN ENJIN
Honda Civic Hatchback bakal dijana dua pilihan enjin sama seperti model Civic baharu sekarang. Apa lagi kalau bukan enjin aspirasi natural (NA) i-VTEC bersesaran 1.8L berkuasa 139hp.
Satu lagi enjin ialah 1.5L Turbo 4-silinder VTEC berkuasa 170hp yang dipadankan dengan kotak gear transmisi pemboleh ubah berterusan (CVT). Sekali pandang, memang tidak dapat dinafikan model ini kelihatan begitu sporty dengan garis bumbung rendah berserta gerbang roda besar.
Setakat ini, masih belum dipastikan sama ada model sporty ini akan ditawarkan di pasaran tempatan ataupun tidak. Sama-sama kita nantikan.
Leave a Reply