PASARAN trak pikap Malaysia dimeriahkan lagi dengan kehadiran model baharu, Maxus T60 yang bakal berentap dengan pesaing sedia ada seperti Toyota Hilux, Mitsubishi Triton, Nissan Navara dan Ford Ranger.
Maxus T60 mendapat penarafan 5-bintang bagi ujian perlanggaran Asean NCAP yang menetapkan penanda aras baharu bagi peringkat keselamatan dalam segmen trak pikap.
CIRI KESELAMATAN PERTAMA DALAM KELAS
Maxus T60 satu-satunya trak pikap yang didatangkan dengan brek cakera ventilasi depan dan belakang bersama Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS). Ciri keselamatan tambahan lain dibekalkan ialah:
- Program Stabiliti Elektronik (ESP) Bosch
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD)
- Sistem Kawalan Traksi (TCS)
- Bantuan Brek (BA)
- Roll Movement Intervention (RMI)
- Kawalan Daki Bukit (HAC)
- Kawalan Turun Bukit (HDC)
- Beg udara depan dan sisi
- Sensor parkir belakang
- Kamera undur
- ISOFIX
- Bantuan Titik Buta (BSA) yang aktif pada kelajuan 30kmj
TRENKUASA 2.8L
Dikuasakan enjin patuh Euro4 2.8L DOHC VGT Turbo dengan output 150hp @ 3,400rpm dan tork 360Nm @ 1,600-2,800rpm dengan transmisi automatik PUNCH 6-kelajuan. Trak pikap ini mampu memberikan penjimatan bahan api 9.2 liter per 100km dengan saiz tangki minyak 75 liter bersama berat muatan 815kg dan keupayaan menunda 3,000kg.
Maxus T60 dipadankan Sistem Pacuan Empat Roda Kawalan Elektronik BorgWarner yang membolehkan tukaran pacuan 2H, 4H dan 4L dibuat tanpa perlu berhenti. Ada tiga mod pemanduan ditawarkan, iaitu Eco, Normal dan Power.
Eco menawarkan penjimatan 2 peratus penggunaan bahan bakar kepada pengguna berbanding tetapan Normal, sementara Power menawarkan peningkatan prestasi 5 peratus yang sangat berguna ketika pemanduan off road dan ketika membawa muatan berat.
Trak pikap ini juga dilengkapi kunci diferensial mekanikal terbaik dunia yang dihasilkan syarikat Amerika Syarikat (AS), Eaton.
CIRI LUAR DAN KABIN
Lampu depan Maxus T60 dilaras secara automatik mengikut keadaan jalan dan arah pusingan stereng. Lampu berkenaan juga dilengkapi ciri follow-me-home dan lampu siang (DRL) serta sensor automatik.
Maxus T60 juga satu-satunya model trak pikap yang dilengkapi kerusi elektrik boleh laras 6-tetapan untuk pemandu dan 4-tetapan untuk penumpang depan. Kerusi belakang juga boleh dilaras dan dilipat ke depan dan belakang untuk simpanan tambahan. Ada 21 ruangan simpanan dalam kabin, manakala luas ruang kargo ialah 1,188 liter.
Selain itu, tersedia stereng multifungsi dengan punat kawalan audio dan Kawalan Jelajah dengan unit infotainment skrin sentuh definisi tinggi (HD) 10-inci dengan konektiviti Android dan Apple CarPlay. TRak pikap ini juga disaur penebat kaca hijau untuk melindungi kenderaan daripada sinaran ultraungu.
Varian standard dilengkapkan fungsi tekan-mula (push-start), penyaman udara automatik, rak bagasi aluminium, sangkar oleng (roll cage) keluli tahan karat, pemijak sisi, hendal pintu krom, cermin sisi boleh lipat elektrik dengan kemasan krom dan lampu kabus. Bahagian roda dipasangkan rim aloi 19 inci yang dibalut tayar Continental 255/55R.
HARGA
Maxus T60 dijual pada harga RM99,888, dengan selang penyenggaraan 15,000km dan waranti 5 tahun atau 130,000km, serta pakej servis percuma 65,000km, termasuk alat ganti, minyak pelincir, caj buruh dan bantuan jalanan 24 jam.
BACA >>> #PanduUji: 7 Sebab Kenapa Mitsubishi Triton Antara Trak Pikap Terbaik di Pasaran!
BACA >>> #TahukahAnda: Kenapa Toyota Hilux Digelar ‘Raja Trak Pikap’?
BACA >>> Ford Cipta Tayar Boleh Tinggalkan Mesej Kecemasan Atas Pasir!
Leave a Reply