HYUNDAI Kona baru saja menjengah pasaran Malaysia yang bakal bersaing sengit dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B sedia ada di pasaran seperti Honda HR-V, Toyota CH-R, Mazda CX-3 dan Proton X50 (juga baru dilancarkan).
Apa yang menarik tentang Kona (2020) versi Malaysia ini? Kami senaraikan lima fakta ringkas yang perlu anda tahu mengenai SUV subkompak Hyundai ini.
1. ADA TIGA VARIAN
Pasaran Malaysia menerima tiga pilihan varian pada harga bermula RM115,888 seperti berikut:
- Kona 2.0 - RM115,888
- Kona 2.0 Active - RM130,888
- Kona 1.6 Turbo - RM143,888
Warna pula ditawarkan dalam lima pilihan menarik, iaitu Chalk White, Ceramic Blue, Blue Lagoon, Pulse Red dan Phantom Black.
2. ADA DUA VARIAN ENJIN
Kona didatangkan dengan dua pilihan enjin, iaitu:
- Nu 2.0L Atkinson - aspirasi natural (NA)
- Gamma 1.6L T-Gdi - pengecas turbo (paling premium)
Varian 2.0 Standard dan 2.0 Active menggunakan enjin 2.0 MPI D-CVVT, sama seperti trenkuasa Sonata, Elantra dan Tucson, tetapi mendapat talaan berbeza dengan padanan kitaran Atkinson supaya bersesuaian karakter SUV. Enjin ini menghasilkan kuasa 147hp @ 6,200rpm dan tork 180Nm @ 4,500rpm serta dipadankan transmisi automatik 6-kelajuan.
Varian premium, 1.6 TGDi High pula menggunakan enjin Gamma 1.6 T-Gdi berkuasa 177hp @ 5,500rpm dan tork 265Nm @ 1,500-4,500rpm, dengan transmisi dual-klac (DCT) 7-kelajuan.
Setiap enjin dalam sistem pacuan roda depan (2WD) dan dilengkapkan dengan tiga mod pemanduan: Comfort, Eco dan Sport.
3. LUARAN FUNKY
Kona standard tampil moden menerusi gril corak tindan (cascading) lebih besar dan rekaan lampu depan kembar berserta lampu kabus belakang dan lampu siang (DRL) LED. Varian 2.0 Active dan 1.6 Turbo hadir dengan lampu kabus depan, lampu utama LED jenis Bi Function Projection Beam, manakala model standard cuma halogen.
Membezakan 1.6 Turbo ialah rel bumbung dan warna badan dwi-tona, dengan rim aloi 18 inci 235/45 R18. Varian 2.0 Active dan 2.0 pula dipasangkan rim aloi 17 inci dengan tayar 215/55 R17.
4. DALAMAN SERBA MODEN
Hyundai menamakan konsep rekabentuk Kona (2020) sebagai antaramuka mesin manusia (HMI). Motifnya, memudahkan pengguna menyesuaikan diri dengan butang kawalan sekitar papan pemuka.
Dua varian atasan ditawarkan kluster instrumen Supervision LCD TFT 4.2 inci, unit infotainment skrin sentuh 7 inci dengan konektiviti Apple Car Play dan Android Auto dan 6 pembesar suara, dan kawalan klimat penyaman udara (AC) penuh satu zon.
Model SUV ini turut dibekalkan kunci pintar dengan punat tekan-mula, kamera pandang belakang, kawalan lampu automatik, 2 port USB, dan Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS), manakala varian premium ditambah paparan dongak (HUD), pengecas wayarles Qi (1.6 Turbo), sistem henti lahu Idle Stop, sensor parkir depan dan belakang (2.0 Active sensor belakang sahaja) dan cermin pandang belakang automalap (1.6 Turbo).
5. CIRI KESELAMATAN
Setiap varian Kona (2020) dilengkapi standard dengan 6 beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Pengurusan Sistem Kenderaan (VSM), Sistem Kawalan Traksi (TCS), ISOFIX, Kawalan Bantuan Daki Bukit (HAC), Kawalan Turun Bukit (HDC), Sistem Bantuan Parkir (PAS) .
Varian 1.6 Turbo mendapat tambahan teknologi bantuan pemandu Hyundai Smart Sense, terdiri daripada:
- Amaran Perlanggaran Titik Buta (BCW)
- Amaran Perlanggaran Trafik Lintas Belakang (RCCW)
- Bantuan Kekal Lorong (LKA)
- Kawalan Jelajah Pintar (SCC)
- Bantuan Elak Perlanggaran Depan (FCA)
- Amaran Perlanggaran Depan (FCW)
- Bantuan Suluh Tinggi (HBA)
- Amaran Perhatian Pemandu (DAW)
Setiap pembelian diberikan pakej waranti lima tahun atau had perbatuan 300,000km.
BACA >>> #PanduUji: Hyundai Kona - SUV Jiwa Muda dengan Pakej Teknologi Mantap!
BACA >>> Proton X50 Akhirnya Rasmi Lancar, Harga Bermula RM79,200!
Leave a Reply