MODEL serba baharu Ducati Monster 1200R dilancarkan di pasaran Eropah sekitar September tahun lalu dan mula dipasarkan ke pelusuk rantau itu tahun ini. Menariknya, PanduLaju dapat mengesan jentera tersebut yang dihantar untuk proses kelulusan jenis kenderaan (VTA), baru-baru ini. Khabarnya, naked bike itu bakal dilancarkan untuk pasaran tempatan tahun ini. Cuma, waktu yang tepat masih belum diketahui. Sama-sama kita nantikan.
Ducati Monster 1200R dikatakan model sulung Ducati yang menepati emisi Euro 4 yang ketat. Dilengkapi enjin V-Twin Desmodromic DOHC penyejukan cecair bersesaran 1198cc, motosikal ini mampu menghasilkan kuasa 160hp pada 9,250rpm dan tork 132Nm (7, 750rpm).
KUASA DIPERTINGKAT
Kuasa Ducati Monster 1200R dipertingkat sebanyak 10 peratus hasil peningkatan diameter ekzos hingga 8mm. Badan terotel (throttle body) juga kini lebih besar dan berbentuk bujur. Perubahan mekanikal lain adalah termasuk nisbah mampatan lebih tinggi iaitu 13:1 berbanding sebelumnya, 12.5:1. Terima kasih kepada kepala gasket yang lebih nipis.
Bagi menghasilkan kualiti tunggangan lebih baik, Ducati menaikkan fork Ohlins dan penyerap hentak bagi mendapatkan ketinggian badan utama sebanyak 15mm. Perubahan itu menjadikan jarak kelegaan tanah meningkat.
Bahagian brek juga lebih besar menggunakan Brembo 4-piston monoblok di hadapan. Ducati turut menempatkan tayar Pirelli Supercorsa SP di belakang yang lebih lebar, selain menawarkan pakej keselamatan terkini seperti kawalan traksi lapan tetapan, tiga mod tunggangan dan sistem brek anti-kunci (ABS) terkini, Bosch 9MP.
Dari segi kosmetik, antara kemas kini dilakukan ialah penggunaan material gentian karbon pada fender depan, fairing bikini dan kowl pelana tunggal yang direka semula, termasuk grafik jalur perlumbaan.
SPESIFIKASI
DUCATI MONSTER 1200R
ENJIN V-Twin Desmodromic 8V, DOHC, 4-lejang, penyejukan cecair
SESARAN 1198cc
KUASA MAKSIMUM 160hp
TORK MAKSIMUM 132Nm
KELAJUAN MAKSIMUM 241kmj
JENIS FREM Keluli tubular
KAPASITI TANGKI 17.5L
TINGGI PELANA 830mm
BERAT 180kg
SUSPENSI HADAPAN | BELAKANG 48mm Ohlins | Ohlins boleh laras
BREK HADAPAN | BELAKANG 2x330mm Brembo 4-piston monoblok, ABS | cakera 245mm, Brembo piston tunggal, ABS
TAYAR HADAPAN | BELAKANG 120/70x17 | 200/55x17
Leave a Reply