RAMAI penunggang tidak tahu cara memilih helmet yang betul dan ramai juga tidak tahu setiap orang mempunyai jenis dan bentuk kepala berbeza. Disebabkan saiz spesifik, helmet ialah barangan peribadi milik si penunggang yang tidak boleh dipinjam pakai sesuka hati.
Pemilihan saiz helmet yang tidak tepat bukan saja menyebabkan penunggang rasa tidak selesa, tetapi juga berbahaya walaupun sudah diikat ketat. Helmet itu boleh jadi sangat longgar atau ketat, sekali gus gagal memberikan perlindungan efisien seandainya berlaku kemalangan.
Berikut kami kongsikan berberapa tip memilih helmet yang tepat mengikut saiz kepala, dan cara memakainya.
1. SAIZ HELMET VS UKURAN KEPALA
Kita boleh ukur sendiri saiz kepala menggunakan pita ukur yang diletakkan kira-kira 1.5sm atas kening. Bagi mendapatkan ukuran tepat, ukurlah beberapa kali dan ambillah saiz terbesar sebagai rujukan untuk memilih saiz helmet. Rujuk jadual di atas sebagai padanan saiz helmet dengan ukuran lilitan kepala.
2. TIP PILIH HELMET
Berikut beberapa tip ringkas mengenai cara memilih helmet:
- Pemilihan hendaklah dibuat berasaskan ukur lilit kepala sendiri kerana setiap helmet mempunyai saiz standard berbeza.
- Helmet juga berbeza bentuk. Ada yang perlu dipakai dari arah depan dan ada dari arah belakang dulu. Jadi, jangan terlalu kerap bertukar jenama lain yang belum biasa digunakan kerana anda mungkin rasa tidak selesa.
Nota
- Walaupun kali pertama beli helmet, jangan pilih saiz besar semata-mata kononnya lebih mudah dipakai. Ingat, kepala kita tidak membesar atau mengembang macam kaki!
- Helmet yang dipakai tidak mengikut saiz tepat boleh menyebabkan kita cepat kepenatan, stres dengan bunyi bising yang menyelinap masuk dalam helmet, kurang selesa kerana longgar dan bergoyang-goyang ditiup angin ketika menunggang, atau sakit telinga dan kepala kerana terlalu ketat.
3. TIP PAKAI HELMET
Apabila mencuba helmet, ada beberapa langkah perlu dilakukan sebelum buat keputusan membeli. Cuba baca satu-persatu:
- Pakai helmet dengan cara betul.
- Pastikan dua jari boleh diselitkan antara tali strap dan dagu.
- Periksa kesesuaian sisi dan belakang kepala. Jika ada ruang di bahagian atas, helmet itu terlalu kecil. Helmet patut menutup atau muat masuk seluruh kepala, dan pastikan tiada titik tekanan yang boleh menyebabkan kepala sakit.
- Pakai beberapa minit untuk menguji keselesaan.
- Cuba gerakkan helmet ke kiri dan kanan. Jika pakai helmet muka penuh (full face), pipi sepatutnya akan ikut pergerakan helmet dan menyentuh pad pipi dengan kuat dan selesa. Jika ukuran salah, helmet akan longgar atau mudah tergelincir.
- Cuba miringkan helmet ke depan dan belakang. Sekali lagi pastikan helmet tidak bergerak atau tergelincir, dan tidak terkeluar dari kepala.
- Condongkan kepala ke depan. Jika helmet tercabut keluar, itu bukan saiz sesuai buat anda.
SUMBER: KedaiHelmetOnline | VideoBiker
Leave a Reply