ANDA mungkin sudah biasa dengar tentang kegunaan Coca-Cola sebagai agen pencuci tandas yang murah dan efisien. Tapi tahukah anda, Coca-Cola juga ialah sahabat baik kereta anda yang boleh digunakan untuk melakukan banyak tugasan mencuci seperti:
1. BUANG KARATAN TERMINAL BATERI
Karatan terminal bateri adalah berupa serdak atau habuk yang berwarna keputihan. Kadangkala berselaput minyak atau gris akibat pelindung terminal bateri yang digunakan. Cara mencucinya ialah cuma tuang Coca-Cola atas terminal bateri dan biarkan lebih kurang 30 saat hingga 1 minit. Gosok menggunakan berus gigi untuk kesan lebih cepat. Ulangi tuangan beberapa kali hingga dapat hasil diidamkan.
Tapi ingat, jangan sesekali guna semula berus gigi yang digunakan jika tidak mahu keracunan serdak bateri.
2. CUCI CERMIN KERETA
Bagi kereta yang lama tidak dicuci dan lebih-lebih lagi kereta tersadai, memang agak sukar menghilang debu yang melekat pada cermin depan. Sudahnya, anda akan pergi cuci kereta dan minta si ané guna chemical yang boleh merosakkan cat. Sebenarnya ada cara lebih murah dan mudah. Beli setin Coca-Cola dan jirus atas cermin depan. Biarkan buih-buih karbonat mencuci kotoran cermin kereta anda. Selepas 30 saat atau seminit, bilaslah dengan air putih bagi mengelak melekit.
Sesuai juga dilakukan pada hari hujan. Jirus Coca-Cola atas cermin di bawah mana-mana teduhan sebelum pandu kereta meredah hujan. Ucapkan terima kasih kepada hujan kerana sudi membilas cermin depan kereta anda dengan percuma.
BACA >>> #TahukahAnda: Senggara Bateri Kereta Cara DIY
3. TANGGALKAN DAKI ENJIN & RIM
Jangan tak tahu enjin dan rim kereta juga boleh dicuci menggunakan Coca-Cola. Cuma ulang langkah ini; Tuang-Tunggu-Berus-Bilas. Bagi tugasan ini, Coca-Cola bersaiz besar (1.5L) mungkin diperlukan untuk penjimatan lebih ekonomi.
4. KILATKAN KEMASAN KROM
Kereta hari ini memang banyak kemasan krom seperti gril bampar, cermin sisi, lampu kabus, but belakang dan lain-lain. Ya, Coca-Cola boleh mengilatkan semula semua kemasan krom tersebut. Kenapa perlu membazir beli wax sedangkan ia cukup dilakukan dengan setin Coca-Cola dan digosok menggunakan kerajang aluminium (aluminium foil). Kalau tidak habis digunakan, anda boleh saja tuang air gas itu ke tekak anda. Sesekali biarlah perut anda dicuci pula.
5. LONGGARKAN NAT & SKRU
Hah, nak buka skru tapi ketat sangat? Guna saja Coca-Cola macam penyembur WD40. Hmm, murah dan mudahkan? Boleh saja digunakan untuk melonggarkan seluar yang ketat. Ok, yang last ini gurau saja. Jangan nak serius sangat!
BACA >>> #ApaNakBuat: Bateri Mati? Jangan Risau, Hidupkan Kereta Anda Dengan Tali dan Jek
Leave a Reply