SATU-satunya mangsa terselamat akibat lemas karbon monoksida ketika empat sahabat berhenti tidur dalam kereta pada 16 September lalu sudah dibenarkan keluar hospital, semalam.
Mangsa, Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, dirawat hampir tiga minggu di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin, Kuala Lumpur dan pemeriksaan doktor mendapati tahap kesihatannya dalam keadaan baik.
BACA >>> Dua Sahabat Maut, Dua Kritikal Terhidu Asap Kereta Bocor Ketika Tidur
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata, Nor Aqilah dibenarkan keluar wad kira-kira jam 6 petang semalam selepas selesai menjalani pemeriksaan mata.
Pemeriksaan doktor mendapati matanya sudah baik, tetapi masih perlu menyambung ubat dan menjalani rawatan susulan dengan doktor selepas ini. Dia juga tidak memerlukan rawatan fisioterapi kerana boleh berjalan seperti biasa.
Shafee berkata, polis sudah merekodkan keterangan Nor Aqilah bagi melengkapkan kertas siasatan insiden tersebut yang diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut.
Dalam insiden berkenaan, Sharifah Fariesha Syed Fathi, dan Ayuni Shazwanie Shabri maut di tempat kejadian, manakala Nor Adilah Mohd Safwan dan Nor Aqilah kritikal akibat keracunan karbon monoksida yang bocor daripada kereta mereka.
Semua mangsa berusia 21 tahun itu, dikatakan berhenti tidur di kawasan parkir kereta di stesen minyak Sama Gagah, Permatang Pauh, Pulau Pinang pada jam 8.30 malam hari kejadian kerana keletihan sebelum keempat-empat sahabat itu ditemui salah seorang bapa mangsa yang datang mencari pada tengah malam hari sama.
Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang sempena Hari Malaysia.
Nor Adilah, yang juga kembar kepada Nor Aqilah pada awalnya terselamat, tetapi meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak, pada jam 4.23 petang, 17 September lalu, sehari selepas kejadian.
Semua mangsa ialah pelajar kolej perubatan swasta di Batu Caves dan dilaporkan singgah berehat di stesen minyak berkenaan kerana Nor Aqilah yang memandu kereta jenis Honda Odyssey itu mendakwa dia pening dan muntah.
BACA >>> Saintis Muda Ini Sahkan Tidur Dalam Kereta Memang Berisiko Maut
SUMBER: Bernama
Leave a Reply