KEPAKARAN Suzuki adalah menghasilkan kereta kecil dan kompak seperti Ignis, Swift dan Jimny. Terbaharu, penawaran model Suzuki lebih versatil selepas pengeluar itu menjalinkan kerjasama dengan Toyota.
Jika sebelum ini Toyota membekalkan RAV4 yang diubah dan dijenamakan sebagai Suzuki Across, sekarang giliran Swace pula. Apa yang menarik adalah pemilihan wagon sebagai model kolaborasi kedua yang asalnya daripada Toyota Corolla Touring Sports.
BACA >>> Suzuki Malaysia Sah Kembali ke Malaysia!
Seperti RAV4, pemilihan Corolla Touring dilihat sebagai keputusan baik memandangkan model itu mempunyai rekabentuk menyerlah dan dilengkapkan teknologi hibrid yang dapat membantu Suzuki memenuhi piawaian emisi Kesatuan Eropah (EU).
Menggunakan formula kenderaan utiliti sukan (SUV) Across, Suzuki tidak banyak mengubah kecuali bampar dan gril depan untuk menampilkan identiti tersendiri. Bahagian belakang lebih ringkas dengan menukar lencana Toyota kepada Suzuki. Dalaman pun sama, Suzuki cuma menukar lencana stereng, manakala komponen lain kekal seperti Corolla Touring.
Bagi memudahkan pengguna, Swace dilengkapi sistem audio 8 inci yang boleh dihubungkan dengan Apple CarPlay, Android Auto dan MirrorLink. Ada juga pad pengecas wayarles Qi di konsol depan dan dua port USB dan auksiliari (AUX). Stereng dan kerusi depan disediakan fungsi pemanas, manakala sistem penyaman udara jenis S-FLOW yang mampu mengesan penumpang.
Ruang kargo berkapasiti 596 liter dan menawarkan ciri praktikal apabila papan lantai boleh direbahkan ke bawah untuk memuatkan objek tinggi. Papan itu juga boleh diterbalikkan untuk mendapatkan permukaan resin yang berguna membawa barangan basah atau kotor.
BACA >>> #RetroAuto: Suzuki Wagon R+ Kompak dari Jepun yang Pernah Laku Keras di UK
Berikut maklumat mengenai trenkuasa Swace:
- Enjin 1.8L 2ZR-FXE berkuasa 120hp dan tork 142Nm dengan transmisi CVT
- Motor elektrik 71hp dan tork 163Nm, serta bateri 3.6kWh
- Kelajuan maksimum 180kmj, dan pecutan 0-100kmj sepantas 11.1 saat.
- Mod pemanduan elektrik (EV) digerakkan sepenuhnya motor elektrik dengan kuasa bateri, tanpa bantuan petrol.
- Ada tiga mod pemanduan NORMAL, ECO dan SPORT.
Berikut ciri bantuan pemanduan yang ada pada Swace:
- Bantuan Parkir Pintar-Ringkas (S-IPA)
- Sistem Pra Pelanggaran (PCS)
- Bantuan Susur Lorong(LTA)
- Bantuan Tanda Raya (RSA)
- Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC)
- Pemantau Titik Buta (BSM)
- Amaran Trafik Lintas Belakang (RCTA)
- eCall
Jualan Swace di Eropah dijadualkan bermuka musim sejuk akan datang (Disember-Mac). Maklumat tambahan, kerjasama Suzuki-Toyota turut melibatkan pembekalan Suzuki Baleno dan Maruti Suzuki Vitara Brezza yang dijenamakan sebagai Toyota Glanza dan Urban Cruiser untuk pasaran India.
BACA >>> Suzuki Across (2021) - Model Jenama Semula daripada RAV4 Prime PHEV untuk Eropah
Leave a Reply