MENGAGUMKAN! Inilah kesimpulan yang dapat dibuat untuk Hyundai Tucson (2021) generasi keempat ini.
Tucson hadir dengan rekabentuk revolusioner berdasarkan identiti rekabentuk baharu Hyundai, iaitu Sensuous Sportiness. Kenderaan utiliti sukan (SUV) ini ialah model global penting buat Hyundai kerana mencatatkan jualan memberangsangkan, iaitu lebih 7 juta unit sejak dilancarkan pada 2004.
Daripada jumlah itu, 1.4 juta unit terjual di Eropah yang mana jualan kumulatif menjadikan Tucson sebagai SUV Hyundai paling laris di dunia. Sebagai SUV global, Tucson juga dijual di pasaran Malaysia sejak generasi pertama hingga ketiga.
BACA >>> Hyundai Siar Foto Acah Tucson (2020) dengan Rekabentuk Serba Futuristik
REKABENTUK LUARAN
Tucsonz (2021) ialah SUV baharu pertama Hyundai yang menggunakan identiti Sensuous Sportiness, berilhamkan keharmonian empat elemen asas, iaitu perkadaran, arkitektur, gaya dan teknologi.
Rekabentuk luaran membawa sudut agresif dengan garis tajam tanpa mengetepi karakter ranggi yang menjadi signatur Tucson. Secara keseluruhan, model kali ini lebih besar berbanding generasi terdahulu dengan dimensi panjang 4,500mm (+20mm), lebar 1,865mm (+15mm), dan tinggi 1,650mm (+5mm), manakala jarak roda 2,680mm (+10mm) dan ruang kaki tempat duduk kedua lebih luas 996mm (+26mm).
Antara elemen menarik Tucson ialah paten geometrik, Parametric Jewels yang menonjolkan karakter progresif SUV ini.
Contoh paling jelas ialah gril depan dengan Parametric Hidden Lights. Apabila lampu ditutup, paten geometrik gelap akan muncul yang tiada beza dengan lampu siang (DRL) LED yang disepadukan bersama gril. Apabila lampu dihidupkan pula, bahagian krom gelap pada gril akan bertukar kepada bentuk seperti permata yang tampil anggun dan sofistikated.
BACA >>> Hyundai Tucson 1.6L Turbo (2017), Enjin Kompak Kuasa Besar (176hp, 265Nm)
Begitu juga bahagian sisi dengan rekaan Parametric Jewels. Permukaan Tucson sarat dengan bentuk dan garisan tajam serta nampak seperti bergerak ke depan walaupun dalam keadaan statik.
Bahagian belakang lebih tenang, tetapi tetap bergaya dengan lampu lebar dan perincian nyalaan Parametric tersorok. Paten ini turut dibawa pada bampar dengan efek tiga dimensi (3D) di bahagian bawah dan dipadankan kemasan sporty.
REKABENTUK DALAMAN
Jika bahagian luaran sarat dengan corak Parametric, ruang dalaman Tucson pula jauh berbeza ibarat dunia terpisah. Ruang kabin Tucson membawa definisi baharu gaya minimalis. Bukan ringkas dan kosong hingga membosankan, tetapi ibarat bilik yang teratur kemas yang mampu menenangkan pemandu dan penumpang.
Elemen paling ketara dan menarik perhatian ialah kluster instrumen pemandu direka senada dengan papan pemuka dan tiada skrin dipasang tinggi. Semuanya diatur separas. Bahagian tengah papan pemuka mengambil ilham air terjun dengan kemasan perak bersambung hingga pintu belakang.
Skrin AVN-T 10.25 inci terhidang di tengah papan pemuka tanpa tombol atau butang fizikal. Semua kawalan AVN (audio, video, navigasi), pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara dikawal secara sentuhan. Ini menjadikan Tucson sebagai model Hyundai pertama menggunakan konsol skrin sentuh penuh.
Dengan saiz lebih besar berbanding generasi terdahulu, ruang kabin kini lebih luas untuk penumpang belakang. Ruang but juga lebih luas mengikut varian dengan kapasiti daripada 620 liter hingga 1,799 liter apabila kerusi dilipat.
BACA >>> #TahukahAnda: 14 Fakta Transmisi Proton X70 - 7DCT yang Perlu Anda Tahu
TRENKUASA
Pengguna ditawarkan pelbagai jenis pilihan iaitu enjin pengecas turbo, hibrid dan hibrid ringan (mild hibrid). Model hibrid menggunakan enjin 1.6L T-GDI dengan motor elektrik 44.2kW dan bateri litium-ion 1.49kWh serta dipadankan transmisi automatik 6-kelajuan automatik (6AT) dalam opsyen pacuan dua roda (2WD) dan empat roda (4WD).
Enjin dan motor elektrik ialah pilihan paling berkuasa dalam varian Tucson dengan kombinasi output 228hp. Bagi model hibrid ringan 48V, pengguna diberikan tiga pilihan:
- 1.6L T-GDI Smartstream (148hp) 2WD
- 1.6L T-GDI Smartstream (178hp) dengan pilihan pacuan 4WD
- 1.6L CRDi Smartstream (134hp) dengan pilihan pacuan 4WD
Varian 1.6L T-GDI (148hp) dengan hibrid ringan 48V ditawarkan dua pilihan transmisi manual pintar 6-kelajuan (6iMT) dan dual-klac (DCT) 7-kelajuan (7DCT).
Satu lagi varian, 1.6L T-GDI (178hp) ditawarkan transmisi 6iMT untuk 2WD dan 7DCT untuk 4WD. Bagi varian 134hp dengan enjin 1.6L CRDi hibrid ringan 48V menggunakan transmisi 7DCT dengan pilihan 2WD dan 4WD.
Tanpa sistem hibrid ringan 48V, enjin petrol 1.6L T-GDI Smartstream memiliki kuasa 148hp dengan transmisi manual6-kelajuan dalam opsyen 2WD dan 4WD. Trenkuasa diesel 1.6L CRDi Smartstream (113hp) pula menggunakan transmisi manual 6-kelajuan dengan pacuan 2WD.
Keupayaan pacuan 4x4 Tucson dibantu ciri Terrain Mode yang ada pada varian hibrid dengan transmisi automatik dan menggunakan teknologi 4WD HTRAC. Mod pemanduan lain yang boleh digunakan pemandu ialah Mud, Sand dan Snow yang turut menggunakan teknologi HRAC mengikut kondisi rupa bumi.
TEKNOLOGI KESELAMATAN
Tucson baharu mempunyai senarai panjang teknologi keselamatan. SUV ini dilengkapkan 7 beg udara, Bantuan Pemanduan Lebuh Raya (HDA), Bantuan Elak Perlanggaran Depan (FCA) dengan Pengesan Pejalan Kaki, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Jejak Lorong (LFA) dan Sistem Pemantau Titik Buta (BLIS).
JUALAN
Tucson akan ditawarkan di Korea pada bulan ini dan dijadualkan tiba di bilik pameran Eropah penghujung tahun ini, manakala jualan peringkat global dijadualkan bermula penggal pertama 2021. Perkhabaran menarik, Hyundai juga merancang menawarkan varian sporty Tucson N Line.
Bagi pengguna tempatan, kita tunggu pengesahan Hyundai-Sime Darby Motors .
BACA >>> Hyundai Elantra N Line (2021) Debut dengan Enjin 1.6L Turbo, 201hp
Leave a Reply