SUZUKI Assemblers Malaysia (SAM) menghentikan semua operasi di Malaysia bermula 31 Julai lalu. Surat ditandatangani Pengarah Urusan SAM, Kunihiko Uetsuki itu dikirimkan kepada semua pengedar Suzuki sah.
Kenyataan terbaharu SAM mengukuhkan lagi desas-desus kalangan pemerhati automotif yang mendakwa Kawasaki Motors Malaysia (KMM) akan menjadi wakil pengedar motosikal Suzuki. Benarkah?
Namun tiada kepastian tentang berita itu kerana KMM hanya berdiam diri. Selepas dua bulan, persoalan tersebut seakan terjawab. Setiap tahun KMM akan menghantar kuih bulan kepada organisasi media permotoran sempena Perayaan Pertengahan Musim Luruh dalam kalendar Cina.
Bagaimanapun bungkusan kuih bulan yang diterima berbeza seperti tahun sebelumnya. Ada dua jenama tertera pada bungkusan berkenaan bertulis 'Happy Mid-Autumn Festival, With Compliments Board of Directors, Management & Staff Kawasaki Motor Sdn Bhd (KMSB) dan Suzuki Malaysia Sdn Bhd (SMSB).
Alamat pejabat SMSB juga berada di lokasi jalan sama dengan ibu pejabat KMSB di Glenmarie, Shah Alam. Walaupun masih belum ada pengesahan rasmi daripada KMM, kad itu memberi bayangan kemunculan semula SMSB.
Kenyataan itu juga disokong jawapan balas Pengarah dan Pengurus Besar KMSB, Datuk Jeffrey Lim yang menyebut; "More to come have patience.." (lebih banyak lagi akan datang, mohon bersabar...) dalam grup Whatsapp KMSB Kawasaki Media. Cuma kita semua perlu bersabar hingga diumumkan KMSB sendiri.
BACA >>> #ApaNakBuat: Kawasaki Indonesia Kongsi Tip Pasang Quick Shifter Ninja ZX-25R
MASA DEPAN SUZUKI CERAH DI BAWAH KMSB?
Perjalanan Suzuki di Malaysia kurang bernasib baik sebelum ini. Adakah selepas berada di bawah pengurusan KMSB secara rasmi nanti, masa depan jenama itu kembali cerah? Jika meneliti rekod prestasi KMM, wakil pengeluar itu membawa masuk lebih banyak model berbanding Honda dan Suzuki dahulu.
Malah KMM juga tidak menunggu lama untuk membawa masuk model baharu ke pasaran Malaysia dan selalunya pengeluar itu akan mengumumkan barisan model baharu pada awal tahun sebelum dipasarkan secara rasmi ke pasaran tempatan.
Selain itu, KMM juga tidak mengambil pendekatan selamat seperti mana pesaingnya yang menunggu lama untuk membawa masuk produk baharu. Dari segi perkhidmatan selepas jualan (after sales), KMM juga terkenal dengan hubungan baik dengan pelanggannya dan aktif menganjurkan konvoi setiap tahun mengikut produk tawaran selain memberi sokongan kepada program kelab motosikal dikelolakan pemilik Kawasaki.
Pendekatan itu membuatkan KMM kukuh dan jika mereka menggunakan cara sama dalam pengurusan SMSB, tidak mustahil jenama Suzuki akan kembali kukuh dan mendapat tempat di hati pengguna Malaysia. Inilah apa yang tiada pada SAM sebelum ini.
BACA >>> Kapcai Suzuki Muncul Semula, Kawasaki Jadi Pengedar di Malaysia?
APAKAH KEKURANGAN KMM?
Kelemahan KMM ialah tidak boleh mendominasi segmen kapcai kerana ada kaitan dengan Modenas. Ini kerana Kawasaki Heavy Industries (KHI) ialah pemegang saham Modenas dan produk keluaran pengeluar nasional itu ada menggunakan enjin Kawasaki.
Difahamkan, KMM tidak boleh mengeluarkan produk bawah 150cc dan hanya dibenarkan memasarkan produk 150cc ke atas untuk menjaga pasaran. Bayangkan jika tiada ikatan perjanjian antara KHI-Modenas dengan profail syarikat kukuh dan lama di pasaran, tidak mustahil produk sedia ada dan popular di Malaysia akan tergugat sekiranya Kawasaki memasarkan jentera kecil.
Pengguna bakal menerima banyak pilihan menerusi Suzuki di bawah pengurusan KMM dengan pelbagai barisan produk daripada supersport, sportbike, cruiser, skuter, dan kapcai serta banyak lagi.
Sekiranya KMM menggunakan resepi sama, tidak mustahil model kapcai Suzuki akan kembali semula dipasarkan, dan kita bakal menyaksikan model Suzuki yang tidak sempat memasuki pasaran Malaysia diperkenalkan seperti GSX-150 Bandit, GSX-R150, dan V Strom 250. Jangan lupa juga abang besar GSX-S1000, GSX-R1000R dan Katana.
Teruja? Kami pun, diharapkan pengumuman rasmi pengambilalihan SMM akan terlaksana tahun ini dan selepas itu barulah kita dapat mengetahui hala tuju dan produk yang bakal dibawa masuk.
Nota kaki: Teringat zaman belajar di UiTM Shah Alam bersama rakan serumah merempit Suzuki V100, tak pernah tekan brek setiap kali masuk bulatan Seksyen 2. FX125 pula motor pertama saya ride untuk belajar klac.
BACA >>> Thailand Lancar Suzuki GSX-S150 SE
Jan says
Wahhhh best nya kalau Suzuki masuk malaysia balik !
Paling teringin nak merasa Suzuki Satria@belang, dan jgk GSX S150 !
Sangat teruja !