KEPELBAGAIAN teknologi, penambahbaikan ciri keselamatan dan peningkatan prestasi kenderaan membawa kepada penemuan masalah baharu. Di sinilah muncul istilah 'TSB' dan 'Recall'.
Macam-macam masalah sering menimpa pemilik selepas membeli kereta sama ada dikesan ketika masih dalam tempoh waranti pengeluar atau sudah tamat tempoh. Justeru 'TSB' dan 'Recall' ialah dua istilah digunakan pengeluar bagi menangani masalah produk yang sudah dihantar kepada pembeli.
Artikel kali ini akan menjelaskan serba sedikit mengenai bagaimana fungsi dan manfaat dua istilah berkenaan kepada pemilik kereta.
BACA >>> Patutkah Risau Jika Kereta Dipanggil Balik (Recall)?
APAKAH 'RECALL' DALAM AUTOMOTIF?
'Panggil balik' atau 'Recall' ada DUA fungsi.
Pertama, digunakan pemilik kereta untuk memaklumkan kepada pengeluar mengenai masalah yang boleh mengancam keseluruhan sistem keselamatan kenderaan itu. Ia juga ada kaitan dengan keselamatan pemilik juga.
Jika pengeluar menerima permintaan recall daripada pemilik kereta. Ini menjadi tanggungjawab mereka untuk mengenal pasti permasalahan dan membuat pemeriksaan menyeluruh dengan kaedah terbaik bagi menjamin keselamatan pemiliknya. Proses ini mengambil masa lama kerana pengeluar perlu lebih teliti melakukan penyiasatan.
Kedua, istilah 'Recall' digunakan pengeluar untuk memanggil balik semua pemilik bagi tujuan keselamatan. Kebiasaannya, pengeluar cuma melakukan 'Recall' untuk komponen, atau alat ganti keselamatan tertentu sahaja, dan bukan menukar kereta baharu.
Jika tiada penyelesaian keselamatan, barulah pengeluar akan memanggil balik satu unit kereta daripada pemilik. Sebenarnya pengeluar sedaya upaya cuba mengelak daripada mengeluarkan notis 'Recall' kerana apabila dilakukan, ia membabitkan proses penukaran komponen, atau alat ganti secara percuma tanpa mengira kereta itu masih dalam waranti atau sudah tamat tempoh.
Undang-undang turut menyatakan jika sesebuah kereta mengalami isu keselamatan, pengeluar perlu bertanggungjawab ke atas semua prosess penukaran, termasuk kemalangan yang menimpa pemilik. Setakat ini, banyak isu keselamatan kenderaan dipanggil balik seperti kemalangan melibatkan beg udara meletup (Takata), kegagalan kawalan pemanduan dan kegagalan enjin.
BACA >>> 7 Perkara Tentang Beg Udara Takata yang Perlu Anda Tahu
APAKAH BULETIN SERVIS TEKNIKAL (TECHNICAL SERVICE BULLETIN, TSB)?
'TSB' pula berbeza konsep daripada 'Recall' yang mana masalah berlaku tidak melibatkan faktor keselamatan. Bagaimanapun, pengeluar perlu mengenal pasti masalah itu mengikut tahap permasalahan berdasarkan maklumat diberikan pemilik ketika sesi penyenggaraan awal.
Selepas data dikumpul dan kaedah penyelesaian sementara atau tetap ditemui, pengeluar akan mewartakan TSB kepada semua Pusat Servis. Berbanding 'Recall', kerja-kerja baik pulih disebabkan 'TSB' adalah ditanggung pemilik kereta jika kereta sudah tamat tempoh waranti.
Namun, ada juga sesetengah pengeluar memberikan kelonggaran mengikut situasi dan budi bicara. Apa kata berunding baik-baik, manalah tahu boleh dapat servis atau penukaran komponen percuma. Janganlah marah-marah sebab masalah itu berlaku selepas tempoh waranti tamat.
BACA >>> Toyota Vellfire, Alphard (2020) Buka Tempahan, Siap Waranti Kilang 5 Tahun!
BAGAIMANAKAH KETAHUI KERETA TERLIBAT ATAU TIDAK?
Berdasarkan segala maklumat dijelaskan setakat ini, kita perlu faham tidak semua model kereta terlibat dalam 'Recall' atau 'TSB'. Isunya, bagaimanakah hendak tahu kereta kita terlibat atau tidak?
Sekadar panduan kepada bakal pembeli, siasatlah serba sedikit mengenai masalah kereta anda di laman forum, blog atau grup media sosial. Kebiasaannya, mereka akan saling berbincang mengenai masalah dialami kereta yang dibeli. Bagaimanapun, tidak semua kereta terlibat kerana masalah TSB biasanya akan diatasi untuk model atau barisan pengeluaran berikutnya.
Panduan kedua, bolehlah bertanya sendiri kepada penjual kereta atau pihak pengeluar untuk mengetahui status terkini model kereta anda.
'RECALL' TAKATA YANG MENGGEMPARKAN DUNIA
Pengeluar seperti Honda, Toyota, Proton dan Nissan di Malaysia dan seluruh dunia sudah lama melancarkan kempen panggil balik aka 'recall' membabitkan semua model yang mengalami masalah beg udara Takata kerana berisiko meragut nyawa pemilik kenderaan.
Masalah ini sangat berbahaya dan penukaran beg udara mesti dilakukan segera dengan kos ditanggung pengeluar sepenuhnya. Jika kereta anda terlibat, pastikan segera ke Pusat Servis sah.
BACA >>> Penyelesaian Tidak Terkata, Akhirnya Takata Isytihar Muflis
Penggunaan nombor pengenalan kenderaan (VIN) adalah antara cara pemilik dan pengeluar mengetahui status kereta yang terlibat dalam kempen 'Recall' atau 'TSB'. Pengeluar turut menyediakan platform di laman web bagi memudahkan pemilik memeriksa status kereta sendiri.
Pembeli kereta terpakai pula boleh bertanyakan pemilik awal mengenai status 'Recall' atau 'TSB'. Ini kerana ia kekal boleh digunakan walaupun pemilikan kenderaan berubah. Pastikan sentiasa sedia maklum mengenai status kereta anda dan mengetahui perbezaan dua istilah berkenaan.
Akhir sekali, ingat, jika kereta terlibat dengan kempen 'Recall', segeralah ke Pusat Servis! Ini kerana kempen itu kemungkinan besar berkait rapat dengan keselamatan anda sebagai pemilik. Sayangilah nyawa sendiri dan keluarga walaupun kempen tersebut mungkin menjejaskan kehidupan harian anda.
Leave a Reply